`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 19, 2024

Berkampung di Pretoria, Afrika Selatan

 

faisal tehrani

Hal ini memanglah mengerikan untuk difikirkan tetapi jika kita tidak melakukan sesuatu, lambat laun perubahan iklim akan mengancam kewujudan manusia.

Baru-baru ini saya menghadiri sebuah konferens atas undangan Yayasan Riky Rick dan Universiti Teknologi Seni Tshwane, Pretoria di Afrika Selatan. Konferens dihadiri oleh sarjana, aktivis dan seniman sekaligus.

Maksudnya peserta dan pembentang yang menghadiri konferens ini mestilah seorang sarjana, aktivis seni dan dalam masa seniman. Aneka macam seniman yang hadir, ada pemuzik, pelukis, pereka desain, pelakon, birokrat seni, fotografer, pengarah filem dan pengarang. Dalam masa yang sama mereka adalah ahli akademik, dan sekaligus aktivis. Kami datang dari serata pelusuk dunia.

Tujuan mengundang kami ini ke Pretoria kota jacaranda di Afrika Selatan adalah dengan satu tujuan murni. Pada mulanya, saya bingung juga, tercangak dan terpinga mengapa saya di sini.

Sebetulnya kami dipesan secara mudah begini, buatlah apa sahaja aktiviti melawan kamu yang biasa itu, boleh jadi isu Palestina, boleh pula subjek-subjek hak asasi manusia, membantah perlombongan dan pemerdagangan manusia, menentang diskriminasi gender atau apa sahaja; tetapi, permintaan penganjur cuma satu, gunakan seni kamu untuk menyatakan perihal perubahan iklim. Planet ini milik kita bersama.

Ada sebab mengapa Afrika Selatan menjadi tuan rumah. Ini kerana dalam mitos penghuni benua tersebut, manusia dipercayai berasal dari Afrika dan berlaku migrasi besar-besaran jutaan tahun lalu kerana keadaan iklim yang berubah. Dalam perjalanan dan perubahan tempat, manusia ‘kehilangan warna kulitnya’.

Harus diingat ketika itu dunia tidak ada sempadan bangsa dan negara; maka migrasi atau penghijrahan manusia boleh berlaku dengan mudah. Hari ini dengan pasport dan juga undang-undang antarabangsa setelah Perang Dunia Kedua, manusia tidak boleh sesuka hati berpindah ke sana ke mari. Tetapi, bayangkan jika negeri-negeri kecil di Pasifik karam akibat perubahan iklim, ke manakah misalnya rakyat Samoa dan Fiji akan berangkat? Sudikah kita misalnya di Malaysia menerima mereka?

Itu belum lagi membayangkan kalau Selangor dan Melaka tenggelam, mahukah negeri lain menerima warga negeri-negeri ini?

Hal ini memanglah mengerikan untuk difikirkan tetapi jika kita tidak melakukan sesuatu, lambat laun perubahan iklim akan mengancam kewujudan manusia. Baru-baru ini saya ada menonton satu video penuh semangat daripada bekas menteri tenaga teknologi, sains, perubahan iklim dan alam sekitar, Yeo Bee Yin mengenai natijah dan mudarat perubahan iklim. Dengan sekembalinya saya dari konferens yang penuh menyedarkan itu saya memang ralit memikir bagaimanakah saya sebagai seniman dapat menyumbang.

Ada beberapa buah karya saya yang memang rapat dengan isu-isu alam sekitar dan perubahan iklim, antara lain saya pernah menyentuh topik ini dalam novel-drama saya ’Bila Tuhan Berbicara’ (2007), novelet ’Bagaimana Anyss Naik Ke Langit’ (2014), ‘Bahlut’ (2010) dan espen ‘Panda Datang Surau’ termuat dalam ‘Babi Kongkang Panda dan Hal-hal Yang Dipungut kembali’ (2024). Novel ‘Koro’ (2022) yang diterbitkan di Indonesia dan diterbitkan dalam terjemahan bahasa Inggeris sebagai ‘The Koro Riots’ (2023) terbitan Penguin Random House memperihalkan kecelakaan industri plastik terhadap sebuah republik di Asia Tenggara.

Akan tetapi karya-karya saya ini kurang disedari di sini. Tak apalah tak dihargai. Orang luar yang cepat menangkap dan ini punca saya dijemput dan ditanggung serba serbi ke Pretoria.

Saya merasakan dana dan juga sumbangan yang mereka berikan kepada saya untuk ke Afrika itu seharusnya tidak disia-siakan. Jika sudah ada karya saya sebelum ini menghuraikan nasib manusia akibat perubahan iklim dan masalah alam sekitar termasuklah pembalakan berleluasa, maka akan datang saya mestilah melakukan lebih lagi. Moga Tuhan mengizinkan saya. Memang ingin mengincah kembali subjek tersebut, moga-moga panjang umur. Supaya dengan seni dan aktivisme saya, kesedaran terhadap isu ini akan kembali bersemarak.

Sebetulnya subjek ini mestilah disambut dan disahut semua lapisan masyarakat. Misalkan ulama, para agamawan menurut saya sewajibnya melakukan lebih banyak untuk menyuarakan hal ehwal perubahan iklim ini. Ini tidak, agamawan kita lebih suka lewah mengapi-api hal 3R yang tidak berfaedah.

Terus-terang saya katakan saya hairan mengapa tiada ulama kita bersungguh mengangkat topik ini secara konsisten. Mimbar masjid dan corong mikrofon surau sepatutnya menujahkan topik hifdh al-bi’ah ini. Topik hifdh al-bi’ah atau perlindungan dan pemuliharaan alam sekitar adalah bahagian dari maqasid al-shariah, atau objektif syariah.

Di peringkat antarabangsa yang nampaknya senonoh dan pernah menyuarakan hal begini dalam kitabnya adalah Sheikh Yusuf al-Qaradawi, yang mengarang buku Ri’ayah al-Bi’ah fi Shara’ah al-Islam. Menurut beliau hifdh bi’ah min al-muhafadhah ‘ala al-din iaitu memelihara alam sekitar adalah satu aspek dan bahagian dari mempertahankan agama. Juga dalam tahun 2015, pernah sekali agamawan luar menunjukkan minatnya untuk menggubal polisi dengan menggunakan landasan agama bagi menyelamatkan alam sekitar untuk generasi mendatang.

Para agamawan dunia berkumpul pada 17 dan 18 Ogos tahun tersebut di Istanbul, Turki untuk membahaskan peranan ‘manusia sebagai khalifah Allah’, dan bagaimana fungsi khalifah itu adalah salah satunya tidak merosakkan bumi ini supaya dapat diwariskan kepada anak-anak kelak. Saya tidak pasti siapa ulama dari Malaysia yang hadir, sebab memang tiada kedengaran secara meluas topik ini dibincangkan oleh mereka. Yang banyak ditubi oleh ustaz ustazah baik di masjid atau di TikTok ialah tajwid, penjagaan hati, menohmah kerajaan madani, menfitnah orang komunis atau sesat, dan kemudian dikhatam dengan promosi jualan tudung atau minyak wangi jenama sendiri. Ulama salafi pula lebih sibuk mencari pasal dengan golongan tradisional sambil perasan dirinya kaum muda. Kaum tertentu pula ralit mendera kanak-kanak dan meliwat mereka.

Kembali kepada konferens di Pretoria itu, meskipun tidak ada satu Deklarasi diputuskan oleh para aktivis, seniman dan sarjana; namun kami semua agak berazam untuk melakukan lebih banyak dalam seni kami bagi menyedarkan umat manusia akan kehancuran bumi ini jika tidak dibendung mulai sekarang.

Ada banyak kebatilan dalam dunia ini, hanya senimanlah yang terpaksa menjadi tetuang masyarakat dan umat memastikan ia dikalahkan. Seperti yang saya sebutkan, tugas ini ada pada seniman, aktivis dan sarjana. Agamawan tidak boleh diharap, kalau ada mereka menyebut mengenai haiwan dan binatang itu tujuannya untuk menghina orang lain dan bukan sangat untuk membela makhluk yang hidup bersama.

Dengan cara inilah saya akan menghadap Tuhan kelak, memberitahu Yang Maha Mencipta bahawa saya telah berusaha melakukan sesuatu sedaya upaya demi mencegah desktruksi alam. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.