`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, May 2, 2024

Hadiah Hari Pekerja – yang dapat dan menunggu

 

Free Malaysia Today

Bagi saya pengumuman kenaikan gaji penjawat awam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah hadiah kepada mereka sempena Hari Pekerja yang disambut semalam. Malah ia berita gembira luar biasa kerana kadar kenaikannya ialah yang tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13% dan tahun ini saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13%. Maka kita akan melaksanakan mulai 1 Disember tahun ini sebab saya sudah berjanji,” kata Anwar.

Cuepacs atau Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam tentulah menghargai pengumuman yang dibuat perdana menteri seperti dilapor FMT.

Namun pada masa yang sama ‘berharap’ (mungkin istilah ‘mahu’ lebih tepat?) beberapa cadangan lain yang dikemukakannya untuk tambah baik dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ‘dilaksanakan segera’. Ini selain kenaikan gaji lebih 13% yang diumumkan.

Presiden Cuepacs Adnan Mat dilaporkan berkata cadangan itu termasuk berkaitan kenaikan pangkat, pemberian elaun dan beberapa indikator lain yang termasuk dalam pakej SSPA sebelum ini.

Saya menyimpulkan ini sebagai mereka puas hati (kerana dapat kenaikan gaji) tetapi tidak puas hati (kerana tuntutan lain belum dapat).

Kenaikan gaji sahaja atau menurut Anwar pelarasan gaji penjawat awam, akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang terbesar dan terbaik dalam sejarah.

Kata seorang pesara yang pernah memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam, ini akan menambah beban hutang negara yang sudah mencecah RM1.5 trillion.

Bagaimanapun seorang rakan yang juga pesara perkhidmatan awam berpendapat setelah sekian lama (menurut beliau lebih 10 tahun) ‘tak naik gaji’ sememangnya wajar kenaikan diberi kali ini kerana katanya kenaikan harus dibuat setiap lima tahun.

Oleh itu katanya kerajaan harus buat pembayaran ‘backdate’. Namun menurut seorang lagi kawan berkata: “Sebab itu PM bagi lebih untuk cover yang lama tak naik tu”.

Berkata pula seorang kawan adalah tidak benar untuk mengatakan gaji kakitangan awam tidak naik kerana setiap tahun ada annual increment sehingga capai tahap tertinggi. Gaji katanya tidak statik.

Sebaik berita pengumuman kenaikan gaji disiarkan saya terbaca satu hantaran di Facebook berbunyi: “Tahniah penjawat awam tingkatkan kualiti dan prestasi”. Disahut seorang yang mengikuti laman Facebook berkenaan dengan berkata “kurangkan lepak kat kedai kopi emmmm susah nak ubah”.

Itulah masalah kakitangan kerajaan. Persepsi negatif yang dikaitkan dengan lepak ponteng dan malas.

Jika anda bukan kakitangan kerajaan atau tidak punya anggota keluarga bekerja dengan kerajaan anda mungkin akan kata mereka tidak layak dapat kenaikan gaji.

Tidak dinafikan ada di kalangan penjawat awam yang kerja keras, gigih, penuh dedikasi. Tetapi tidak dinafikan juga ada yang sebaliknya.

Tetapi kedua-dua golongan iaitu yang rajin dan yang malas akan sama sama dapat kenaikan gaji apabila apa yang dirancang kerajaan dilaksanakan.

Bagaimanapun kali ini menurut Anwar berbeza. ‘Ini bukan untuk semua’.

Kalau rekod pekerjanya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik mereka tidak layak diberi ganjaran seperti dijanjikan kerajaan,” kata perdana menteri.

Memang tepat tetapi ‘it’s easier said than done’. Lantas ketua jabatan mesti mainkan peranan untuk tahu ‘mana permata mana kaca’.

Kerap juga kedengaran kakitangan yang kuat ponteng bukan sahaja terlepas bahkan dapat naik gaji (dan pangkat?) kerana pandai main wayang.

Kerap juga kita dengar rintihan kakitangan yang betul-betul kerja ‘dicicir atau tercicir’ hanya kerana tidak pandai menonjolkan diri di depan sang ketua. Lalu mereka kecewa dan patah semangat.

Anwar mungkin punya sebab tersendiri untuk memberi ganjaran kepada kakitangan awam. Saya tidak mempersoalkan keikhlasan beliau mahu menghargai sumbangan penjawat awam. Namun walau apa pun niatnya langkah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang populis .

Siapa pun yang menubuhkan kerajaan akan sentiasa menjaga hati penjawat awam. Saya ulangi apa yang saya tulis untuk FMT pada 14 Feb 2023 yakni selain memastikan jentera kerajaan berjalan lancar jaga mereka dengan baik ialah memastikan sokongan yang diperlukan apabila pilihan raya diadakan.

Bukan sokongan mereka sahaja tetapi juga anggota keluarga mencakupi ibu bapa dan sanak saudara. Jika dilayan baik sokongan akan didapati.

Begitulah ‘logiknya’. Setuju atau tidak terpulang. Maka kakitangan kerajaan dilayan baik.

Contoh mereka dapat one off payment untuk hari raya, kos sara hidup dan sebagainya selain bonus. Semasa wabak Covid-19 umpamanya, RM1.17 billion daripada pakej rangsang ekonomi kerajaan Muhyididn Yassin diperuntukkan untuk kakitangan kerajaan.

Pada Mac lalu, Anwar dilapor berkata SSPA yang sedang dirangka akan meneliti keperluan memberi kelonggaran kepada penjawat awam wanita bekerja dalam tempoh lebih pendek supaya dapat beri perhatian lebih kepada keluarga. Dalam lain perkataan, orang perempuan boleh balik awal.

Ketika Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam semalam, lebih 1,000 pekerja daripada pelbagai sektor berarak ke Dataran Merdeka bagi menuntut hak pekerja.

Ada tuntutan diaju kepada majikan masing-masing. Ada juga yang dihala kepada kerajaan atau memerlukan campur tangan kerajaan.

Mereka terpaksa berarak di bawah sinar terik matahari. Orang kerja gomen tak payah berpanas dan berpeluh.

Sebagai wartawan tua, wajib saya akhiri penulisan ini dengan suara Gerakan Media Merdeka atau Geramm sempena Hari Pekerja. Kata Geramm media juga pekerja dengan hak yang perlu diperjuangkan.

Bukan hanya dalam konteks kebebasan media tetapi juga hak asasi, pembayaran gaji, perlindungan sosial, waktu bekerja, kesetaraan gender dan banyak lagi.

Kepada pihak berwajib, hayatilah suara sang pewarta yang mencari berita. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.