`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, August 22, 2024

Saingan Selangor-Singapura, oh indahnya

 

Mohsin Abdullah

Terlebih dahulu mohon maaf kerana artikel ini membabitkan diri sendiri. Maaf for being personal.

Sabtu 17 Ogos lalu saya terima panggilan telefon daripada Lan, kawan lama. “Kau tengok bola tak malam ni?” tanya kawan yang duduk di Kampung Pandan. Saya tahu perlawanan bola sepak apa yang dimaksudkan. “Aku dengan Manai nak pergi, kalau kau free joinlah. Dah lama aku tak jejak kaki kat Stadium Merdeka,” katanya lagi. Betul tekaan saya bahawa Lan dan Manai seorang lagi kawan lama, mahu tengok bola Selangor lawan Singapura malam itu untuk merebut Piala Sultan Selangor.

Oleh kerana ada kerja yang wajib dilakukan saya tidak join kawan lama saya ke Stadium Merdeka. Saya faham mengapa dua orang yang bukan muda sanggup meredah hujan, naik LRT untuk ke stadium. Kerana mereka terkenang masa mereka muda dulu. Perlawanan Selangor-Singapura waktu itu persaingan sengit yang wajib ditonton.

Lan seperti disebut tadi duduk di Kampung Pandan. Begitu juga Manai. Kampung itu adalah bawah pentadbiran kerajaan Selangor meskipun terletak amat berdekatan dengan Kuala Lumpur. Lantas mereka bersama saya dan ramai lagi kawan penghuni Kuala Lumpur adalah penyokong pasukan bola sepak Selangor. The rest of us duduk di Wilayah Persekutuan KL-Datuk Keramat dan Kampung Baru – namun kami sokong Selangor sebab feel attached to the state. Terutama saya dan kawan kawan yang asal Kampung Baru. Penduduk Kampung Baru memang sentimental dengan Selangor kerana kawasan itu adalah kurniaan Sultan Selangor sebagai penempatan orang Melayu pada 1899. Ketika itu Sultan Selangor ialah Sultan Alauddin Sulaiman Shah moyang kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Selangor sekarang.

Saingan atau rivalry bola sepak Selangor-Singapura mempunyai sejarah panjang. Bermula 1921 hinggalah 1994 apabila Singapura menarik diri daripada arena bola sepak tanah air.

Saya mula dengar mengenai persaingan ini pada tahun 1960-an apabila bola sepak menjadi topik perbualan bapa dan kawan-kawan beliau. Budak kecil macam saya hanya dengar dan melopong mulut apabila mereka bercerita akan kelincahan Abdul Ghani Minhat, Arthur Koh dan juga Awang Bakar pemain Singapura yang beraksi pada 1950-an.

Saya mula tahu skuad Selangor lewat tahun 60-an dengan nama seperti M Chandran, Sardar Khan, Agus Salim, Abdullah Nordin (yang berasal dari Perak), Chow Chee Keong penjaga gol hebat yang bermain pro football di Hong Kong. Saya sempat tengok mereka beraksi sekali-sekala apabila dibawa ke Stadium Merdeka oleh bapa atau kawan bapa saya.

Namun, apabila remaja dan sudah boleh pergi ke stadium dengan kawan-kawan saya kenali nama seperti Wong Choon Wah, Lim Fung Kee, Zulkifli Norbit. Namun, skuad Selangor yang kami ikuti rapat ialah era Soh Chin Aun, Santokh Singh, R Arumugam dan tentulah Mokhtar Dahari. Ramai lagi pemain hebat waktu itu. Antaranya Reduan Abdullah, Mohd Shah dan Jamaluddin, kedua-dua adik Zulkifli Norbit. Kemudian pada 1980-an menyinar juga bintang Rashid Hassan, Khan Hung Meng, Wong Hung Nung, K Kanagarajah, K Rajagopal, Zapril Hashim, Azlan Johar. Dan tidak boleh lupa Khalid dan Hanafiah Ali serta Zainal Abidin Hassan.

Pemain Singapura Dollah Kassim, Quah Kim Song. Mohamed Noh Hussein yang dikenali sebagai Allan Clarke of Singapore. Eric Paine, Edmund Wee, Samad Allapitchay, Syed Mutalib. Kemudian muncul Fandi Ahmad.

Dalam pertandingan Piala Malaysia hampir setiap perlawanan akhir menyaksikan Selangor bertemu Singapura di Stadium Merdeka. Seminggu sebelum perlawanan akhbar menyiarkan laporan demi laporan sebagai build up. Demam final amat dirasai.

Sehari sebelum final, penyokong Singapura tiba dengan ramainya di Kuala Lumpur. Hotel fully occupied terutama yang berdekatan stadium. Paling popular ialah Hotel Mirama kerana penyokong Singapura hanya perlu menyeberang jalan untuk ke stadium. Kedai makan dipenuhi penyokong Singapura. Sesungguhnya mereka berbelanja besar. Untung Malaysia pengaliran wang masuk ke negara.

Tiket dijual pada pagi perlawanan. Penyokong Selangor dan Singapura beratur panjang membeli tiket dalam keadaan bising tetapi meriah dan mesra. Pukul 4 petang penyokong mula masuk stadium.

Bagi kami selaku ‘tuan rumah’ excited tetapi cool. Kami tidak masuk stadium terlalu awal. Kawan-kawan semua berkumpul di rumah saya di Jalan Daud Kampung Baru. Pukul 6 kami pergi makan lazimnya menikmati nasi lemak yang dihidang dengan sup tulang di gerai Mak Cik Hasnah di tepi Sungai Bunus. Kemudian kami bergerak. Saya selalu tumpang kereta Mini GT milik kawan baik Man Gondrong. Lias dan Rosman ikut tumbang. Yang lain naik teksi.

Di stadium tempat duduk favourite kami ialah tingkat atas bersebelahan scoreboard elektronik. Zaman itu penyokong belum pakai t-shirt atau topi warna merah kuning. Semua pakai biasa-biasa. Cuma di bahagian tengah di bawah apa yang dipanggil VI stand berdepan Royal Box sekumpulan penyokong Selangor, budak-budak Keramat berkompang dan membawa bunga manggar.

Keadaan meriah perlawanan hebat. Kalau Selangor kalah kami murung dan terus balik. Tetapi Selangor selalu menang. Balik stadium happy singgah Benteng makan nasi ayam sebelum berkumpul lagi di rumah saya untuk buat analisis perlawanan bagai pakar bola sepak sehingga paling awal pukul 3 pagi.

Banyak perlawanan akhir Selangor-Singapura yang tidak kami lupa. Antara paling mendebarkan ialah final 1978. Selangor ketinggalan 2-0 sebelum Ramli Junit merapatkan jurang. Kedudukan 2-1 kekal pada separuh masa. Lewat babak kedua Chin Aun menyamakan kedudukan dengan free kick cantik. Tidak lama kemudian John Engkatesoo melepaskan satu volley untuk jaringan gol paling cantik malam itu. Selangor sudah di hadapan. Ramli melengkapkan malam cemerlang dengan gol keduanya. Selangor 4–2 Singapura.

Apabila membaca mengenai Piala Sultan Selangor saya bernostalgia. Begitu juga Lan dan Manai yang berada di Stadium Merdeka malam Sabtu lalu. Semua kenangan manis bermain semula di minda.

Menjunjung kasih Sultan Sharafuddin kerana mencetus nostalgia dan mengeratkan persahabatan bukan sahaja Selangor bahkan Malaysia dengan Singapura. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.