PETALING JAYA: Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) diharapkan dapat membangunkan graduan berdasarkan nilai yang holistik, keusahawanan dan seimbang sambil menyediakan platform untuk perbincangan.
Persidangan Nasional pertama yang dilancarkan hari ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bertemakan ‘Inspiring Learners, Empowering Community’ akan berlangsung sehingga 25 Okt 2021.
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, persidangan itu akan menawarkan semua pemegang taruh platform untuk bertukar pendapat, pengalaman dan penyelidikan dalam pelaksanaan inisiatif ini.
“Kami berharap pertukaran pengalaman dan pandangan mengenai pembelajaran servis, memberikan manfaat kepada mereka yang hadir dan landskap pengajian tinggi terutamanya dalam pembelajaran servis .
“Ini akan menjadi inisiatif pedagogi yang memberi pelajar peluang untuk memberi sumbangan semula kepada komuniti, ”katanya dalam ucapan ketika melancarkan program itu hari ini.
Noraini berkata, kira-kira 50 kertas penyelidikan dibentangkan pada persidangan itu, yang merangkumi sub topik pelaksanaan SULAM seperti reka bentuk kursus, ekosistem, keterlibatan industri, agensi dan badan bukan kerajaan, pembangunan pelajar, pembangunan komuniti, penyelidikan,strategi dan sumber manusia serta Sustainable Development Goals (SDG).
“Persidangan kali ini juga telah berjaya menarik lebih 100 peserta dalam “Bengkel SULAM” dan 60 penyertaan bagi “Pertandingan SULAM 2021” yang mencabar dan berinovasi hasil daya usaha pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) bersama para akademia,” tambahnya.
Sementara itu, Noraini berkata, acara SULAM Synergy diadakan pada 20 Dis 2020 dengan objektif untuk meningkatkan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan.
“Selain itu, kami turut melancarkan pertandingan Inovasi e-SULAM 2021 bagi memastikan inisiatif itu boleh disertai secara dalam talian ketika negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.”
“Saya yakin dan percaya SULAM akan menjadi pemangkin kepada usaha menjadikan pelajar IPT untuk lebih prihatin dan cakna terhadap isu masyarakat,” kata Noraini. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.