`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, August 7, 2022

KPM akui cabaran gaji rendah antara punca tak sambung pengajian

 

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin, berkata apabila mereka masuk ke alam pekerjaan, lepasan menengah mendapati melanjutkan pengajian tidak menjanjikan kadar gaji diperoleh akan lebih tinggi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengakui kadar gaji masih rendah dan tidak berganjak sejak beberapa tahun lalu menjadi cabaran memastikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri, Radzi Jidin, berkata apabila masuk ke alam pekerjaan, mereka merasakan meneruskan pengajian tidak mampu menikmati gaji lebih tinggi.

Katanya, justeru, tumpuan lebih perlu diberikan bagi proses pembinaan ekonomi bernilai tinggi yang dilihat mampu menjadi penyumbang utama kepada pendapatan lebih tinggi dalam kalangan rakyat.

“Antara cabaran yang kita hadapi adalah isu struktural, (di mana kita lihat) apa yang berlaku (dan) dalam konteks ini, kita lihat gaji kita agak ‘stagnant for the past years’, yang mana kos sara hidup meningkat, inflasi dari tahun ke tahun ada kadar inflasi meningkat.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

“Maka, apabila anak-anak ini masuk ke ruang pekerjaan mereka berasakan bahawa kadang-kadang belajar pun gajinya tidak tinggi, itu cabaran yang kita hadapi (dan perlu diselesaikan),” katanya menurut Astro Awani.

Radzi berkata, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan proses latihan secara menyeluruh kepada guru-guru dan kaunselor bagi menanam minat pelajar secara semula jadi daripada sistem persekolahan ketika ini.

Ia adalah bagi memastikan pelajar tidak tertinggal khususnya dari konteks sains dan teknologi yang mana akan memberi kesan besar kepada negara pada masa akan datang.

“Kita sedang berusaha mencerakinkan data ke tahap seterusnya, nak lihat secara lebih terperinci berkaitan data (berhubung pelajar tidak minat meneruskan pengajian), perincian data ini penting, sebarang tindakan adalah berdasarkan perincian data,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan bahawa kaji selidik Jabatan Perangkaan mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1% lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak mahu menyambung pelajaran.

Walaupun data tersebut adalah dari 2019, tetapi trend tersebut dipercayai berterusan pada 2020 dan 2021.

Mengikut data kajian tahun 2019, membabitkan 560,000 calon SPM yang mengambil peperiksaan, namun selepas keputusan, hanya kira-kira 170,000 memilih menyambung pengajian, manakala bakinya 390,000 memasuki pasaran kerja.

Tiga faktor utama mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun tidak minat menyambung pelajaran ialah banyak peluang pekerjaan menerusi kerjaya gig, terpengaruh menjadi pempengaruh di media sosial dan beranggapan belajar tinggi bukan jaminan mendapat pekerjaan lebih baik. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.