`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, September 28, 2024

BN, Akmal ‘berpeluh’ di Mahkota

 

hishamuddin-aun

Kejutan ditimbulkan Annuar Musa pada 8 Sept lalu dengan meramalkan kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Mahkota esok harus kembali terngiang-ngiang. Jika ramai yang sebelumnya keliru dengan motif sebenar timbalan pengarah operasi pilihan raya Perikatan Nasional (PN) pada waktu itu, kini ia harus jelas bahawa ia untuk mencetuskan suasana ‘tenang sebelum ribut melanda’.

Satu dapatan daripada kajian Ilham Centre yang dikeluarkan semalam turut mengeyakan pandangan itu. Ketua penyelidik Mohd Yusri Ibrahim berkata BN mula berkempen di landasan yang selesa tetapi menghadapi halangan di pertengahan jalan.

Annuar mengandaikan kemenangan besar BN bersandarkan keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan gabungan undi BN (16,000) dan PH (11,000) ialah sekitar 28,000 undi sedangkan PN ketika itu memperoleh sekitar 7,000 undi. 

Hasil keputusan itu menjadikan Mahkota kubu terkuat BN dan PH Madani di Johor. Dijangkakan BN akan dengan mudah menambah undi mereka, mungkin melebihi 30,000 undi,

 kata ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, seakan-akan memberi pengiktirafan kepada musuh.

Tetapi, Annuar — orang lama dalam arena politik dengan menjadi wakil rakyat dari 1986 hingga 2022 — pun tahu apa saja boleh berlaku walaupun di atas kertas memihak kepada parti tertentu. Dituduh tidak profesional dan ada agenda tertentu oleh seorang pemimpin Bersatu ketika itu, Annuar mungkin hanya mentertawakannya kerana banyak perkara tidak diduga boleh timbul.

Andai PRK Mahkota esok hanya berkisar kepada pertarungan satu lawan satu antara calon BN Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon PN Mohd Haizan Jaafar, kebarangkalian keputusannya mungkin lebih mudah dijangka.

Syed Hussien, 40, adalah ketua Pemuda Umno Kluang yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian yang sudah biasa berdamping dengan masyarakat manakala Haizan, 61, banyak mempertaruhkan penglibatannya dalam bola sepak.

“Secara umumnya calon BN lebih mudah menembusi kedua-dua kelompok terbesar pemilih Mahkota, iaitu pengundi Melayu dan Cina. Latar belakang pendidikan, kerjaya, hieraki dalam parti dan keterlibatan dalam organisasi masyarakat memberi nilai tambah bermakna untuk beliau yang fasih berbahasa Mandarin berinteraksi dengan kedua-dua kelompok tersebut dengan selesa.

Walaupun kelihatan selesa di kalangan pengundi Melayu, calon PN bergelut untuk menyesuaikan diri dengan demografi Cina,
 kata Yusri dalam satu kenyataan di Facebook.

Tetapi apa yang mungkin jadi masalah ialah ada orang ketiga, Dr Akmal Saleh yang dikhuatiri menyebabkan pengundi Cina enggan keluar mengundi kerana terkesan dengan serangannya ke atas Naib Pengerusi DAP Teresa Kok.

Dalam menyelar Kok sebagai tidak berhenti untuk mengganggu-gugat keharmonian dan mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal, ketua Pemuda Umno itu turut menggelar Ahli Parlimen Seputeh itu ‘nyonya tua’ dan mencadangkan agar pelekat tidak halal ditampal di dahinya.

Seorang penganalisis Syed Arabi Idid percaya perkara itu jika dibiar berlarutan dan tidak dinasihati oleh pihak pemimpin atasan kedua-dua parti dalam gabungan kerajaan perpaduan itu boleh menjadi isu dalam PRK Mahkota.

Tambahan pula Kok di tengah-tengah pertelagahan itu menegaskan tidak akan berkongsi pentas ceramah kempen PRK Mahkota dengan Akmal yang sedang diheretnya ke mahkamah dengan menghantar notis undang-undang pada 11 Sept lalu menuntut ganti rugi RM25 juta kerana memutar belit kenyataannya.

Sebelum itu, Naib Ketua DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa pengamatannya selepas seminggu turun ke kawasan terbabit mendapati sikap Akmal yang dianggap ‘gengster’ bukan hanya tidak disukai pengundi bukan Melayu — 35% pengundi Cina dan 8% pengundi India — tetapi juga masyarakat Melayu yang membentuk 54% pengundi di sana.

Pada 19 Sept, Pengerusi BN Zahid Hamidi menyatakan bahawa perang mulut Akmal dengan Kok dianggap tamat selepas beliau sendiri yang meredakan ketegangan antara kedua-duanya. Namun, tidak diketahui sejauh mana perkembangan itu dapat meredakan kemarahan pengundi Cina di sebalik usaha bersepadu DAP dan MCA.

Jentera kerajaan perpaduan dikatakan menumpukan usaha pada dua hari terakhir kempen bagi memujuk pengundi Cina untuk keluar mengundi selepas hanya lapan pusat daerah mengundi (PDM) yang majoriti pengundinya Melayu dilaporkan memihak kepada calon BN atau dianggap ‘putih’ manakala 10 lagi PDM, yang lapan daripadanya terdiri daripada majoriti pengundi Cina, masih berstatus ‘kelabu’.

PDM berkenaan menawarkan jumlah undi tinggi dan boleh menentukan kemenangan sama ada bagi Syed Hussien atau lawannya Haizan.

“Faktor utama (buat BN) apabila tidak mendapat jaminan undi selamat daripada segmen pengundi PH sedia ada, khususnya pengundi etnik Cina yang kurang berminat untuk keluar membuang undi. Dalam masa sama, BN masih bergelut dalam segmen teras Umno sendiri iaitu undi orang Melayu.

Walaupun DAP berusaha gigih memujuk mereka keluar, maklum balas mereka secara umumnya masih dingin,
 kata Yusri, yang menambah pengundi India pula bersikap acuh tak acuh dengan tidak menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti yang bertanding.

Sepanjang kempen PRK ini juga menyaksikan tuduhan dan penafian kedua-dua pihak berkaitan pelbagai isu. Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk memberi keterangan berhubung ceramahnya pada 21 Sept yang mengupas beberapa fakta kes mahkamah membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau turut mempersoalkan tindakan perdana menteri pada Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Jumaat lalu yang mengakui dirinya ‘banduan terhormat’ ketika menyelar tindakan pembangkang yang sering mengulangi statusnya ketika mengkritik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi pula mendakwa Pengarah Jentera PN bagi PRK Mahkota Azmin Ali keseorangan dalam usaha memenangkan calon PN dengan rakan sekutu PAS menjauhkan diri.

Menidakkan dakwaan itu, Azmin mempertahankan bahawa PAS ‘agresif’ membantu kempen dengan kehadiran ramai pemimpin parti itu termasuk Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menghangatkan lagi keadaan, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegubard dalam satu ceramah menuntut penjelasan daripada Syed Hussien mengenai laporan polis satu kes jenayah yang didakwa membabitkannya pada 2008.

Namun, selain ia dinafikan Syed Hussien, Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh berkata siasatan membabitkannya telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya yang memutuskan tiada tindakan lanjut. Azmin turut menafikan perkara itu bersifat serangan peribadi, sebaliknya hanya melaporkan perkara yang disampaikan kepada pihaknya.

Zahid juga tampil menepis penyebaran surat layang untuk menghasut pengundi Cina jangan memilih calon BN menjejaskan sokongan kepada gabungan itu kerana ramai yang tinggal di luar daerah Kluang selain bekerja di Johor Bahru dan Singapura.

Pada penghujungnya seperti dirumuskan oleh Ilham Centre, kadar keluar mengundi akan menjadi penentu utama dalam pemilihan esok.

“BN masih pilihan untuk keluar sebagai pemenang, dengan syarat BN perlu mendapat sekurang-kurangnya 40% undi daripada pengundi Melayu yang keluar, dalam masa sama kadar keluar pengundi Cina tidak kurang daripada 35%.

Jika angka-angka ini tidak digapai oleh BN, maka PN yang pada awalnya turun sebagai underdog berpeluang untuk membuat kejutan merampas mimpi indah BN dengan memanfaatkan sepenuhnya kekuatan mereka dalam segmen Melayu,
 kata Yusri lagi.

Tidak salah untuk mengandaikan kedua-dua Zahid dan Akmal akan lebih dahulu berpeluh dalam menantikan keputusan yang dijangka memihak BN sekali lagi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.