`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 13, 2024

Filem Melayu: Antara moral dan fiksyen

 

Free Malaysia Today

Seorang teman berbisik kepada saya sewaktu program diskusi filem Kembara Seniman Jalanan minggu lepas, 

cerita ini baik tapi masalahnya ada babak pegang botol dan tin ‘beer’. Tu yang tak sedap tu.

Saya hanya senyum tak menjawab sebab saya dah penat. Beberapa tahun lalu telah pernah saya ditanya oleh kawan lain dan telah juga saya menjawabnya. Maka saya kira tulisan kali ini saya petiklah dialog beberapa tahun lalu tentang isu yang sama. Saya faham niat mereka baik kerana mereka juga kaki filem tetapi hal-hal begini mengganggu mereka. Bagi saya ini bukan masalah kecil. Ini dilema kerja kreatif yang melingkari dunia Melayu kita.

Kita telah menanam kemestian bahawa drama dan filem Melayu patut menjadi sebuah platform yang mempromosikan adab dan budaya murni bangsa kita. Jadi, ada benda yang haram dan jangan sesekali dibuat. Ia amat sensitif. Adegan bercumbu lelaki perempuan ala mat saleh yang pernah dimuatnaik oleh seorang pelakon telah dikecam hebat masyarakat sehingga pelakon tersebut terpaksa menghadapinya bersendirian sampai ke mahkamah.

Filem dan drama Melayu sangat dijaga ketat oleh masyarakat kita. Babak seks, hubungan songsang, arak adalah taboo. ‘A big no-no’ kata orang putih. Saya faham kerana saya juga secara peribadi menolak amalan yang saya fikirkan songsang malah saya juga faham ada banyak lagi budaya negatif dalam masyarakat kita yang sepatutnya tidak dipaparkan tetapi anehnya ia boleh pula. Dan ia menjadi sebuah formula dalam melariskan drama dan filem itu sendiri.

Babak fitnah, babak mak mentua benci dengan menantu perempuan sehingga merancang keruntuhan rumahtangga anak sendiri ,kisah sondol dan merampas suami orang adalah budaya yang sangat negatif tetapi bab itu menarik pula untuk orang kita menontonnya. Drama sebegini mendapat rating tinggi.

Bukankah kisah-kisah begini melanggar budaya sopan-santun kita? Tetapi dalam bab pegang botol arak tadi, bagaimana saya hendak menjawab dengan baik soalan teman saya itu? Silap jawab, saya dilihat pro maksiat, mengalu-alukan arak, menyokong seks bebas dan gejala jahat lagi songsang. Lebih memburukkan keadaan lagi, teruklah saya akan dicop liberal dan tak beriman. Ah! Orang seni memang begitu. Kepalanya memang liberal, free thinker dan sebagainya. Ini susah ni!

Kau tengok filem Labu Labi oleh P.Ramlee?
 saya tanya. 
Adegan Labi berangan menjadi orang kaya dan lepak di bar. Labu dan Labi memesan minuman keras dan sangat ‘enjoy’ . Dari situlah kita mula kenal istilah whiski, brandy dan juga gin and tonic, kan?

Saya sebenarnya takut menjadikan karya P.Ramlee sebagai contoh kerana seniman agung tersebut hebat dan menjadi kebanggaan bangsa Melayu dalam bidang seni.

Ah! Itu sekadar cerita. Nak menggambarkan orang kita kalau kaya sikit mulalah nak jadi mat saleh,
 tingkah teman saya.

Samalah dengan yang kau tak puas hati dengan Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan tu. Kemasyhuran membuatkan dia kenal arak,
 hujah saya.

Dia diam. Saya menang 1-0.

Ingat filem Keluarga 69? Watak Osman Bakar lakonan P.Ramlee minum arak berbotol-botol dan cuba terjun dari bangunan untuk bunuh diri?
 saya usik lagi. Dia memandang lemah kepada saya. 
Dan sebelum itu Osman duduk menumpang di rumah teman wanitanya. Bersekedudukan!

Dia diam lagi. Barangkali dia bingung kenapa dia tidak nampak babak-babak tersebut sebagai sebuah kesalahan moral yang melanggar norma masyarakat Melayu. Saya terus mengajukan beberapa isu dalam filem P.Ramlee lagi seperti adegan masuk ke dalam bilik perempuan. Itu dari filem Anak Bapak. Saya juga membangkitkan adegan panas dalam filem Dr.Rushdi dan Gelora, dua filem P.Ramlee yang takut hendak diperkatakan oleh peminat filem Melayu. Kisah skandal seks yang panas dan meloyakan.

Itulah pekanya seniman agung kita. Dia mengangkat isu tersebut ke layar perak kerana perkara tersebut memang sudah ada berlaku terutamanya di kota besar. Malah tak keterlaluan dikatakan, perilaku tak bermoral ini ada juga terjadi di kampung. Takkan kau tak ingat masa kita kecil-kecil kat kampung dulu pun ada pakcik yang lain macam miangnya. Macam pedofil,
 kata dia.

Jadi, P.Ramlee tidak bermaksud untuk mempromosikan budaya tersebut?
 saya tanya.

Tak, aku rasa.
 jawapan dia ringkas.

Saya rasa saya telahpun mendapat jawapan persoalan ini. Ia tidak akan jadi hal kalau sosok pujaan kita membikinnya. Kita boleh terima. Dalam hal ini kita perlu bersikap adil dan jujur ketika membuat penilaian. Kita harus lebih terbuka untuk menerima idea daripada pihak lain juga yang tentunya mempunyai pendekatan mereka sendiri.

Jujurnya saya juga tidak dapat menerima beberapa filem yang menghidangkan sesuatu yang tidak saya senangi atau taboo untuk diri saya sendiri. Jika dalam sesebuah filem kesukaan saya ada terselit sedikit babak yang taboo bagi saya itu, tak menjadi hal lagi tetapi jika keseluruhannya bertemakan ‘itu’ saya akan elakkan.

Saya sendiri ‘ban’ untuk saya menontonnya. Saya mengelak tetapi untuk menyatakan karya tersebut perlu diharamkan kerana teruk, belum lagi. Saya juga ban filem-filem yang saya rasa saya diperbodohkan dan diejek-ejek.

Saya akui saya trauma dengan filem arahan Uwei Shaari ‘Perempuan, Isteri dan…..’ kerana keberkesanannya Uwei menelanjangkan sisi kotor dalam masyarakat sehingga saya tidak suka menontonnya lagi. Bukan saya bencikan filem itu tetapi kemampuan Uwei menggelikan saya itu menjadikannya begitu.

Dia berjaya ke atas saya. Paling bijak, Uwei membuat babak hubungan seks dengan simbolik. Si suami menukar tayar lorinya yang pancit ketika pada masa yang sama si isteri sedang berkendak (bermukah) dengan orang lain. Si suami memasukkan bolt tayar ke dalam nat dan mengetatkannya. Ketika itu hujan lebat. Kelihatan air mengalir di batang pokok getah bercampur dengan susu getah di dalam mangkuk. Aha!

Berbalik kepada isu yang diutarakan oleh kawan saya itu timbullah persoalan, perlukah dihempapkan beban ke atas drama dan filem kita untuk menggalas tanggungjawab sebagai sebuah medium pengangkat moral sedangkan di dunia luar ia benar-benar berlaku dan sangat banyak bersepah? Saya serahkan kepada anda! Tapi, kalau tiada isu-isu negatif yang disebutkan tadi termasuklah kisah sondol-menyondol dan perkelahian mentua dan menantu kita nak buat cerita apa?

Aku nak buat cerita kumbang terbang,
 kata kawan saya suatu ketika dulu, Wan Azli Wan Jusoh pengarah filem Budak Kelantan.

Haa?
 saya pelik.

Kan Sudin dalam Seniman Bujang Lapok marah kenapa cerita sambal belacan pun sampai nak berbunuh? Buatlah cerita emas ke, ayam ke, ikan berlaga ke, kumbang terbang ke….

Kalau banyak benda tak boleh, apa salahnya kan? Kami pun ketawa. Ketawa kerana kebuntuan tidak tahu hendak ubah bagaimana. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.