`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, August 9, 2024

FGV hasil minyak isirung sawit mentah pertama patuh EUDR

 

fgv
Pengeluaran minyak isirung sawit mentah patuh EUDR bukti dedikasi FGV Holdings penuhi piawaian alam sekitar dan sosial global yang ketat. (Gambar FGV Holdings)

KUALA LUMPUR
FGV Holdings Bhd mengukuhkan komitmennya terhadap amalan mampan dengan mengeluarkan minyak isirung sawit mentah (CPKO) pertama mematuhi Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Pencapaian ini merupakan sebuah lagi detik bersejarah buat FGV yang menjadi antara syarikat Malaysia terawal dalam menghasilkan CPKO patuh EUDR, kata syarikat itu dalam kenyataan.

CPKO digunakan secara meluas dalam produk makanan dan penjagaan diri, termasuk ais krim bukan tenusu, marjerin, coklat, konfeksi, sabun mandi, dan sabun cuci yang dihasilkan mengikut standard ditetapkan EUDR.

EUDR adalah rangka kerja perundangan bertujuan memastikan produk diimport ke negara Kesatuan Eropah (EU) bebas aktiviti penebangan dan kemusnahan hutan.

Keupayaan FGV untuk menghasilkan CPKO patuh EUDR untuk pelanggan antarabangsa jelas menunjukkan dedikasinya dalam menyokong piawaian kelestarian dan pematuhan perundangan global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nazrul Mansor, berkata FGV memahami peranan yang perlu dimainkan oleh perniagaan dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial yang mendesak.

“Pengeluaran CPKO yang patuh EUDR menandakan lembaran baharu bagi operasi kami serta membuktikan dedikasi kami untuk memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial global yang ketat.

Pencapaian ini pastinya akan memberi kesan positif kepada keuntungan kami dari masa ke masa dan mencerminkan pendekatan proaktif kami terhadap penjagaan alam sekitar serta komitmen kami terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan,
 katanya.

FGV memberi tumpuan kepada memperoleh tandan buah segar (TBS) daripada tiga sumber utama, iaitu ladang FGV, peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan ladang pekebun kecil bebas yang mematuhi piawaian EUDR serta syarat kebolehkesanan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) atau Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO).

Kami berhasrat untuk mengembangkan rangkaian rakan perniagaan kami dalam kalangan pekebun kecil, yang seterusnya akan menjana peluang ekonomi yang lebih baik untuk mereka, dan seterusnya meningkatkan usaha-usaha kelestarian kolektif industri minyak sawit Malaysia,
 kata Nazrul.

Pada Julai lalu, FGV melancarkan rangka kerja kelestarian yang baharu, bagi meneruskan komitmennya terhadap matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang merangkumi lima tonggak iaitu pertumbuhan ekonomi, tadbir urus, sosial, alam sekitar, serta inovasi dan teknologi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.