`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, March 31, 2023

Aktivis cadang bina PPR 1,000 kaki persegi untuk keluarga besar

 

Kajian Institut Penyelidikan Khazanah mendapati unit PPR seluas 700 kaki persegi tidak lagi boleh diguna pakai bagi saiz isi rumah berbeza.

PETALING JAYA: Seorang aktivis menggesa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) diluaskan kepada 1,000 kaki persegi untuk menempatkan keluarga besar.

Jeffrey Phang, aktivis hal ehwal masyarakat berkata, saiz standard PPR semasa, iaitu 700 kaki persegi, tidak sesuai untuk isi rumah yang besar.

“Unit seluas 700 kaki persegi terlalu kecil untuk keluarga dengan 10 ahli, contohnya,” kata Phang, pengerusi kumpulan komuniti MyPJ, kepada FMT.

Beliau berkata, PPR juga perlu mempunyai kemudahan seperti ruangan menelaah untuk kanak-kanak.

“Jika anda lihat beberapa PPR, seperti yang ada di Lembah Subang, hampir tidak ada ruang untuk kegiatan lain. Jadi (pergerakan) penduduk terhad kepada unit kecil yang mereka diami,” katanya.

“Saiz ruangan itu satu perkara, tetapi sama pentingnya untuk mempunyai ruangan menelaah bagi kanak-kanak supaya mereka boleh belajar dengan selesa.”

Katanya, pengurusan yang bagus penting bagi menjaga bangunan dan kemudahan.

Phang mengulas kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), yang mendapati unit PPR seluas 700 kaki persegi tidak lagi boleh diguna pakai bagi saiz isi rumah yang berbeza.

Menurut KRI, unit itu perlu dinaik taraf kepada sekurang-kurangnya 800 kaki persegi.

Hampir 4,000 isi rumah daripada lima PPR – empat di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang – ditinjau antara 2016 dan 2017.

KRI melaporkan, saiz isi rumah di PPR cenderung terdiri daripada tiga hingga enam ahli keluarga dan kira-kira 14% isi rumah mengalami kesesakan di dalam unit rumah, yang ditakrifkan sebagai lebih dua orang bagi setiap bilik tidur.

Hamdan Abdul Majeed, pengarah urusan Think City, sebuah organisasi yang menggalakkan penciptaan ruangan yang mampan dan saksama, juga bercakap dengan FMT tentang isu itu, dengan berkata, perlu ada dasar dan program peringkat makro semasa merancang PPR.

Hamdan berkata, menampung kegiatan fizikal dan mewujudkan ruang sosial yang selamat penting untuk menambah baik kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak yang tinggal di ruang terhad PPR.

“Untuk merealisasikan ini, perancangan ruangan menjadi kuncinya,” katanya.

“Dasar yang tangkas boleh menyegerakan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan dalam mereka bentuk semula PPR bagi mewujudkan ruang umum, yang membolehkan penduduk berfungsi sebagai komuniti inklusif.

“Ini juga mesti termasuk ruang untuk kanak-kanak belajar, bermain dan membesar bawah pengawasan orang dewasa.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.