`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 22, 2024

Haram ada PhD

 

faisal tehrani

Majlis Profesor Negara pernah mengatakan, menghasilkan 400 graduan doktorat atau PhD adalah satu yang biasa bagi sesebuah universiti. Dalam erti kata lain, melambakkan pemegang PhD atau mencetak ijazah itu biasa.

Apakah negara ini memerlukan sekian ramai pemegang PhD kita pun tidak pasti untuk apa. Dan apakah pemegang PhD ini kelak akan berkhidmat dengan berkesan kita pun haram tidak tahu.

Ada seorang pelajar PhD yang saya kenal, bikin PhD untuk menyelesaikan masalah yang tak berapa satu masalah. PhD beliau itu sedikit lebih kurang untuk membikin polisi. Yang mana bikin polisi itu tidak memerlukan pun setompok tesis bertaraf PhD. Pelajar ini bikin PhD dengan penyelia yang haram faham benar dengan isu yang hendak dipolisikan itu. Penyelia itu menerima pelajar PhD macam haram ini kerana dia perlukan KPI untuk sah jawatan. Hari-hari pelajar ini tidak pun menulis PhD, dan setiap pagi hanya mengutip atau menyapu sampah di halaman rumah. Kadangkala dia kelihatan menghantar anjing peliharaannya ke klinik setiap minggu. Dia sayang binatang ‘haram’ itu.

Apabila saya bertanya mengapa dia perlu bikin PhD. Dia jawab selamba, diakan penjawat awam. Kalau penjawat awam memiliki sarjana atau doktorat, kan boleh naik gred. Selepas naik gred, maka boleh jadi bos. Bila jadi bos boleh memerintah manusia lain. Selepas itu dia boleh jadi pengarah itu ini. Dia boleh tunjuk pandai. Orang pun akan rasa dia pandai.

Ada seorang pelajar PhD lain yang saya tanyakan, mengapa kamu ingin melakukan PhD. Beliau membalas senang, supaya bila ada doktor nanti boleh masuk politik dan bertanding. Dia walaun. Itu sebabnya politik sudah jadi haram.

Kegilaan universiti mengejar ranking dengan memastikan setiap fakulti atau institut mempunyai ramai pelajar PhD memang menimbulkan banyak persoalan lain pula. Selalu ditemukan judul kajian PhD yang macam haram. Contoh, strategi menangkap makhluk halus di alam Melayu dengan memberi tumpuan kepada harimau jadian; atau memastikan bunga silat terus lestari; atau bagaimana menggunakan game untuk belajar bahasa Melayu. Ada permasalahan kajian boleh diselesaikan tanpa perlu ada kajian PhD pun. Akan tetapi universiti perlukan duit, yuran pelajar itu duit. Haram pun haramlah.

Untuk meluluskan pelajar yang macam haram ini, akan cuba diatur pemeriksa geng kawan-kawan agar lepaslah pelajar ini beroleh PhD. Kerja mengatur begini selalu berlaku, tetapi dilakukan secara haram sembunyi-sembunyi.

Untuk memastikan lebih ramai bikin PhD, universiti menyasarkan pelajar berpotensi dari negara China. Pelajar-pelajar ini haram boleh bertutur dalam bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Mereka juga tidak boleh menulis dengan baik. Dalam penyeliaan, mereka akan membawa seorang rakan penterjemah yang bila bertutur dalam bahasa Inggeris, haram kita nak faham apa yang disebutnya. Apabila mereka mengirimi tugasan atau tesis, ia dilakukan dengan penuh cemerlang dengan bantuan ChatGPT. Bila ditanya topik berkenaan yang konon dikaji itu, haram mereka faham apa yang ditulis.

Pelajar-pelajar China ini membayar yuran dengan harga tinggi. Universiti menganggap ini penjanaan. Pensyarah yang berwibawa dan ada integriti menganggap ini salah, sebab kadang seorang pensyarah menyelia lebih 30 orang siswa. Tetapi pensyarah yang bising-bising ini tiada madya atau profesor. Yang membuat keputusan membawa masuk pelajar China ini ada profesor, dan megah duduk atas kerusi itu. Kadangkala Selamat Pagi Malaysia panggil bercakap, dan mak cik di DUN Sungai Bakap ada menonton.

Untuk melicinkan kerja haram bikin PhD ini, ada perkhidmatan bengkel roket tulis tesis PhD. Mereka yang menganjurkan bengkel ini menyatakan boleh bikin PhD secara roket atau jalan pintas tanpa perlu mengorbankan masa menonton wayang, tanpa perlu mengorbankan masa jalan-jalan cuti sekolah ke Korea, tanpa perlu mengorbankan masa kenduri-kendara pulang ke kampung, tanpa perlu mengorbankan masa bermasyarakat seperti berkahwin dan lain-lain. Hidup boleh diteruskan, PhD juga diperoleh dengan cara roket. Bengkel ini mengajarkan menulis siap dengan templat khas kajian kepustakaan. Bakal pemegang PhD membayar harga tinggi untuk masuk bengkel ini.

Setelah menyertai bengkel ini mereka akan menghantar tesis segera atau instan ini kepada penyelia dan menuntut supaya dibaca dengan cepat. Pensyarah atau penyelia yang terkejut kerana tiba-tiba dijatuhkan ke pangkuannya sebongkah tesis segera itu akan membantah dan menekuni sisi-sisi aneh permasalahan kajian, kajian kepustakaan, objektif dan analisis yang dikemukakan.

Ada tesis PhD yang tiada analisis. Ada yang tiada kajian kepustakaan. Mutunya amat teruk. Tetapi sudah jadi uruf, haram untuk tidak meluluskan mereka ini kerana universiti tidak boleh menggagalkan pelajar PhD. Graduan PhD mesti ramai. Itu biasa.

Untuk lulus PhD, pelajar perlu menerbitkan esei akademik di jurnal berindeks. Untuk memudahkan kerja haram ini akan ada jurnal predator bagi membolehkan intipati tesis yang topiknya entah apa-apa itu diterbitkan. Maka haram akan bergandaan dan terus haram-haraman. Jadi dasarnya itu haram. Haram pun bersiri dan berterusan.

Saya tidak tahu apa lagi boleh diubatkan keadaan ini. Ramai yang mengeluh dan mengadu. Tetapi siapalah peduli suara kecil yang merungut ini. Lebih ramai yang sanggup haram buat senyap. Mereka juga membiarkan keadaan haram ini sebab ingin naik pangkat. Saya tiada cita-cita untuk jadi profesor. Ramai profesor membaca dan menulis tesis dan makalah akademik mengenai karya saya. Dan saya ada sebuah novel dengan judul ‘Profesor’. Itu sudah memadai.

Keadaan haram yang saya leterkan ini menunjukkan reformasi memang diperlukan. Akan tetapi saya tidak fikir semua benda haram ini dapat dipulih dan dibetulkan oleh pundak seorang Anwar Ibrahim sahaja. Kasihan phoenix, dia baru bangkit dari abu. Pasukannyalah yang mesti celik, mesti cakna, mesti cekatan.

Soal PhD macam haram ini harus ditangani segera. Kita tidak boleh menjadi negara ramai PhD macam haram. Kita juga tidak boleh nanti dituding sebagai negara pengeluar PhD macam haram menjelang hujung dekad ini. Bayangkan ada ramai pemegang PhD tapi negara tetap tidak meningkat apa-apa. Sebab hasil PhD itu semua macam haram.

Akan tiba satu hari kelak orang bertanya, 

Awak dapat PhD dari mana?
 Pelajar menjawab, 
Dari universiti anu ini Malaysia.
 Dan disahut, 
O patutlah macam haram. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.