`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, January 28, 2022

Hasni berhasrat pertahan DUN Benut

 

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, merupakan penyandang DUN Benut selama tiga penggal sejak PRU ke-12. (Gambar Bernama)

PONTIAN: Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, berhasrat mempertahankan DUN Benut pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Umno Johor itu bagaimanapun berkata perkara itu belum dimuktamadkan.

“Saya kalau boleh, dan diberi peluang sekali lagi, mahu bertanding di Benut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina di DUN Benut.

Hasni penyandang kerusi DUN Benut selama tiga penggal sejak pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan pada PRU lalu, beliau menewaskan calon Bersatu, Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (PAS) dengan majoriti 4,447 undi.

Ditanya desas-desus adik Menteri Besar Selangor, Aziz Shari, 33, yang dikatakan akan bertanding di kerusi itu, Hasni menjawab: “Lagi ramai lagi meriah.”

Awal hari ini, Aziz, yang juga Ketua Pemuda PKR Pontian dan anak jati Kampung Asam Kumbang, Benut diuar-uarkan antara calon disebut-sebut untuk bertanding kerusi itu.

Sementara itu, Hasni berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) akan melakukan perubahan termasuk mengemukakan calon muda mengikut kehendak masyarakat sejajar dengan situasi terkini serta peredaran semasa.

Beliau berkata, proses mengenal pasti calon sedang dilakukan dan akan dimuktamad kemudian.

“Umno dan BN bukan statik dan berkembang ikut peredaran masa. Ketika ini, masyarakat mahu calon terdiri daripada orang muda dan muka baharu maka saya dan parti tidak abaikan apa juga saranan serta tuntutan pelbagai pihak dalam membentuk kerajaan Johor yang lebih stabil,” katanya.

Hasni turut diminta mengulas tindakan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, yang mengumumkan keluar Bersatu semalam selain menyatakan sokongan kepadanya.

“Saya doakan beliau terus bergerak aktif dalam politik. Dalam tempoh 24 bulan beliau menyandang jawatan EXCO Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, saya rasakan beliau sudah memahami cara kerja Umno dan BN.

“Di situ saya rasa Mazlan lihat kita ada persefahaman dan menyebabkan beliau yakin untuk menyokong BN, Umno, serta kepimpinan saya,” katanya.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pula mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana DUN di Parlimen Pontian untuk memberi tumpuan pada tugasnya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau turut menzahirkan sokongan penuh kepada Hasni untuk dicalonkan semula bagi DUN Benut. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.