`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, August 13, 2024

RTG bertukar Road To Gangsa

 

hishamuddin-aun

Menamatkan saringan 5 pusingan pertama acara keirin di tempat ketiga – hanya dua teratas layak automatik ke suku akhir – pelumba kebangsaan berusia 28 tahun ini tidak dikira keputusannya kerana melanggar garisan biru sewaktu menuju ke garisan penamat. Untung buatnya dia tidak dibatalkan penyertaan, sebaliknya layak bersaing dalam repechage (saring semula).

Dibariskan bersama Nick Wammes (Kanada), Liu Qi (China), Jair Tjon En Fa (Surinam) dan Rayan Helal (Perancis) dalam repechage itu, Shah Firdaus menjamin tempatnya dalam suku akhir dengan memenangi saringan 3.

Seterusnya tempat ketiga dalam saringan 1 suku akhir di belakang Jack Carlin (Great Britain) dan Matthew Glaetzer (Australia) sudah cukup untuknya menempah tempat ke separuh akhir di mana tuah sekali lagi memihaknya.

Menduduki tempat keempat dalam saringan 2 separuh akhir di belakang Matthew Richardson (Australia), Harrie Lavreysen (Belanda) dan Kaiya Ota (Jepun) – hanya tiga teratas layak — Shah Firdaus bernasib baik diangkat ke tempat ketiga dan layak ke final selepas Ota disingkirkan kerana melakukan kesalahan.

Sekian lama berada dalam bayang-bayang Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaan seawal pusingan pertama lagi kerana memintas motosikal ‘pacer’ lebih awal, final ini meluangkan kesempatan untuk Shah Firdaus — pemenang gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan terkandas di suku akhir dalam penampilan Olimpik sulungnya di Tokyo 2020 – menonjolkan dirinya.

Namun, malang datang tanpa diundang apabila ketika berada di kedudukan ketiga selepas selekoh terakhir dan kira-kira 25 meter menuju garis penamat, dia dilanggar pelumba Jepun Shinji Nakano yang mengakibatkannya dan Carlin terjatuh.

Kejaguhannya bagaimanapun terserlah apabila Shah Firdaus tetap bangun dan menolak basikalnya ke garisan penamat untuk menduduki tempat keempat. Namun, sekali lagi malang apabila panel komisar menyalahkannya kerana lebih dahulu memasuki laluan pelumba Jepun itu lalu disingkirkan ke tempat keenam.

Jika ada pengajaran dari Paris, usaha dan latihan hendaklah terus digandakan oleh atlet-atlet negara agar tuah dapat ditukar kepada rezeki untuk mencapai kejayaan.

Kalau tak ada rezeki, nasi dalam tangan pun boleh tumpah. Podium dah hampir dalam genggaman tapi dilanggar. Akhirnya, Shah pula yang disingkirkan! Satu lagi keputusan komisar yang berat sebelah dan tak memihak kepada Malaysia. Terima kasih Shah Firdaus, anda sudah melakukan yang terbaik. Kita cuba lagi di Olimpik Los Angeles,
 tulis Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz dalam satu hantaran Facebook.

Road To Gold (RTG) bertukar Road To Gangsa,
 demikian banyaknya ciapan berkenaan di laman X merujuk kepada dua gangsa Sukan Olimpik Paris sumbangan Lee Zii Jia dalam badminton perseorangan lelaki dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam beregu lelaki – kali pertama dalam tempoh 20 tahun kontinjen Malaysia gagal pulang dengan sekurang-kurangnya sebutir perak sejak Sukan Olimpik Athens 2004.

Apabila ditetapkan dari awal dalam program Road To Gold bahawa sasaran di Sukan Olimpik Paris adalah sekurang-kurangnya satu emas sebagai misi wajib, pencapaian dua gangsa itu – suka atau tidak – tetap satu kegagalan dan apa-apa yang lain hanyalah alasan atau sekadar nak menyedapkan hati.

RTG adalah program yang diwujudkan KBS pada Januari 2023 bagi menyelaras usaha membantu atlet negara berpotensi memenangi pingat emas pertama buat negara di temasya Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Semua atlet yang terpilih dalam RTG diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merealisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu.

Seperti menteri-menteri sukan terdahulu, Hannah Yeoh turut menyertai senarai panjang mereka yang gagal untuk Malaysia memahat nama selaku antara pemenang pingat emas dalam Sukan Olimpik sepanjang 68 tahun penyertaan negara sejak penyertaan sulung di temasya Melbourne 1956.

Ketua kontinjen negara Hamidin Mohd Amin dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Norza Zakaria – dari awal mahukan seragam atlet dan pegawai diwarnai emas sebagai dorongan tambahan — juga tidak boleh terlepas pandang kecemerlangan tiga negara tetangga rapat, Filipina, Indonesia dan Thailand, menuju ke hari-hari terakhir temasya.

Gimnas lelaki Carlos Yulo menyumbang dua emas buat Filipina, Indonesia unggul menerusi Veddriq Leonardo (memanjat tembok) dan Rizki Juniansyah (angkat berat kategori 73kg lelaki) manakala Thailand cemerlang menerusi emas Panipak Wongpattanakit (taekwondo kategori 49kg wanita) – meninggalkan Malaysia di tangga ke-80 dalam carta pungutan pingat keseluruhan, mengatasi 123 kontinjen lain yang pencapaian mereka lebih rendah.

Temasya Paris sudah pun ditinggalkan dan apa yang lebih penting kini ialah perancangan menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 – di mana skuasy akan dipertandingkan buat kali pertama selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 16 Okt 2023 meluluskan kemasukan acara itu bersama kriket, flag football, lacrosse dan besbol-sofbol susulan cadangan penganjur temasya LA 2028.

Atlet seperti Shah Firdaus, Zii Jia, Aaron-Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Jin Wei dan Aniq Kasdan masih boleh terus disandarkan harapan empat tahun lagi.

Seharusnya dialu-alukan pengumuman Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub bahawa pihaknya akan turut memberi tumpuan kepada sukan kurang popular yang dilihat berpotensi untuk memenangi pingat di pentas Olimpik.

Di temasya Paris 2024 ini, kita dapat banyak pengalaman sama ada pengalaman berharga, pahit mahu pun pengalaman kurang baik. Namun, kita akan guna semua pengalaman ini untuk kita bawa ke hadapan. MSN akan cuba membangunkan sukan baharu, seperti kita lihat, banyak negara baharu yang memenangi pingat dalam sukan seperti papan selaju, ‘climbing’ dan ‘surfing’, untuk melihat potensi sukan berkenaan yang mungkin kita boleh cungkil di Malaysia,
 katanya.

Rashid turut akur sukan yang menawarkan banyak pingat dan kategori berat badan perlu diperkasakan dalam usaha mengetengahkan lebih ramai lagi bakat berpotensi dengan mengambil contoh atlet angkat berat kebangsaan Aniq hampir memenangi pingat gangsa dan dibezakan hanya 1kg untuk berkesudahan di tempat keempat.

Kalau kita lihat, negara jiran sudah berada di hadapan dengan sukan seperti angkat berat, taekwondo dan gimnastik. Rasanya, kita mempunyai bakat untuk diketengahkan selepas ini,
 katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang turut berterima kasih kepada Shah Firdaus atas kesungguhannya dalam final keirin sambil mengingatkan agar jangan mengeluh dengan prestasi kontinjen negara di Paris, menawarkan suntikan semangat tambahan dengan mengumumkan kerajaan akan menyiapkan satu kerangka baharu untuk meningkatkan prestasi sukan negara.

Saya nak ucapkan tahniah kepada rakan-rakan, anak-anak yang terlibat dalam Sukan Olimpik kerana kita telah berusaha sebaik mungkin. Kita terima baik (segala) keputusan. Jadi, harus kita tumpu ke hadapan tetapi sementara itu janganlah kita mengeluh kerana anak-anak dan olahragawan itu telah berusaha sedaya-upaya mereka,
 katanya di ibu negara semalam.

Kepada kontinjen Malaysia yang disertai 26 atlet di Paris, syabas dan terima kasih diucapkan kerana sudah berhabis-habisan dan selamat bersara buat Azizulhasni – selamanya wira kerana telah banyak mengharumkan nama negara. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.