`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, March 30, 2023

Gaji 800, rasuahkan dia 600

 



Satu masa dahulu, ada seorang juru bersih di kampus kami yang asalnya dari Jawa. Beliau adalah pekerja kontrakan yang sarat dedikasi. Rajinnya Masya-Allah menyapu sampah, merapi persekitaran, mengnyahkotor segala sarap yang ada dan keazamannya memang luar biasa. Dia dibayar upah atau gaji sebanyak 800 ringgit sebulan. Pada beberapa kali yang kalanya menyakitkan hati, sebaik sahaja gajinya diperolehi; sedang dia menunggu di pondok bas untuk pulang ke rumah; akan ada “pihak” yang menyinggah tanpa rasa bersalah, lantas mengancam dan mengugut. 600 ringgit terbang ke dalam poket “pihak” yang menuntut rasuah itu. Wangnya juru bersih kampus kami tinggal tersisa 200 ringgit. Kata juru bersih itu, menangis dalam esak dan sedu, titik peluhnya 800 ringgit, merasuah “sang terkutuk” itu 600, yang tinggal untuk makan apa lagi?

Satu ketika yang lama, saat di Jerman melakukan post-doktorat saya; ada seorang bekas migran Burma yang kini sudah menjadi rakyat Jerman menceritakan, perihal dia pulang ke Kuala Lumpur satu kali. Isterinya warga Malaysia. Dia sendiri sudah beroleh pasport Jerman. Dia ditahan “pihak” yang menyinggah tanpa rasa bersalah, lantas mengancam dan mengugut. Dia menunjukkan pasport Jermannya. Dan “pihak” tersebut, tanpa rasa khuatir mencampakkan pasportnya itu ke tubir jalan. Sebab rasa diri mereka kebal.

Saya tidak tahu apakah cerita-ceriti di atas benar. Ia disampaikan demikian. Akan tetapi saya boleh juga menjamin, ada banyak lagi cerita-ceritu sebegini yang dialami oleh mereka di keliling kita. Makanya apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Khusairi Yahaya membuat kenyataan baru-baru ini bahawa tahap korupsi membabitkan anggota penguat kuasa sebagai barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan; maka masyarakat tidak begitu terkejut. Malah mencemik.

Menurut Khusairi, ramainya pendatang asing tanpa izin, kehadiran pekerja dan pelajar asing di Malaysia sudah terlihat sebagai kesempatan besar yang menganga buat sesetengah penguat kuasa yang tiada integriti untuk mengkorup dengan mengambil peluang terleka untuk mengambil rasuah.

Rentetan itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng (DAP-PH) mengemukakan satu usul supaya kritikan pegawai kanan SPRM terhadap rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa ini dibahaskan di Dewan Rakyat.

Usulan Lim ini begitu penting diberi perhatian. Amalan dan tabiat menerima dan meraikan rasuah dalam kalangan penguat kuasa adalah isu keselamatan untuk negara kita.

Isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa ini bukanlah semata-mata melibatkan soal ketirisan dana kerajaan sahaja. Akan tetapi lebih sengit dan genting, ia adalah isu keselamatan negara, isu kedaulatan, dan juga isu kerahsiaan.

Saya percaya SPRM tidak perlu pun menilik dan memantau, menyelidik dan menyelongkar perilaku anggota di agensi penguatkuasaan sedia ada jika masing-masing tahu dan bertakwa dalam melaksanakan amanah. Akan tetap lazim yang kita temukan adalah apabila pihak SPRM mendedahkan lubang rasuah ini, agensi berkaitan cepat melenting dan terlihat semacam melindungi atau mempertahankan anggota mereka. Tidak cukup ruang untuk kita senaraikan kelatahan mereka.

Ads by Kiosked

Sewajarnya pihak agensi yang dikritik mengambil cabaran SPRM ini dan benar-benar cekatan, amanah dan telus dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Bukan mengharuk tidak menentu pasal.

Rasuah dalam kalangan penguat kuasa boleh misalnya mendedahkan negara kita kepada pelbagai bahana dan bencana. Misalkan, di sempadan darat dan laut kita ada aneka agensi penguatkuasaan yang menjaganya; baik dari angkatan tentera, pihak kastam, JPJ, imigresen, unit pencegah penyeludupan dan bermacam yang lain.

Pun, isunya masih sama, sempadan kita tetap dibolosi.
Maka tidaklah ajaib sangat bila pendatang tanpa izin tidak bersurut, penyeludupan keluar barang bersubsidi kekal berlaku bertalu-talu, penyeludupan senjata dan dadah masih tidak dibendung, dan kita juga tersohor sebagai lalu lintas dan hab transit pemerdagangan manusia.

Usul Lim sangat mustahak dibahaskan dan diambil perhatian oleh Dewan Rakyat kerana rasuah dalam kalangan penguat kuasa meletakkan kedaulatan negara dalam keadaan bahaya. Pencerobohan masuk kapal dan pesawat perang dari luar negara kerap berlaku, sempadan maritim kita bebas diterobos sehingga ada pendatang yang boleh menggunakan kad pengenalan palsu melintas ruang udara dari Malaysia Timur ke Malaysia Barat. Kita juga belum lagi membicarakan penjualan pasport, penyeludupan kenderaan dari negara jiran; pendek kata terlalu banyak cerita-cerite “gaji 800, rasuahkan dia 600, aku tinggal habuk 200” ini terjadi.

Jika kita rajin mengekori operasi SPRM, kita akan mendapati ada ratus gamaknya operasi dengan pelbagai nama dilancarkan. Akan tetapi wabak rasuah kekal kronik. Pelbagai saranan dan teguran dikemukakan oleh SPRM ekoran bermacam op ini. Segala laporan kepada menteri saya percaya sudah pun dibaca akan tetapi agaknya kita belum ada keiltizaman politik untuk membanteras rasuah dalam kalangan penguat kuasa ini. Maka ia terus berleluasa.

Memang patut DAP dari Kepong ini meminta supaya Dewan Rakyat membincangkan keadaan kita yang dibasahi rasuah. Seantero dunia bercakap tentang kita. Ada pemimpin sudah dijel, ada pula pemimpin sudah dicaj. Maka kita memang terbeban dengan cerita-cerito rasuah dan korupsi ini sehingga menjadi bahan gelak dek orang. Kembalikan maruah negara.

Ads by Kiosked

Tidaklah keterlaluan misalnya jika kita turutkan kehendak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mendesak kerajaan perpaduan supaya tidak memberi muka kepada perasuah. Baik kecil dan besar. Titah baginda, “jika Najib (Najib Razak) boleh dimasukkan ke dalam penjara, bagaimana dengan orang lain? Reputasi Malaysia telah terjejas kerana rasuah. Kita perlu singkirkan kanser ini.”

Kalau kerajaan perpaduan betul ingin mematikan korupsi, maka satu yang mesti dimuktamadkan segera ialah meletakkan SPRM dalam posisi istimewa yang memboleh dan meluluskan ia memantau semua agensi penguatkuasaan. Dek kerana rasuah sudah menjadi kanser, SPRM selaku pakarnya perlu diberi peranan dan lesen tanpa had dalam usaha memerangi korupsi ini.

Perang kita di Malaysia Madani ialah perang melawan rasuah. Buku teks 50 tahun lagi akan menetapkan begitu dalam silibus sejarah Malaysia. Moga-moga kisah jelek dan mengaibkan nama negara seperti “gajiku 800, rasuahkan 600, maka aku hendak makan apa dengan 200 ringgit ini” tidak lagi berkumandang. Moga-moga kisah parti politik makan duit tahi judi untuk terus beruntung, dan menyalurkan kepada TikToker selebriti yang gelap wang akan berkubur. Malaysia 50 tahun mendatang perlu menjadi lebih baik dari la ni.

Masa untuk bermula haruslah sekarang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.