`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 25, 2024

Ajar Umno di Mahkota, jangan undi Syed Hussein, kata Ramasamy

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy mahu pengundi bukan Melayu menghantar mesej yang jelas kepada Umno pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota Sabtu ini.

Katanya, ini adalah peluang keemasan untuk membentangkan detik penting khususnya buat masyarakat Cina dan India, meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap Umno selama ini.

P Ramasamy

“Pilihan raya ini menawarkan peluang keemasan kepada pengundi  untuk menentang parti yang selama ini dianggap sebagai punca perpecahan.

“Jika pengundi Cina dan India beramai-ramai mengundi menentang calon Umno, Syed Hussein Syed Abdullah, mereka boleh mencipta sejarah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini timbul ura-ura bahawa kemungkinan pengundi Cina yang membentuk kira-kira 35 peratus daripada 66,318 pengundi Mahkota tidak akan keluar kerana “kelakuan ekstrem” Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Sallah dalam beberapa isu sejak kebelakangan ini.

Terbaru, dia menempelak Naib Pengerusi DAP Teresa Kok yang menyuarakan kebimbangan masyarakat bukan Islam berhubung cadangan Jakim mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Susulan itu Akmal melabelkan Kok sebagai "nyonya tua" dan memberi amaran supaya pemimpin DAP itu tidak mencampuri urusan berkaitan agama Islam.

Dia juga secara sinis meminta kerajaan menyediakan logo non-halal untuk “ditampal di dahi” pemimpin DAP itu.

Mengulas lanjut, Ramasamy yang juga adalah bekas pemimpin DAP yang kini menjadi presiden Urimai berkata, undi menentang BN akan mewakili satu langkah penting bagi masyarakat bukan Melayu  menyuarakan rasa tidak puas hati dan menghukum Umno.

“Retorik berapi-api Akmal terhadap masyarakat bukan Melayu bukanlah satu insiden terpencil. Ia mencerminkan fenomena ideologi yang berakar umbi dalam Umno.

“Kerelevanan parti itu telah lama terikat dengan strategi memburuk-burukkan bukan Melayu. Terdapat kepercayaan bahawa lebih ramai pemimpin Umno memperlekehkan bukan Melayu, lebih banyak sokongan yang akan mereka peroleh daripada pengundi Melayu.

“Bagaimanapun, populariti pembangkang PN yang semakin meningkat di kalangan orang Melayu mempersoalkan strategi ini,” katanya.

Ramasamy berkata, meskipun PRK Mahkota mungkin tidak menggambarkan sepenuhnya sentimen pengundi di seluruh negara, namun ia tetap memberi peluang kepada pengundi Cina dan India untuk mengembalikan maruah mereka dengan enggan menyokong calon Umno.

Pada PRK Mahkota, Syed Hussien yang juga ketua Pemuda Umno Kluang dan bekas pelajar sekolah vernakular Cina berhadapan dengan calon PN Mohamad Haizan Jaafar, dalam pertandingan satu lawan satu.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi juga merayu kepada pengundi Cina supaya tidak "menghukum" dirinya berhubung isu di peringkat persekutuan. - Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.