`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, January 18, 2024

Tepuk meja tanya dana

 

Baru-baru ini beberapa buah NGO tempatan termasuk yang liberal dan lebih Islami dikhabarkan bertemu seorang menteri dari Jerman. Negara Jerman penyokong kuat Israel, tidak simpatetik terhadap Palestin malah mengambil langkah gila untuk mencelah kes Afrika Selatan melawan Israel di mahkamah antarabangsa. Memang langkah hina buat siapa pun yang menyokong Israel atas genosid yang dilakukan di Gaza, Palestin sejak 100 hari lalu.

Saya percaya NGO-NGO di atas tidak mendapat nota mengenai ‘boikot budaya dan seni terhadap Jerman’ yang dilancarkan oleh lebih 1,000 orang seniman, termasuk penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan Annie Ernaux, penerima Hadiah British Turner Tai Shani dan Jesse Darling. Boikot budaya ini dikira bersejarah kerana ia dapat memalukan Jerman untuk satu tempoh lama.

Dalam sejarah dunia, boikot seni dan budaya sangat berkesan berlaku di Afrika Selatan untuk memusnahkan dasar apartheid. Dalam tahun-tahun 1950-an, gerakan sivil untuk memberi kesedaran terhadap kezaliman dasar apartheid bercambahan di seluruh dunia. Ia dilancarkan untuk memberi kesedaran terhadap apa yang berlaku di Afrika Selatan di mana kaum kulit putih menindas kaum peribumi tanpa segan silu.

Gerakan boikot ini bermula dengan pemulauan terhadap produk makanan. Kumpulan The Protestant Women in Germany misalnya menyerukan orang ramai agar berhenti menggunakan buah-buahan dari Afrika Selatan. Seruan boikot ini merebak menjadi kempen sekatan ekonomi. Harus diingat pada waktu itu, kita tidak mempunyai media sosial justeru suara mulut ke mulut menjadi sandaran. Makanya kempen itu dilakukan menerusi tetuang suara seraya mengumpul atau memobilisasi pengarang, pemuzik, dan artis.

Pada 1959, African National Congress (ANC) menyerukan boikot ke atas Afrika Selatan, yang disambut kemudiannya oleh British Musicians’ Union pada 1961. Ia membawa kepada lejen muzik seperti Rolling Stones dan Beatles ikut enggan membuat persembahan di negara itu. Mereka memilih anti apartheid di awalnya.

Ekoran itu rejim apartheid mulai menggelabah dan membuat pelbagai kempen, khusus membayar (membeli jiwa) para pemuzik untuk membuat persembahan di negara itu. Millie Jackson dan Frank Sinatra antara artis paling awal yang mementingkan bayaran dari maruah diri.

Pada 1980, Millie Jackson yang membuat konsert di Afrika Selatan ditemui oleh MDALI, sebuah pertubuhan yang membela hak pemuzik kulit hitam. Apabila wakil MDALI mendesak beliau untuk memboikot Afrika Selatan sejajar dengan kempen anti apartheid, Jackson menyatakan dia bukan seorang ahli politik lantaran itu wang menjadi keutamannya, “I am not a politician and I am not going to mix my career with politics. All I want is the money.”

MDALI dan Azanian People’s Organization (AZAPO) kemudian melaksanakan seruan untuk menghukum artis tamak ini. Demikian juga yang terjadi kepada Frank Sinatra pada musim panas 1981 apabila beliau membuat persembahan di Sun City Hotel Casino and Country Club di Bophuthatswana, Pretoria, sebuah projek rejim apartheid untuk menolak boikot budaya. Sinatra beroleh USD1.79 juta untuk sembilan persembahan dan membuka jalan kepada ramai artis dari Barat untuk ikut beraksi di sana.

Perbuatan itu ternyata bodoh kerana mereka menerima tempias pemulauan tersebut. Perlahan-lahan nama mereka merudum. Hari ini siapa sahajalah yang mendengar suara dan lagu Millie Jackson misalnya.

Justeru tidak menghairankan apabila seruan boikot budaya dan seni terhadap Israel menjadi semakin tular. Ini kerana memang ada asas dan sejarahnya. Aktivis dan pemuzik Gil Scott Heron misalnya menyatakan terus terang enggan menerima dasar apartheid di Israel. Manakala ramai lagi penyanyi bersikap berhati-hati antara lain Taylor Swift.

Apabila Jerman berpihak kepada Israel minggu lalu di Mahkamah Antarabangsa, inisiatif boikot budaya terhadap Jerman mulai digerakkan. Minggu ini, novelis Bosnia-Serbia Lana Bastašić, yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kesatuan Eropah pada 2020 menerusi novel Catch the Rabbit, menyatakan di Instagram adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membatalkan kontrak dengan penerbit di Jerman, “moral and ethical duty to terminate my contracts”. Rumah penerbitan itu S Fischer, diasaskan pada 1886 oleh Samuel von Fischer, seorang Yahudi Frankfurt, yakni S Fischer Verlag yang diusir Nazi pada 1936. Laman web penerbit ini menyatakan mereka menyokong Israel ekoran ‘serangan Hamas pada 7 Oktober 2023’.

Terlebih dahulu, Annie Ernaux penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan telah membuat pendirian untuk tidak berhubungan dengan institusi budaya dan seni dari negara itu. Perlahan-lahan seruan boikot ini mulai membengkak dan diekori ramai. Lebih mengejutkan, boikot ini lebih disambut oleh kaum liberalis dan kiri dari Eropah. Iaitu mereka yang bukan Islam. Puak-puak masyarakat sivil Islami, khusus dari negara bermajoriti umat Islam belum sangat mahu menyertai. Mungkin kerana segankan Jerman yang banyak menyumbang kepada aktiviti dan program anjuran mereka. Mereka masih cuba mengimbang dan menimbang.

Penutup cerita, untuk teman-teman beberapa buah NGO lokal termasuk yang liberal dan lebih Islami yang dikhabarkan bertemu dengan seorang menteri dari Jerman itu, elok kita memesankan bahawa boikot lebih berkesan dari turun demonstrasi halai balai. Saya telah memetik banyak contoh di atas. Cuma tepuk meja tanya dana.

Republik Jerman penyokong abadi Israel; mereka tidak simpatetik terhadap Palestin malah mengambil langkah jahat dan syaitan dengan mencelah kes Afrika Selatan melawan Israel di Mahkamah Antarabangsa. Tapi itulah, tepuk meja tanya dana. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.