PETALING JAYA: Seorang lelaki dan seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi palsu berhubung kehilangan jongkong emas seberat lebih 220kg di sebuah kuil di Batu Caves, tahun lepas.
D Arumugam, 51, dan R Thanaletchimy, 63, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.
Arumugam didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu berhubung kehilangan jongkong emas itu melalui laman Facebook “Arun Dorasamy” dengan niat untuk menyakitkan hati.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 4.27 petang 6 Februari tahun lalu, menurut laporan Bernama.
Thanaletchimy pula dituduh melakukan kesalahan sama menggunakan aplikasi WhatsApp kepada satu kumpulan iaitu “Makkal Mandram 101”, pada 2.27 petang 11 Februari tahun sama.
Pautan bagi kedua-dua hantaran itu masing-masing telah dibaca pada 9 pagi 23 Februari dan 2.30 petang 11 Februari tahun lepas di Pejabat Kuil Batu Caves, Gombak di sini.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mereka berdepan hukuman mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Shasha Hidayah Nor Azahar menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun peguam N Rajesh dan B Arun Ganesh, masing-masing mewakili Arumugam dan Thanaletchimy, memohon jaminan rendah.
Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.