`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, May 27, 2024

Jangan alih isu, jawab ‘surat arahan’ segera, pemimpin Bersatu beritahu Rashid

 

Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah membidas Abdul Rashid Asari kerana membangkitkan perkara tidak berasas terhadap Bersatu.

PETALING JAYA: Bersatu membidas Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari yang didakwa cuba mengalih isu dengan menuduh parti itu melanggar perlembagaan dengan mendakwa menerima ahli bukan pribumi.

Ketua Penerangan Razali Idris mendakwa tindakan bekas ketua Bersatu Selangor itu dilihat hanya helah untuk menghalalkan tindakannya mengkhianati parti dengan menyokong pentadbiran Selangor diketuai Amirudin Shari.

“Jawab setuju atau tidak sahaja dengan arahan parti, jangan pertikai kerana beliau sendiri telah lama tidak hadir mesyuarat…banyak keputusan tak diketahuinya.

“Kalau betul-betul jantan jawab surat diberikan,” katanya kepada FMT mengulas isi kandungan surat Rashid yang mempersoalkan keabsahan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu, selain mendakwa parti itu melanggar perlembagaan dan boleh dibawa ke mahkamah.

Rashid mendakwa Bersatu berbuat demikian selepas menerima keahlian dua MPT iaitu Adun Kuang Mohd Rafiq Abdullah (Selangor) dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus (Pahang) yang didakwanya bukan dari kaum pribumi Malaysia.

Berdasarkan Fasal 7.3 Perlembagaan Bersatu pada 2019, ahli biasa harus pribumi warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Mengulas dakwaan itu, Razali berkata Bersatu telah membuat pindaan tiga tahun lalu membabitkan keahlian termasuk kepada bukan Islam melalui sayap Bersekutu yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung Tahunan dan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

“Kalau dia nak pertikai keahlian Rafiq dan Yazid sebagai alasan kononnya bukan pribumi, isu ini tak berbangkit langsung.

“Apakah maksudnya Rashid jadi ahli, ketua Bersatu Selangor dan naib presiden pun tak sah juga?,” katanya mendakwa Rashid kini panik hilang kerusi kerana tersilap langkah mengkhianati parti.

Sementara itu, Rafiq berkata beliau tidak tersinggung dengan serangan oleh Rashid itu dan yakin parti juga tidak akan melayannya.

Wakil rakyat penggal pertama itu juga meminta Rashid memberi penjelasan berdasarkan pemahamannya berhubung perkataan pribumi dan Melayu untuk meredakan kemarahan ramai.

“Sebab beliau sebut dua nama (Rafiq dan Yazid), banyak nama lagi ini, ramai orang marah dengannya,” katanya kepada FMT.

Pada 17 Mei lalu, Hamzah berkata wakil rakyatnya termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah diberi tempoh 14 hari menjawab ‘surat arahan’, antara lain mengarahkan mereka tidak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim serta kerajaan perpaduan baik di pusat dan negeri.

Selain Rashid yang menyokong kerajaan Selangor, enam Ahli Parlimen menyokong Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kegagalan mereka menjawab surat itu boleh menyebabkan keahlian terlucut dan perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.