`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 26, 2024

Kapital budaya di tangan zionis, Afrika, dan Korea Selatan

 

Kita perlu melawan dunia dengan identiti longgar hari ini. Dunia yang mana hari ini ‘believing without belonging’, yang mana keimanan tanpa perlu berasa berjejak dengan inti kepercayaan itu sendiri telah meluas, dan boleh merompongkan jati diri kita.

Untuk itu kita perlu menstrategikan kapital budaya sedia ada. Persoalan kapital budaya ini diketengahkan oleh sosiologis di Barat, iaitu Pierre Bourdieu dan Jean-Claude Passeron dalam tahun 1970. Meskipun ia bukan sesuatu yang ‘oriental’ secara terma dan wacananya, ia masih dapat dimanfaatkan oleh kita di Selatan, dan oleh negara berkembang untuk melawan imperalisme budaya asing (baca: Barat dan resapan zionisme), selain membetulkan malapetaka ‘believing without belonging’ yang sedang menjangkiti generasi muda.

Tentu Bourdieu dan Passeron merujuk kapital budaya menurut kefahaman mereka sendiri yang merangkumi gaya hidup, kehendak, dan kepenggunaan objek budaya, kepakaran, tradisi adat, bahasa, pendidikan, citarasa, dan asal-muasal sosial. Tetapi, yang jelas ialah kapital budaya ini dikutip dan diturunkan kepada anggota masyarakat generasi baru yang terdiri dari pelbagai kelas.

Mengapa penting untuk kita menstrategikan kapital budaya ini?

Ia penting kerana terdapat pengalaman luar yang menunjukkan kepada kita budaya dan seni dimanipulasi untuk mempengaruhi di luar buku teks. Ambil sahaja bagaimana Zionis mengeksploitasi kapital budaya ini. Tentu sahaja dalam konteks ini, kapital budaya ini digunakan secara negatif.

Theodor Herzl, pendiri zionisme, membudaya dan menjual gagasan dan ideologi zionisnya menerusi 16 buah drama pentas, termasuk melalui novelnya ‘Altneuland’ (dalam terjemahan Inggeris The Old New Land, 1902). Untuk mencangkuk rasa, Herzl mengetengahkan zionisme melalui genre roman. Tujuan Herzl jelas hari ini, iaitu untuk menanam kepercayaan dengan rasa keterikatan (believing with belonging). Ia mencipta generasi degil yang taksub kepada ketuanan Yahudi, meluas dijual kepada etnik di Eropah Timur dan Rusia, yang mana akhirnya sanggup berhijrah ke Jaffa, dan mengubahnya menjadi Tel Aviv.

Dalam bentuk yang lebih positif, gerakan melawan apartheid di Afrika Selatan turut menggunakan strategi kapital budaya ini. Apartheid gagasan seumpamanya zionis, malah ketika itu Israel bermati-matian berpihak kepada apartheid. Cara gerakan anti apartheid melakukan ialah dengan mencungkil budaya apartheid itu dengan cangkul kapital budaya. Pelaksanaannya melibatkan banyak sekali mogok, dan pemulauan atau boikot.

Pemulauan budaya ini sangat berkesan kerana ia membolehkan tekanan kuat dari luar terhadap Afrika Selatan di zaman apartheid. Universiti luar atau seniman misalnya enggan bekerjasama atau membuat persembahan di negara itu, dengan memberi alasan bahawa mereka tidak boleh bertolak ansur dengan kekejaman dan diskriminasi apartheid. Novel seperti Cry Freedom oleh John Briley memberikan kita naratif Steve Biko, hero South African Black Consciousness Movement bekerjasama dengan Donald Woods, editor akhbar Daily Dispatch. Kemudian Nadine Gordimer dalam novelnya yang banyak diharamkan, menggerakkan kesedaran untuk diaspora Afrika Selatan.

Contoh lain, yang mungkin lebih materi sifatnya ialah gerakan K-Pop, atau dikenal sebagai “Hallyu” (gelombang Korea) yang ideanya adalah agar Hallyu menjadi pemangkin atau peneraju utama budaya sejagat menggantikan Hollywood. Ia memberi tumpuan kepada sektor hiburan, industri kosmetik sehinggalah kepada gastronomi seibaratnya ramen. Hallyu menjadi kuasa lembut (soft power) yang diutarakan oleh Joseph Nye dalalm tahun 1990. Dalam masa dua dekad, Korea Selatan menenggelamkan jeans Levi’s, Apple iPhones, rokok Marlboro, Coca-Cola, dan filem-filem Hollywood. Hallyu menjadi fenomena di seluruh Asia, dan menyumbang 0.2% GDP Korea pada 2004, merangkum sekitar USD1.87 bilion dan kemudiannya pada 2019, Hallyu dikatakan bernilai USD12.3 bilion.

Terlepas dari keuntungan materi, pengalaman Hallyu memberi petunjuk budaya boleh dikapitalkan dan diturunkan, bahkan dikembang kuncupkan dengan keinginan dan cita-cita bersemangat.

Sudah masanya negara di Selatan dan ‘negara berkembang’ (atau negara membangun) belajar dari pengalaman yang luar biasa di pihak Afrika dan Korea Selatan ini, juga keghairahan zionis menjual gagasan keji mereka itu menerusi strategi dan pengkapitalisan kapital budaya.

Kita di alam Melayu mempunyai sumber budaya yang dapat kita kapitalkan untuk dipromosi ke seluruh dunia. Akan tetapi ia memerlukan kekuatan. Sama ada kekuatan itu kerana keterdesakan sepertinya zionisme, atau kerana perlawanan sepertinya di Afrika Selatan, atau juga kerana tujuan ekonomi seperti dilakukan oleh Korea Selatan.

Setakat ini yang serius dan nampaknya berkesedaran dalam hal ini adalah Indonesia, dan mungkin Thailand. Malaysia masih agak terkebelakang. Tengok sahaja Candi Lembah Bujang kita, dan bandingkan bagaimana Candi Borobudur dijualkan.

Penstrategian kapital budaya ini perlu diperluaskan kerana dalam dunia yang generasi muda kita dengan mudah menelan cairan asing ekoran kedahagaan, kita sentiasa berada di jurang bahaya budaya. Kita boleh tergelecek ke dalam gaung yang menelan di bawah atau kita boleh mencipta jambatan dan merentangi lubang ternganga luas itu untuk maju ke seberang sana.

Memang bukan kerja senang. Bukan pula kerja cepat. Ia akan memakan masa. Sungguh usia kita di dunia tidak lama, kudrat bukan selalu kuat, dan sumber untuk mendanai selalu miskin, dan hanya beberapa kerat yang peduli. Namun ia perlu dilakukan segesitnya.

Saya khuatir gejala ‘believing without belonging’ ini akan berkuku dan menjadikan generasi muda kita generasi karipap angin. Kerak dan kulitnya rangup dan menyelerakan di luar, intinya tiada di dalam. Memakannya serasa sakit hati, dan mendera rasa. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.