`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, January 19, 2024

‘Merempit’ demi sesuap nasi

 

“Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?” Sebilangan besar kita sudah terbiasa dengan satu iklan ubat sakit kepala di televisyen yang memaparkan kesibukan seorang penghantar makanan p-panggilan menuturkan dialog berkenaan di tengah-tengah banyaknya penghantaran yang dia harus lakukan. Sakit kepala boleh tunggu tapi penghantaran perlu diselesaikan dahulu – begitulah mesej yang ingin disampaikan.

Peri pentingnya khidmat penunggang p-panggilan ini bagaimanapun sering direndahkan masyarakat yang lazimnya hanya dirasai apabila khidmat mereka terhenti. Masyarakat terlalu mudah untuk memandang serong kepada mereka ini. Sudah terbiasa dengan pemandangan dikelilingi atau didepani oleh penunggang p-panggilan setiap kali berhenti di lampu isyarat, tanggapan serong sering dibuat terhadap mereka yang mudah disamakan dengan ‘mat rempit’ atau samseng jalanan.

Stay up-to-date by following FMT's Telegram channel

Tanggapan sedemikian mungkin diburukkan oleh segelintir penunggang p-panggilan yang tidak mematuhi lampu isyarat di laluan yang dilihat tidak terlalu sibuk dengan lalulintas atau tergesa-gesa memulas throttle ketika lampu merah baru hendak bertukar hijau. Bukan hendak menuduh kepada semua tapi ada penunggang seumpamanya yang berasakan jaket dan beg atau kotak makanan berwarna hijau atau merah jambu di belakang mereka sebagai ‘lesen besar’ di jalan raya.

Tapi masyarakat jugalah yang mudah merungut apabila makanan dipesan lambat tiba atau tidak lagi panas seperti baru keluar dari kedai. Tidak cukup dengan itu, ramai yang terlalu berkira dan lokek untuk menghulurkan tip seringgit atau dua, barangkali kerana beranggapan upah penunggang p-panggilan sudah mahal.

Keselesaan tanpa perlu keluar hanya dengan menanti pesanan makanan dihantar hingga ke depan pintu rumah, umpamanya di Seri Kembangan dari restoran nasi kandar sejauh Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur – ketika cuaca baik mahupun hujan lebat – tidak pula mereka ambil kira.

Sudah sedemikian nasib penghantar makanan kerana mereka yang memilih pekerjaan berkenaan sama ada atas pilihan sendiri atau terpaksa. Apa pun, jangan sesekali kita lupa yang mereka ini juga tidak berbeza dengan orang lain yang perlu berhempas-pulas dan ada kalanya bersabung nyawa mencari nafkah, di sebalik mereka mungkin mudah disalahertikan sebagai ‘merempit demi sesuap nasi’. Pernahkah sesiapa mendengar atau terbaca ada antara mereka yang hidup senang. Tidak pernah, bukan?

Namun, gambaran mereka tidak menang tangan seperti dalam iklan ubat sakit kepala pada awal nukilan ini mungkin berubah dengan ura-ura penunggang p-panggilan Grab mahu mengadakan mogok ‘Grab Blackout’ hari ini kerana tidak berpuas hati dengan kadar bayaran upah baharu syarikat itu yang didakwa lebih rendah. Berasa mereka dieksploitasi dan ditindas – ini bukan pun kali pertama – mereka sebenarnya hanya mengharapkan keadilan. Tuntutan mereka ialah supaya Grabfood mengembalikan semula bayaran upah kepada kadar asal serta-merta.

Tanda pagar #hentikan bulirider, #kembalikanfareasal, #mintarm7dptrm4 dan #grabsembelihrider turut digunakan dalam poster kempen ‘Grab Blackout’ itu, yang dirancang dari 7 pagi hingga 12 tengah malam di seluruh negara.

Grab dalam kenyataan berkata struktur pendapatan baharu yang berkuat kuasa pada Selasa memberikan manfaat kepada rakan kongsi penghantaran yang paling aktif. Tempahan yang menghendaki lebih banyak masa dan usaha dikatakan akan dibayar dengan lebih adil. Tambang asas dikurangkan manakala insentif dinaikkan bagi penghantaran pada waktu puncak, pengambilan jauh dan masa menunggu tambahan bagi penghantaran “pick-up”.

Jika benar demikian, seharusnya ia dialu-alukan. Sebaliknya, penunggang Grab membantah struktur baharu itu dan menggesa penunggang lain memboikot syarikat itu. Tambang yang dikurangkan dirasakan mereka tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup semakin meningkat dan penyelenggaraan motosikal memakan kos tinggi.

Mohd Khairul Najmie Mamat menulis di Facebook: “Fare terbaru Grab menguntungkan rider ke? Start semalam (Selasa) Grab telah memperkenalkan fare terbaru. Dengan fare minimum dari RM4 kepada RM3.50 di sesetengah tempat. Dan menaikkan bonus pick up dari RM0.35 kepada RM0.50 per km. Saya ada buat sedikit pengiraan dalam situasi deliverypick up jauh tapi hantar dekat dengan formula, fare + bonus pick up atau fare + (km-2)*bonus pick up. Kenapa tolak 2 kerana tiada bonus pick up untuk 2km pertama.

“Formula fare lama RM4 + (km-2)*RM0.35. Formula fare baru RM3.50 + (km-2)*RM0.50. Mengambil contoh jarak pick up 5km dan 6km sebagai perbandingan. Pengiraan jarak 5km, fare lama: RM4 + (5-2)*0.35 = RM5.05, fare baru: RM3.50 + (5-2)*0.50 = RM5.00. Pengiraan jarak 6km, fare lama: RM4 +(6-2)*0.35 = RM5.40, fare baru: RM3.50 + (6-2)*0.50 = RM5.50.

“Kesimpulan dengan fare baru ni: 1. Grab menggula-gulakan rider untuk pick up jauh yang selama selalu mendapat aduan bonus pick up yang murah; 2. Fare baru pick up jarak bawah 6km jauh lebih murah berbanding fare lama; 3. Hanya fare baru berjarak 6km ke atas sahaja lebih menguntungkan rider; 4. Mengekalkan harga fare lama dan bonus pick up baru sahaja yang dapat menghargai para rider sebenarnya,” hurai Khairul.

Dalam pada itu, ada pula satu hantaran tanpa nama yang menyatakan tindakan boikot itu tidak akan berjaya kerana mendakwa hanya 50% penunggang yang menyokongnya.

“Antara sebab rider akan kalah dengan Grab ialah ekonomi gig tiada kontrak, tiada hitam putih, tiada KWSP majikan. Dia nak naik fare ke, turun fare ke, suka hati dialah. Boikot, ko bersatulah boikot macam mana pun, rider Grab dah ramai, mesti ramai yang ada on jobs walaupun fare dah rendah, sila-silap diorang boleh cover kalau korang boikot, aku expect 50% boikot, 50% cedok macam biasa, tu hak diorang nak on atau off, dah nama pun freelance gig ekonomi.

“Takde undang2 akta khas antara company dan rider di Malaysia. Ko pernah dengar ke Grab kat Malaysia ni kena saman sebab menindas rider? Dah2 lah tu mengharapkan Grab full time sebab nak kebebasan, kos harga barang naik ke, kos service motor naik ke, ko hidup susah ke, ko baru lepas eksiden ke, ko jugak yang pilih nak jadi rider full time yang nak kebebasan,” kata hantaran itu.

Sebagai reaksi kepada mogok itu, Grab memuat naik satu hantaran mengenai sesi Facebook Live pada 7 malam ini dengan topik ‘Kemas kini struktur tambang dan insentif’ buat rakan penghantar. Selain itu, Rakan Penghantar Grab turut menganjurkan satu sesi berasingan dari 10-11 pagi ini menerusi platform Facebook Rakan Penghantar Grab MY.

Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia turut menggesa kerajaan campur tangan selain merangka dan mengeluarkan polisi atau garis panduan meliputi keseluruhan perkhidmatan sistem ekonomi gig p-panggilan bagi menjamin kebajikan pekerja syarikat pengangkutan dan penghantaran makanan.

Pada Ogos tahun lalu, kempen protes 24 jam oleh sebuah kumpulan penghantar makanan yang tidak berpuas hati dengan potongan kadar upah perjalanan mendapat perhatian perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob.

Berselang setahun pada Ogos lalu pula, 24 syarikat pengendali perkhidmatan berkenaan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk lebih telus, meneliti, dan memperhalusi lebih lanjut pandangan golongan penghantar dalam penentuan dan pengiraan kadar upah bagi mereka.

Di sebalik semua itu, boikot masih berlaku dan ketidakpuasan hati penunggang p-panggilan masih berulang. Harus ada sesuatu yang tak kena. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.