KOTA KINABALU: Penganalisis politik menasihatkan Upko tidak terlalu fokus kepada penjajaran politik di Sabah, sebaliknya parti itu perlu melakukan transformasi dalaman bagi memastikan ia kekal relevan di negeri itu.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Upko disegani dalam konteks Bumiputera bukan Islam di Sabah, oleh itu ia perlu menguatkan kedudukan akar umbi supaya lebih yakin dengan perjuangan parti.
“Tidak perlu ghairah dengan penjajaran politik baharu, sedangkan kepentingan dan suara akar umbi kurang dipedulikan.
“Sekiranya ini terus berlaku, iaitu Upko terlalu fokus kepada penjajaran politik di Sabah, maka Upko akan semakin merundum,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perjuangan parti sepatutnya berasaskan semangat parti dan kepentingan akar umbi dilihat berubah menjadi kepentingan pimpinan tinggi saja.
Katanya, tindakan terburu-buru Upko keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk bersama Warisan Plus selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu, dilakukan tanpa strategi jangka panjang.
Awang Azman menyifatkan Upko ibarat “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran” kerana bekas wakil rakyat Umno yang menyertai parti itu kemudiannya meninggalkan mereka untuk menjadi ADUN bebas.
Beliau merujuk beberapa ADUN meninggalkan Upko, termasuk bekas wakil rakyat Umno yang menyertai parti itu sebelum pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, untuk menyokong usaha bekas ketua menteri, Musa Aman kembali menerajui kerajaan Sabah yang kemudiannya gagal.
Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah mencadangkan Presiden Upko, Wilfred Madius Tangau memberi laluan kepada pemimpin lain supaya parti itu kekal relevan dalam politik Sabah.
Katanya, Tangau cuba menjenamakan semula Upko tahun lalu, tetapi kekuatan parti itu tidak bertambah, sebaliknya ramai pemimpin bertindak meninggalkan parti itu.
“Baru-baru ini juga, Naib Presiden mereka (Upko), Lucas Umbul menyertai STAR kan? Jadi, salah satu alternatifnya mungkin presiden mereka perlu melepaskan jawatan untuk beri laluan kepada pemimpin lain. Ini mengambil kira terutama selepas semua ADUN mereka keluar parti, Upko masih ‘survive’ pada PRN tahun lepas.”
Lee berkata, Upko juga perlu mengubah imej “katak” kerana menukar penjajaran politiknya.
“Upko tidak boleh hidup dalam penafian, balik-balik mengatakan rakyat telah memilih pada PRU14 dengan menolak BN.
“Mereka harus akui, mereka menang atas tiket atau logo BN dan keputusan bertukar jajaran politik selepas PRU14 dianggap pengkhianatan kepada rakan-rakan seperjuangan mereka dalam BN.
“Sebelum ini, gandingan PBS, Upko dan PBRS membuahkan hasil, tetapi selepas mereka melompat pada PRU14 untuk membentuk kerajaan baharu dengan Warisan, jelas sekali mereka kehilangan rakan sekutu yang membantu mereka selama ini.”
Upko bertanding atas tiket BN pada PRU14 lalu dan memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi parti itu kemudiannya meninggalkan BN untuk bersama Warisan, PKR dan DAP bagi menubuhkan kerajaan Sabah yang baharu.
Pada PRN 26 Sept 2020, Upko bertanding 12 kerusi negeri, tetapi hanya Naib Presidennya, Ewon Benedick berjaya mempertahankan DUN Kadamaian, manakala yang lain tewas, termasuk Tangau di DUN Kiulu. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.