`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, July 7, 2024

Najib kalah kerana GST, PH dengan penyasaran subsidi, kata Hassan Karim

 

hassan
Ahli Parlimen Hassan Karim berkata penyasaran subsidi diesel tidak popular walaupun dasar itu betul dan bertanggungjawab.

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat PKR percaya Pakatan Harapan kalah pada PRK Sungai Bakap kerana isu ekonomi, terutamanya berkait penyasaran subsidi diesel.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berkata penyasaran subsidi diesel tidak popular dalam kalangan rakyat, walaupun dasar itu betul dan bertanggungjawab dari sudut ekonomi.

“Najib Razak perdana menteri ke-6 kalah dalam PRU14 kerana isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB. Kali ini di Sungai Bakap PKR dan PH mewakili kerajaan perpaduan kalah dengan isu pelaksanaan subsidi bersasar diesel,” katanya di Facebook.

Hassan berkata penerimaan rakyat di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon PH, Joohari Ariffin, “seorang calon yang bersih, berintegriti, dengan kelulusan yang tinggi, dan layak menjadi wakil rakyat yang baik”.

“Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan yang lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya.

Di sebalik naratif yang kerajaan uar-uarkan, Hassan berkata sebahagian besar rakyat akan menyokong PH dan kerajaan apabila mereka boleh ‘melihat’ harga barang yang berpatutan, serta ‘merasai’ kos hidup seharian semakin ringan.

“Apabila inflasi menurun, gaji pekerja bertambah naik, maka ketika itu mungkin sebahagian besar rakyat khususnya golongan B40 dan M40 akan mengambil sikap lebih mesra dan memihak kepada PKR, PH, kerajaan perpaduan dan kerajaan madani,” katanya.

Menceritakan pengalaman berkempen di Sungai Bakap, Hassan mendedahkan bahawa sambutan ceramah umum di Sungai Buaya adalah dingin.

“Kami berceramah di hadapan penyokong sendiri dari PH terutamanya anggota PKR. Hampir semuanya orang luar bukan penduduk tempatan,” katanya.

“Saya cuba menyokong calon PH dan menyokong kerajaan perpaduan dalam isu perlaksanaan subsidi diesel bersasar. Ceramah saya hambar. Saya lihat penyokong PH sendiri pun kelihatan defensif dalam isu subsidi diesel itu.”

Perikatan Nasional berjaya mempertahankan DUN Sungai Bakap, dengan kelebihan undi yang lebih baik.

Keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan calon PN, Abidin Ismail, meraih 14,489 undi berbanding 10,222 undi yang diperoleh calon PH, untuk menang dengan majoriti 4,267 undi.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata terdapat pengurangan ketara dalam peratusan keluar mengundi, terutama dalam kalangan pengundi Cina, yang menyumbang kepada kekalahan PH. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.