`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 25, 2024

Jais tutup 8 sekolah bawah GISBH

 

gisb
Sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan, dianggotai Mais, Jais, Jabatan Mufti Negeri Selangor, JKM, polis dan agensi berkaitan, bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya. (Gambar EPA Images)

PETALING JAYA
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan agar lapan sekolah Islam persendirian di Selangor bawah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya ditutup.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pemeriksaan dan siasatan dijalankan Jais mendapati kesemua sekolah terbabit menyalahi peruntukan Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Epsai) 1988.

Justeru arahan penutupan semua sekolah Islam tersebut dikeluarkan oleh Jais menurut Seksyen 25 Epsai 1988 pada 23 Sept 2024 (Isnin),
 katanya dalam kenyataan hari ini.

Tindakan pembatalan pendaftaran sekolah Islam yang masih lagi berkuat kuasa juga akan dilaksanakan tertakluk kepada enakmen tersebut.

Lapan sekolah terbabit terdiri daripada Maahad Tahfiz Wal Ulum Al Ghazaly, Sepang; Sekolah Rendah Islam (SRI) Miftahul Hikmah, Klang; Sekolah Menengah Islam (SMI) Global Ikhwan (Banat), Rawang; SMI Zadut Taqwa 2, Puchong; SMI Zadut Taqwa 1, Shah Alam; SRI Yaqutul Fuad, Rawang; SRI Integrasi Bustanul Ikhwani, Rawang; dan SRI Integrasi Qurratul Ain, Sepang.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pegawai penguat kuasa agama sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap individu yang dikenal pasti terlibat dengan GISBH dan rangkaiannya bagi kesalahan bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Kertas siasatan tersebut akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie,
 katanya.

Pada Sabtu, Sultan Selangor menitahkan tindakan penguatkuasaan tegas diambil bagi membanteras kesalahan jenayah termasuk berhubung akidah yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Susulan itu, Mais mengadakan mesyuarat pada Selasa khusus untuk membincangkan tindakan yang telah dan akan diambil olehnya dan agensi hal ehwal Islam di Selangor berhubung perkara tersebut.

Abdul Aziz hari ini berkata, antara tindakan lain diambil Mais adalah mengambil alih pengurusan Masjid Cahaya Iman dan menutup Musolla Ikhwan di Kompleks GISBH yang terletak di Bandar Country Homes, Rawang, sementara siasatan berjalan.

Mais juga membantu JKM dalam proses pemulihan kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dari rumal amal berkait GISBH, yang kini ditempatkan di rumah kawalan JKM, tambahnya.

Selain itu, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan, dianggotai Mais, Jais, Jabatan Mufti Negeri Selangor, JKM, polis dan agensi berkaitan, bagi menyelaras tindakan terhadap GISBH dan rangkaiannya, kata Abdul Aziz.

“Mais dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara serius dan bersepadu bagi memastikan sebarang gerakan penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada Islam sebenar dibanteras sepenuhnya di negeri ini.

Semua pihak terlibat (akan) dibawa ke muka pengadilan,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.