`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 31, 2021

Antara Hari Merdeka dan Hari Kebangsaan

 

Maaf ini bukan isu baharu. Saya yakin anda juga tahu akan isu ini. Saya juga pernah menulis mengenainya sebelum ini. Kali terakhir genap setahun lalu.

Mengapa? Kerana ia masih dipercakapkan. Menjelang 31 Ogos dan tentunya pada 31 Ogos sendiri seperti hari ini, ia timbul.

Begini. Saudara kita di Sabah dan Sarawak tidak “ghairah” untuk menyambut Merdeka pada 31 Ogos setiap tahun. Mereka tidak ada “feel”. Bagi mereka 31 Ogos hari besar hanya untuk orang Semenanjung. “Orang Malaya” kata mereka.

Betul juga apa yang mereka kata. Sebab pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang merdeka. Bukan Malaysia. Malah Malaysia belum lahir ketika itu.

Persekutuan Malaysia kita tahu lahir pada 16 September 1963, hasil gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara, atau Sabah. Oleh itu, setiap 16 September amat bermakna buat saudara kita di Sabah dan Sarawak. Bukan 31 Ogos. Singapura meninggalkan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Perlu diingat Sabah dan Sarawak menyertai gabungan itu bukannya memasuki Malaysia. Sampai sekarang orang Sabah dan Sarawak terguris jika disifatkan mereka “masuk” Malaysia. Hakikatnya mereka bergabung dengan Tanah Melayu dan Singapura untuk menubuhkan Malaysia.

Ketika itu, Sabah dan Sarawak berstatus “self-government” atau pemerintahan sendiri yang diberi pihak British yang mentadbir kedua-dua wilayah atau “negara” berkenaan.

Oleh itu, sehingga sekarang ada pihak di Borneo yang amat kecewa Sabah dan Sarawak dikelaskan sebagai negeri yang sama taraf dengan negeri-negeri dalam Malaysia. Ini kata mereka menurunkan status mereka yang tidak mengambil kira Sabah dan Sarawak sebagai negara merdeka sama seperti Tanah Melayu ketika penubuhan Malaysia.

Sehingga sekarang pelbagai pihak termasuk golongan muda mahu janji yang diberi kepada Sabah dan Sarawak semasa penubuhan Malaysia dahulu ditunaikan.

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan ketika itu membentangkan di Parlimen Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan Persekutuan (2019) yang menurut mereka bertujuan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata dengan Semenanjung seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Namun kerajaan PH tidak mendapat sokongan 2/3 Ahli Parlimen. Yang tidak menyokong termasuk Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang mahu lebih banyak tuntutan diberi.

Apa pun kini terpulang kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob untuk menangani masalah itu atas semangat konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan baru-baru ini.

Sementara itu, apa yang kita ada sekarang seperti disebut tadi, perasaan dingin di Sabah dan Sarawak terhadap sambutan 31 Ogos.

Kerajaan persekutuan sedar akan “permasalahan” berhubung 31 Ogos Tanah Melayu merdeka dan 16 September Malaysia ditubuhkan.

Lalu kerajaan Barisan Nasional menetapkan 16 September diisytihar Hari Malaysia (lengkap dengan cuti awam) manakala 31 Ogos Hari Kebangsaan (yang juga cuti awam).

Bagaimanapun pelbagai pihak di Semenanjung tetap melaungkan “Merdeka” setiap 31 Ogos. Tahun ini pun ada yang mengucapkan “Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia ke-64” – jelas mengambil kira 31 Ogos 1957.

Hakikatnya 31 Ogos terus dikaitkan dengan kemerdekaan Malaysia. Bukan sekadar Tanah Melayu. Tidak menghairankan saudara kita di Sabah dan Sarawak terus merasa terpinggir.

Di sekolah anak-anak diajar 31 Ogos negara (baca Malaysia) merdeka. Jika mereka (termasuk anak-anak Sabah dan Sarawak), malah kita sendiri, jika memberi jawapan lain daripada tarikh itu semasa mengambil ujian sejarah misalnya tidak akan dapat apa-apa markah. Kosong. Gagal.

Mungkin pihak berwajib terutama menteri pendidikan kita yang baharu harus perbetulkan fakta sejarah.

Ini hanya cadangan saya si wartawan tua. Mungkin cuti awam pada 31 Ogos boleh dihadkan untuk Semenanjung sahaja. Pada 31 Ogos setiap tahun hanya Semenanjung menyambut Hari Kemerdekaan Semenanjung. Bukan Tanah Melayu kerana realitinya Tanah Melayu tidak wujud lagi sebagai sebuah negara sebaik sahaja Malaysia wujud.

Di Sabah, cuti awam untuk sambutan Hari Sabah juga pada 31 Ogos kerana tarikh itu pada 1963 British memberi status pemerintahan sendiri kepada Sabah. Sarawak mendapat status itu pada 22 Julai 1963 dan kerajaan Sarawak sememangnya mengisytiharkan hari itu cuti awam dan sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak diadakan setiap 22 Julai.

Ketiga-tiga hari yang disebut diraikan secara sederhana. Yang disambut besar-besaran dengan gilang-gemilang (ini tidak mengambilkira pandemik Covid 19 ya) ialah 16 September Hari Malaysia. Hari lahirnya Malaysia bukan hari Malaysia merdeka. Kerana Malaysia tidak memerdekakan diri daripada sesiapa. Ia dibentuk dan ditubuhkan.

Hari Malaysia diraikan semua rakyat – di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak dengan penuh kebanggaan kerana ia membawa erti kepada setiap warga negara. Ini seperti dikatakan tadi sekadar cadangan dan harapan.

Buat masa ini, menghadapi realiti masa kini, harapan dan doa ialah agar Malaysia – dari Perlis hingga ke Sabah – dapat merdekakan diri daripada cengkaman Covid-19. Kerajaan wajib menunjukkan kepimpinan.

Selamat Hari Kebangsaan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.