`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, October 17, 2021

Harga lantai baharu umrah RM6,900

 

Harga lantai terbabit akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan kembali normal, menurut MOTAC. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Harga lantai ibadah umrah ditetapkan pada RM6,900 bagi tempoh 12 hari dan 10 malam, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC dalam kenyataan berkata, kadar baharu itu ditetapkan selepas kata putus dicapai hasil daripada perbincangan dengan persatuan khidmat pelancongan dan umrah, baru-baru ini.

Katanya, ia mengambil kira perkembangan semasa termasuk peningkatan kos susulan pelaksanaan SOP oleh kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata harga lantai terbabit akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan kembali normal.

“Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50% daripada jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan Covid-19.

“Harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak Covid-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kali terakhir kadar harga lantai kos ibadah umrah ditetapkan ialah pada tahun 2016 iaitu pada paras harga RM4,900.

Menurut kenyataan itu, harga lantai terbabit adalah panduan untuk kementerian melakukan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.

Kementerian turut mengingatkan bakal jemaah supaya berhati-hati sekiranya harga pakej umrah ditawarkan terlalu rendah atau terlalu rendah bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

“Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi kementerian bagi mengenal pasti syarikat yang dilesenkan,” katanya.

Bagi menangani kes penipuan pakej umrah, kementerian mewajibkan syarikat yang dilesenkan perlu memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

MOTAC turut mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) untuk membantunya merangka serta memperhalusi isu pengiklanan umrah ini.

“Berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, persatuan terbabit memahami dan menyokong inisiatif dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

“Sehingga kini, kementerian menerima 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosi.

“Ini bertujuan membantu kementerian mengenalpasti iklan haram pakej umrah,” katanya.

Setakat ini terdapat 444 syarikat pengendali umrah berlesen berdaftar dengan MOTAC. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.