PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dilanggar van sekolah selepas melintas di hadapan kenderaan itu di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Md Noor Aehwan Mohammad, berkata dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari itu, mangsa yang baru pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dihantar ke tadika berkenaan, sebelum pergi ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
“Setelah menurunkan semua pelajar termasuk mangsa, pemandu van bergerak ke hadapan tanpa menyedari mangsa yang terakhir turun sedang melintas di hadapan van dan melanggarnya hingga cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Bernama.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup yang tular, pemandu van yang menyedari kejadian itu segera memberhentikan kenderaannya dan meminta pertolongan daripada pemilik tadika berkenaan.
Md Noor berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, pemandu van itu sedang dirakam percakapan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.