`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 2, 2021

Rasuahisme

 

Dalam buku beliau yang monumental, Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi oleh Syed Hussein Alatas, almarhum mendedikasikan sebuah bab dalam buku tersebut untuk menyorot apa yang dinamakan sebagai ‘ideologi rasuah’. Dalam babak tersebut, beliau mengulas dengan panjang lebar bagaimana pembentukan dan pemberian nyawa terhadap rasuah itu berlaku di institusi pendidikan, perusahaan, dan kemudian merebak dalam kegiatan politik; seterusnya membarah dalam masyarakat dan negara.

Makanya, membaca karya Alatas itu kita boleh memahami rasuah itu sendiri lama-kelamaan oleh pelbagai faktor terbentuk menjadi suatu ideologi. Sebagai sebuah fahaman, atau gagasan; justeru ia boleh meresap dalam pelbagai sektor kehidupan. Kita boleh menamakannya sebagai ‘rasuahisme’, yang boleh sahaja setanding dengan faham seperti Islamisme yang pecahan-pecahannya yang ada di negara ini antara lain ialah Wahhabisme.

Ia juga, rasuahisme ini boleh menyaingi faham seperti nasionalisme, komunisme, feminisme, dan macam-macam lagi. Bukan sahaja bersaing; ia malah boleh melekat, melekap, kemudian bergabung dan sebati dengan faham-faham sedia ada untuk membentuk satu ciri atau kriteria baru. Dalam erti kata lain rasuahisme ini boleh menyedut masuk nasionalisme, Islamisme, dan sekian isme lain lantas memberikan ia bentuk baharu yang lebih berbahaya, menakutkan, dan jauh lebih merosakkan.

Oleh itu, tidak syak lagi rasuahisme ini bukan sahaja harus ditanggapi sebagai jenayah seperti samun atau curi; tetapi ia sendiri satu faham sesat yang boleh mendapat pengikut, atau penganut yang fanatik. Ia malah dapat menjadi satu faham yang ekstrim di mana pendamba dan pemujanya kadang berterang-terangan untuk ‘memperjuangkannya’. Ini kerana sama ada jahil tidak sedar bahawa rasuahisme itu sudah melekat dalam faham-faham isme sedia ada; atau mereka memang sedar bahawa adanya ciri rasuahisme itu, tetapi kekal meneruskannya dengan rela hati kerana merasakan ia dapat memberi keuntungan.

Rasuahisme ini berguna untuk sesetengah kerajaan atau kuasa politik untuk bertahan dan kekal berkuasa, maka ia menjadi modal kejahatan dalam sebarang kegiatan atau pentadbiran. Ini menjelaskan kenapa ada negara, atau kebanyakan parti politik tidak begitu berminat untuk membanteras rasuah ini segara sungguh-sungguhan. Ini kerana rasuahisme menyediakan tenaga tidak bermoral yang kuat untuk kepentingan mereka. Bahkan ada pemimpin yang tertangkap dek rasuah akan menggelupur sedaya upaya mencari jalan untuk melepaskan diri dari undang-undang. Kadang-kala oleh aspek teknikal, kes mereka dibuang begitu sahaja dan mereka terus hidup atas nama rasuahisme. Sesetengah mereka didewakan dengan gelar bos.

Untuk sesebuah kerajaan yang terbina atas dasar pencurian mandat rakyat, dan tertegak atas nama autoritarianisme; rasuahisme dengan itu ditimbangkan sebagai satu metode untuk berkuasa. Jika ada ahli politik boleh dirasuah untuk menukar kesetiaannya sebagai misalan, maka rasuah tentu sahaja diizinkan dalam senyap. Ini supaya kuasa sedia ada boleh kekal. Atau jika sebelum ini tiada kuasa, rasuahisme akan membolehkan kuasa itu diperolehi.

Kita misalnya melihat rasuah dianggap sebagai sesuatu yang lumrah di Malaysia apabila Langkah Sheraton terjadi. Maka apabila menteri yang ramai ditawarkan posisi, ia dianggap sesuatu yang tidak menjijikkan. Apatah pula ia dilakukan dengan pengangkatan sumpah yang rasmi.

Syed Hussein Alatas misalnya menyatakan, perampasan kuasa dengan rasuah sebagai alat ini perlahan-lahan diterima sebagai sesuatu yang normal:

“Pada intinya rasuah adalah perwujudan immoral dari dorongan untuk memperoleh sesuatu dengan metode pencurian dan penipuan. Dalam bentuknya yang bersifat memaksa ia adalah perampasan yang disertai kekerasan.”

Untuk mendiamkan suara-suara waras yang menyangkal atau membantah rasuahisme ini, maka hak asasi manusia akan dipulas di mana mereka yang menolak rasuahisme ini mungkin diredam suara mereka, disekat atau dilarang, atau dikenakan tindakan tertentu secara sihat atau tidak sehinggalah rasuahisme itu bermaharajalela. Perlahan-lahan dalam negara demokrasi yang bertolak ansur dengan rasuahisme, maka demokrasi akan ikut terhakis. Ekonomi juga akan hancur, dan negara menuju kegagalan.

Di peringkat pembentukan rasuahisme ini, ia perlahan-lahan dihalalkan di universiti. Terdapat ramai ahli akademik yang naik pangkat menjadi profesor (meskipun kurang kelayakan) secara tidak berintegriti dengan mempertahankan amalan rasuahisme ini. Profesor ini akan berhujah di sebalik Ketuanan Melayu, anti-hak asasi manusia, penjilatan rasuahisme dalam kalangan orang atas dengan alasan patriotik dan nasionalisme; atau lebih dahsyat mengecilkan bahaya rasuah dengan alasan ia bukan suatu jenayah besar atau berat dalam Islam memandangkan ia hanya perlu ditakzir sahaja.

Dalam hal ini Syed Hussein Alatas menyatakan tulisan atau idea yang memperlecehkan malapetaka rasuah ini membantu penyuburan rasuahisme:

“Dalam hal rasuah, penyumbang utama dalam penciptaan ideologi rasuah yang terselubung itu adalah sejumlah kecil wartawan dan beberapa orang profesor di perguruan tinggi. Mereka mungkin tidak sedar terhadap apa yang mereka lakukan, iaitu membantu dan mendorong amalan rasuah dengan menawarkan bahan-bahan untuk ideologi rasuah yang diperlukan oleh orang yang rasuah. Tulisan mereka mempunyai pengaruh yang mengecilkan erti pemerasan, ketidakadilan, dan kekejaman yang dilakukan terhadap bahagian terbesar umat manusia.”

Inilah yang saya temukan dalam kalangan sesetengah agamawan muda yang meremehkan kejahatan rasuah atau rasuahisme ini, dengan alasan ijmak para ulama tidak begitu menekankan perihal rasuah. Atau dengan alasan tiada dalil langsung dari Al-Quran atau hadis. Sesetengahnya bahkan pergi lebih jauh iaitu untuk mendefinisikan semula rasuah. Ini kerana apa yang menguntungkan agama secara maqasidnya maka ia tidak harus dianggap sebagai rasuah. Sedangkan tanpa sedar mereka, itulah ciri rasuahisme, iaitu memperkecilkan kejahatan rasuah agar rasuah diterima atau disantuni dengan positif.

Rasuahisme ini bencana terbesar untuk umat manusia di zaman moden. Ia mengakibatkan gangguan kepada spiritual, pencabulan hak asasi manusia, penyalahgunaan agama, penunggangan kuasa, dan juga manipulasi orang bawah.

Syed Hussein Alatas menyatakan pra-syarat pertama untuk merungkai dan memadam rasuahisme ini ialah dengan ‘adanya seorang pemimpin pemerintah yang punya kemahuan keras dan memperoleh dukungan orang yang berwawasan dan jujur’.

Adakah umat Islam punya pemimpin begini? Bagaimana jika pemerintah, raja, presiden, atau perdana menteri dalam masyarakat itu sendiri tumbuh atau bernyawa oleh rasuahisme? Mereka memang hidup atas rasuahisme.

Di sinilah Syed Hussein Alatas mengatakan perlunya kuasa Rakyat yang konsisten tanpa kalah untuk melawan rasuahisme ini:

“Masalahnya ialah kalau kepemimpinan seperti itu tidak ada, sebagai kekuatan kolektif, apa yang harus dilakukan? Suatu pemecahan ekstra pragmatik diperlukan. Rakyat melalui para wakil mereka dan institusi-institusi tertentu harus memberi nasihat kepada penguasa yang memerintah akan betapa berbahayanya rasuah, sekalipun penguasa yang memerintah itu sendiri rasuah. Rakyat harus juga melakukan tentangan melawan rasuah.”

Dalam sejarah Islam, cucunda Nabi Muhammad iaitu Husayn Ali menjadi tokoh yang bangkit melawan rasuahisme yang membarah dalam masyarakat Islam ketika itu. Orang yang berpihak kepada rasuahisme tatkala itu ialah Gabenor Kufah, dan raja kedua dalam Islam, Yazid. Husayn bersama sahabat dan ahli keluarganya telah bangkit menolak rasuahisme ini dan menentang amalan kronisme, nepotisme, dan juga taasub puak tertentu yang mendorong kerosakan agama oleh kemewahan Damsyik dan Kufah.

Oleh sebab perlawanan dengan pemuja dan penganut faham rasuahisme yang fanatik dan ekstrim ini sangat ganas, kita menjangkakan akan ada segelintir Rakyat yang akan terkorban, dek kerana kuasa pencinta rasuahisme tidak akan mahu terlucut dengan mudah. Antara pemuja rasuahisme ini adalah para ulama palsu.

Mereka yang terbunuh kerana melawan rasuahisme ini akan mencapai makam syahid. Pemerintah yang mempertahankan rasuahisme ini akan masuk neraka, mereka akan minum air bisa dan nanah bersama-sama Firaun dan Abu Lahab kelak. Tatkala itu mereka akan bangga dengan rasuahisme yang dipertahankan hari ini. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.