`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 15, 2024

Rombakan Kabinet Sang Phoenix

 

faisal tehrani

Sebenarnya perdana menteri tatkala ini, Anwar Ibrahim tidak mempunyai banyak pilihan melainkan, merombak Kabinetnya. Lebih menyeksakan adalah beliau juga tidak mempunyai begitu banyak pilihan untuk dibawa masuk ke dalam Kabinet itu. Sekurang-kurangnya itulah pemerhatian orang luar politik yang tidak boleh dikesampingkan.

Begini, ini adalah kerajaan perpaduan, memberi muka yang terlalu banyak kepada Umno bukanlah satu opsyen yang bersih. Umno telah mengalami tamparan dan malapetaka hebat, dan dapat dihujahkan masih tidak dimaafkan oleh orang Melayu ekoran siri korupsi dan kepongahan melampau. Dalam masa sama, Anwar juga tidak mempunyai begitu banyak pilihan, dari parti beliau sendiri iaitu PKR.

Beliau perlu mengimbangi calon-calon menteri sedia ada berdasarkan portfolio mereka di dalam parti. Mereka yang dapat dianggap setia, belum tentu ada kekuatan untuk mentadbir. Kerja menjadi menteri bukan senang, tambahan pula jika berdepan dengan penjawat awam yang liat, degil, enggan melakukan reformasi; dan lebih puaka merupakan pembutasetia kepada parti pembangkang tertentu. Itu belum lagi penjawat awam yang berpolitik pejabat.

Anwar juga nampaknya tidak begitu dibantu oleh calon menteri sedia ada dari parti Amanah. Mungkin yang betul-betul menyerlah selepas Mohamad Sabu, dan Dr Dzulkefly Ahmad; adalah dua orang yang diberi posisi timbalan menteri iaitu bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari, yang sekarang di Kementerian Pertahanan. Seorang lagi adalah ketua Wanita Amanah iaitu Aiman Athirah Sabu, yang nampaknya selesa berganding dengan Nga Kor Ming di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Amanah juga tidak begitu ramai wakil di Dewan Rakyat. Yang ada pun kurang dapat dibawa ke tengah.

Ini menjadi satu peringatan buat parti-parti ini untuk merekrut dan menyediakan pelapis yang senonoh di masa mendatang.

Sebuah parti lain di dalam Pakatan Harapan yang dapat menyediakan ramai calon berpotensi untuk menjadi menteri dan masuk Kabinet tentu sahaja yang datangnya dari DAP. Parti ini mempunyai sistem rekrut dan juga penapisan yang berkesan. Akan tetapi memilih atau memuatkan calon-calon berwibawa dari DAP akan membawa puaka dan bencana lain. Nahasnya adalah Melayu akan tiba-tiba terpaling Melayu. Manakala PAS akan mengalami inzal kenikmatan yang luar biasa setiap saat. Media sosial akan basah saban detik. Hari-hari mereka boleh menutuh DAP dan kerajaan Madani. Kerja mencari salah, dan mencipta tohmah amat mudah sekarang. Bukan itu sahaja, akan ada mufti terpaling berfatwa. Dalam masa yang sama, akan ada faksi-faksi dalam DAP bakal naik tokong.

Pencarian menteri cita sempurna (meminjam terma Syed Hussein Alatas) dalam kalangan parti-parti dari Borneo juga tidak dapat memberikan tokoh yang selayaknya untuk mengetuai cabaran sedia ada. Terdapat khabar angin, ada menteri dari sebelah sana yang tidak pun mengadakan mesyuarat post-Cabinet dan hanya melakukannya setelah ditegur. Keberadaan mereka juga sering dianggap rata-rata rakyat sebagai tangkap muat. Mereka seakan tidak dapat berperanan dengan baik, dan kurang dikenali.

Makanya pilihan Anwar yang tidak punya pilihan, melainkan merombak Kabinet itu tidaklah begitu banyak. Calon menteri popular belum tentu dapat bekerja dengan semenggah. Sebagai menteri, calon harus mempunyai karisma; pandai mengurus pasukan sedia ada dan bukan itu sahaja, harus betul berpengalaman.

Bukanlah cakap-cakap kosong ada penjawat awam mentertawakan menteri yang tidak pernah mempunyai pengalaman kerja. Memiliki pengalaman kerja sangat penting kerana ia memberi kita ketokohan memimpin organisasi kerja. Sayugia diingatkan organisasi kerja tidak sama dengan organisasi parti politik. Tidak sama.

Harus diingatkan, gabungan Perikatan Nasional adalah lebih teruk. Mereka malah tidak mempunyai calon berkarisma untuk dijadikan menteri jika terpilih membentuk kerajaan. Ada cerita angin yang kuat, menteri besar di sebuah negeri pembangkang hampir tidak reti mentadbir dan memimpin bahkan sepenuhnya bergantung kepada angguk atau geleng penjawat awam tertinggi di negeri tersebut. Akan tetapi biarlah mereka terjun gaung, tumpuan kita adalah kerajaan perpaduan, bukan kerajaan PN.

Sebenarnya Anwar perlu berani melakukan rombakan, dan memilih. Beliau mesti berani untuk pekak dalam memilih. Bukannya Pakatan Harapan itu tidak mempunyai calon-calon yang berwibawa langsung; ada yang terbukti berperanan dengan cemerlang. Akan tetapi dalam politik akan ada pemomokan berat yang menghalang Anwar untuk bertekad membuat pilihan.

Misalnya, Amirudin Shari adalah tokoh yang tepat untuk diangkat ke pusat. Bakat dan kepimpinan Amirudin sebagai menteri besar Selangor memang menyerlah dan akan lebih bersinar jika berkincah di peringkat persekutuan. Namun demikian membawa masuk Amirudin ke dalam Kabinet mungkin sahaja menjolok Rafizi Ramli berwaspada. Lebih buruk ialah Selangor tidak ada kepimpinan yang kuat dan jelas sepertinya di bawah Amirudin. Meskipun sudah ramai berani menyebut nama Dr Fahmi Ngah sebagai ganti, beliau belum cukup teruji dari segi politik meskipun sudah pernah kuat dalam bekerja memimpin Selangor Research Institute sebelum mencebur siasah.

Selangor adalah kubu PKR, salah pilihan di Selangor boleh memberi bahana di pusat.

Seorang lagi tokoh dari PKR ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun yang memimpin negeri Adat Perpatih itu dengan cemerlang. Akan tetapi hal yang sama mungkin menimpa Pakatan Harapan, membawa Aminuddin ke pusat boleh menyebabkan berlakunya vakum di Negeri Sembilan lantas membuka jalan pertelagahan antar-inter parti yang berpanjangan.

Tiga tahun itulah masa yang tinggal untuk kerajaan Madani membuktikan mereka canggih. Tiga tahun lagi cuaca politik belum tentu memihak. Landaan Perikatan Nasional masih dan amat kuat. Gelombang hijau sukar padam selagi agama dan kaum masih dibenarkan untuk terus ditunggang. Brainwash sekian lama sudah menebal santak, generasi hari ini telah terbiasa dengan kekarutan seperti biarlah kami tidak sembahyang asalkan kami sokong ulama.

Jika begitu apakah yang harus dilakukan Anwar Ibrahim? Beliau tidak mempunyai banyak pilihan. Anwar tidak boleh memilih berasaskan portfolio dan kuota parti. Beliau tidak boleh memilih berdasarkan banyak sedikit kerusi dalam Dewan Rakyat. Apa yang Anwar mesti dan tidak dapat tidak lakukan, adalah, merombak besar dan membawa masuk calon paling berpengalaman, dan paling berwibawa dari parti-parti kerajaan perpaduan tanpa perlu menimbang resah siasah yang bakal mendesah. Kementerian yang perlu diberi perhatian ialah Kementerian Pendidikan, misalnya. Belum ada reformasi yang sungguh-sungguh terpancar.

Rombaklah segera. Pilih yang boleh buat kerja sahaja. Tak payah menimbang sangat lain dari ‘kemampuan bekerja’. Masa berjalan. Ini kerana tempoh tiga tahun itu sekejap, dan pentadbiran Madani hendaklah cukup dan sedia berkesan dalam membuktikan dirinya boleh jaya.

Itu semua pula sangat bergantung kepada kebolehan penerangan kerajaan perpaduan menjelaskan kepada rakyat dengan berkesan. Sesuatu yang belum cukup dilakukan. Jadi ada korban Anwar adalah orang dekat-dekat dengannya, bolehkah itu dilakukan?

Memang mendebarkan episod selepas ini, kita telah melihat phoenix dibakar; tetapi mujur tidak rentung. Bak kata M Nasir, ia malah bangkit dari abu. Tetapi, akan tetapi jika direnung dan diramal betul-betul phoenix juga mesti berhenti mengibas kepak.

Phoenix mesti sudah boleh terbang, sekarang. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.