`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 2, 2024

Persamaan Forest City dan Cyberjaya

 

Free Malaysia Today

Apabila baru-baru ini nama kota tanpa sejarah – Forest City – muncul lagi, saya segera teringatkan juga Cyberjaya. Ada satu keserupaan yang sangat menjolok mata pada kedua-dua kota ini. Persamaan itu pada hemat saya ada pada kehampaan sejarah.

Forest City atau diterjemah secara langsung, Hutan Bandar adalah sebuah projek pembangunan hartanah yang ditandakan sebagai serba mewah dan elit dan terletak di Mukim Gelang Patah, Johor. Ia dikatakan seluas 1,370 hektar. Satu masa lalu ia dirasmikan oleh Najib Razak dan dicita-citakan akan mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat menjelang tahun 2035. Jika berjaya, Singapura pun akan terduduk. Forest City ini ditempatkan bawah pengurusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri.

Secara sejarahnya Forest City adalah kawasan hutan paya bakau, terletak di Kampung Tanjung Kupang bersebelahan Pelabuhan Tanjung Pelepas. Kampung ini dahulu didiami penduduk tempatan yang bekerja sebagai petani dan nelayan.

Mungkin kerana serasa ingin menyaingi mentornya, Dr Mahathir Mohamad, Najib menirukan Cyberjaya untuk Forest City. Cyberjaya adalah bahagian utama daripada Koridor Raya Multimedia (MSC) di Malaysia. Ia sebuah kota yang ‘sengaja’ dibangunkan daripada ladang kelapa sawit dengan keluasan 2,890 hektar dan terletak di daerah Sepang, Selangor. Lokasinya cukup strategik memandangkan Cyberjaya ini kira-kira 50km di selatan Kuala Lumpur, bahkan bersebelahan dengan Putrajaya. Kerap orang luar akan masuk ke sempadan Cyberjaya kalau melilau di dalam Putrajaya.

Kononnya Cyberjaya diasaskan sebagai bandar pintar mengikut konsep Lembah Silikon di Amerika Syarikat, dan diasaskan pada 17 Mei 1997 oleh perdana menteri ketika itu, Mahathir. Seringnya tumpuan orang adalah mengenai konsep gagal pada kedua-dua kota ini. Akan tetapi saya ingin mengacukan pembaca kepada aspek lain.

Kehampaan sejarah. Bertitik tolak daripada kehampaan sejarah itu ia juga menjadi kota tanpa jiwa. Oleh sebab ia tiada jiwa, makanya ia juga tiada ‘kehidupan’ dan lantaran ia tiada ‘kehidupan’, ia dengan segera merosot menjadi sebuah kota tiada maya atau enerji.

Begini, mungkin lebih baik kita meninjau masalah kehampaan sejarah pada Cyberjaya, agar Forest City dapat belajar daripada kecuaian atau ketempangan lalu. Untuk memahami keadaan ini saya teringat pula sebuah konsep yang diketengahkan antropologis Perancis, Marc Auge dalam bukunya ‘Non-Places: Introduction to an Anthropology of Super-modernity’ yang terbit pada tahun 1995, dua tahun sebelum Cyberjaya terbangun. Kira-kiranya kalau Mahathir yang rajin membaca itu ada terserempakkan buku ini, saya kira nasib Cyberjaya barangkali berbeza.

Apakah konsep digagaskan oleh Auge? Konsep ini adalah ‘Tempat Yang Tiada’, atau saya lebih suka menterjemahkannya sebagai ‘Tempat Hampa’ atau barangkali ‘Tempat Tiada Maya’, ‘Tempat Tanpa Semangat’. Auge mendefinisikan mana-mana kota, tempat atau lokasi yang tiada sejarah, memori dan identiti adalah kebalikan kepada istilah tempat yang mana sejarah, kenangan, dan jati diri atau kriteria hidupnya memainkan makna yang sangat penting kepada kewujudannya.

Kebiasaannya ‘Tempat Hampa’ ini dibangunkan dalam bentuk yang seragam. Arkiteksurnya seragam. Prasarananya seragam. Ia hanya memberi fungsi kepada pengguna atau penghuninya tanpa menyediakan rasa keterikatan. Untuk membayangkan ‘Tempat Hampa’ ini kita boleh membayangkan lapangan terbang, atau stesen kereta api, rangkaian hotel, taman tema, pejabat kerajaan atau deretan kedai. Ia adalah tempat yang memberi khidmat atau memberikan servis. Kita lalu, kita pulang, kita tiada rasa terikat.
Semuanya memberi khidmat, namun tiada jiwa. Bahkan jiwa dianggap tidak penting dalam pembangunan kota atau tempat ini.

Di sinilah datangnya salah Cyberjaya dan mungkin nanti Forest City. Ini kerana yang akan menginap atau menghuni kota atau tempat ini, adalah manusia. Satu yang kita lupa manusia itu ada roh, ada jiwa, ada sejarah, ada memori, dan ada identitinya. Makanya, meletakkan manusia di kota atau tempat hampa akan membumbukan kejelakan, kejemuan dan kebosanan yang lama-kelamaan membesar dan kelak ‘meletup’ tanpa sedar. Saya khuatir ‘letupan emosi’ itu boleh memudaratkan.

Ahli arkitek dan ahli perbandaran selalu merasai mereka boleh mengatasi hal di atas ini dengan menyediakan ‘ruang awam’ atau ‘public spaces’. Maka di tempat tanpa maya atau tempat hampa ini mereka akan membangunkan pula taman besar, tasik buatan, taman tema dan pusat membeli-belah. Dengan harapan kegiatan akan membawa kepada kehidupan, dan kehidupan akan membawa kepada jiwa justeru kemeriahan.

Kita melihat Cyberjaya ada semua itu; pusat belanja, perhentian bas, taman dan tasik besar yang bersambungan dengan Putrajaya, dan untuk menyuntik kehidupan selalu dianjurkan kejohanan memancing, lari-lari, pasar karat, aktiviti rekreasi tetapi sebaik sahaja kegiatan di atas berakhir, kota atau tempat ini kembali sepi. Pesta pun berakhir.

Bandingkan ‘Tempat Hampa’ ini dengan kota atau pekan seperti Muar, Tampin, Kuala Pilah, Taiping, Alor Setar, George Town, Tenom, Kuching atau Marang. Tempat-tempat yang saya sebutkan di atas adalah tempat dengan sejarah unik, memori kuat dan identiti berbekas yang mana jika kita lawati akan membawa kepada satu rasa kelainan yang terakam di benak.

Justeru, meskipun tempat-tempat di atas tidak cukup memancing untuk didiami dari segi komersialnya, ia masih berhak diziarahi lagi dan lagi. Makanya, meskipun ia sebuah kota desa yang jauh daripada masyarakat super-bandar, ia masih memikat untuk dinikmati acap kali. Cyberjaya dan Forest City tiada aspek-aspek ini. Makanya apa sahaja yang dilakukan oleh pemaju terlihat gagal kerana pemaju hartanah terlupakan aspek kemanusiaan atau sains sosial.

Salah satu maksud Madani adalah proses pembandaran. Jika Madani ditakdirkan hidup lama melampaui usia Anwar Ibrahim sendiri, Madani harus mencari jalan untuk memberi jiwa kepada Cyberjaya, dan Forest City; atau tempat-tempat lain yang tiada jiwa ini.

Kegiatan sahaja tidak memadai. Kota tanpa jiwa ini harus dibangunkan dari seni. Bila saya katakan seni bukanlah bermaksud budaya sahaja, tetapi dari hal-hal yang paling seni, atau halus.

Untuk itu kalau ingin membangunkan tempat, pemaju atau ahli perbandaran janganlah memikir untung sahaja. Kita bukan mengisi robot di dalam kondominium atau apartmen besar yang dibangunkan. Kita mengisinya dengan insan. Manakala insan itu bersosial dan mempunyai kenangan, mereka harus diikat dengan identiti tempat tersebut.

Mulalah dari sekarang. Kota tanpa jiwa yang menampung manusia tanpa jiwa berisiko menerbitkan manusia robot yang juga tanpa jiwa. Manusia tanpa jiwa bisa jadi macam-macam. Mereka misalnya tiada kestabilan kerohanian, justeru boleh terlanjur membuat benda gila.

Orang kebosanan dan tercengkam tanpa spiritual mampu melakukan apa sahaja yang memudaratkan orang lain. Ini yang Madani harus cegah. Tempat Hampa adalah kebalikan daripada tamadun. Madani harus memadanikan kota atau tempat-tempat tanpa jiwa. Kerajaan tempatan harus menggerakkan ini. - FMT

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.