`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, September 24, 2024

Bila laki engkau ‘anak emak’

 

Free Malaysia Today

Seorang perempuan lewat 30-an menegur saya ketika sedang ralit menulis di nota telefon pintar saya. Tersentak juga takkanlah di restoran ceruk pinggir Seremban begini ada orang kenal saya?

Assalamualaikum cikgu. Ingat saya lagi?”

Meskipun saya tak mampu mengingati nama bekas pelajar yang ramai tetapi wajah mereka ada yang masih saya cam. Dia, saya gagal tetapi apabila dia memperkenalkan dirinya Rozita, ternyata wajah remajanya terbayang di ingatan. Masih ada rupa lamanya tetapi sosok yang berdiri di hadapan saya ini sedikit kurus. Jarang kita jumpa orang yang semakin kurus apabila sudah berkeluarga melainkan mereka ada sakit. Melihat gayanya yang peramah dan suka berlucu tidak ada tanda-tanda dia sakit.

Rupanya dia sudah lama menjadi ‘friend‘ saya di Facebook. Saya yang tak perasan. Maka itu, saya terus mengajak dia duduk.

Cikgu buat apa di sini?
 tanya dia. 
Rumah saya di belakang kafe ni je.

Saya jawab saya ada urusan di sini dan sementara menunggu seseorang, saya luangkan masa menulis. Kami berbual serba-sedikit kenangan semasa di sekolah tentang cikgu-cikgu dan beberapa nama kawan seangkatan mereka. Dari fotonya di Facebook saya maklum yang dia telah berkahwin dengan bekas pelajar saya juga. Mereka sebaya dan kini mereka mempunyai empat orang anak.

Saya duduk dengan mentua di taman perumahan belakang ni. Sejak kahwin saya dah tinggal dengan diorang,
 cerita Rozita.

Baguslah,
 kata saya ringkas.

Dia mengangguk senyum dan saya perasan senyumannya tawar. Sekilas rasa saya tahu ada sesuatu bermain di fikirannya.

Khairul (nama suaminya) anak mak, cikgu,
 kata Rozita sambil mengenyitkan mata.

Anak mak? Maksudnya?
 tanya saya buat-buat bodoh.

Dia tak boleh lari dari mak dia. Sebaik kahwin dia ajak saya duduk bersama mak dan ayah mentua. Sampailah hari ni dah beranak empat dia masih bawah ketiak mak,
 jelas Rozita tenang tetapi sempat berjenaka mengangkat kelingkingnya memberi isyarat yang tubuhnya semakin melidi.

Orang lelaki walaupun dah ada anak isteri tetapi tanggungjawab kepada mak dan juga ayah tetap kena jalan, Ita,
 kata saya.

Bukan begitu maksud saya, cikgu. Cikgu jangan salah faham. Khairul baik. Dia jaga betul saya dan anak-anak. Mak dan ayah mentua saya pun baik cikgu. Tak dinafikan. Dengan saya menantunya ini, dia sayang apatah lagi dengan anak-anak kami. Dia memang manjakan anak-anak kami tapi bab disiplin dia cukup jaga dan didik cucu-cucu dia dengan betul,
 jelas Ita.

Kalau begitu, apa masalahnya? Fikir saya. Bukan mudah menantu perempuan nak disayangi sepenuhnya oleh mak dan ayah mentua. Banyak kita tengok dalam drama TV, mak mentua musuh nombor wahid menantu perempuan sampai meracun fikiran anak lelaki mereka untuk bercerai. Kalau baik takkan bermasalah juga? Ah! Inilah kemelut di antara perempuan sesama perempuan. Entah kenapa orang perempuan ada pertarungan mereka sendiri. Di dalam keluarga, di tempat kerja mesti ada masalah begini. Cemburu dan saling cuba menjatuhkan.

Seumur usia perkahwinan saya ini memang tak ada istilah privasi bagi saya, cikgu. Tak boleh bermalas-malas atau nak rilek-rilek. Menyapu, mencuci dan memasak itu mesti nak kena buat. Bukan untuk suami dan anak-anak tetapi untuk seisi penghuni rumah. Tapi itu okey lagi, kalau duduk rumah sendiri pun tetap saya kena buat. Maksud privasi bagi saya ialah nak berselesa. Percayalah, tak akan sama selesanya kita bila di rumah orang berbanding di rumah sendiri. Saya nak berbaring depan TV pun tak boleh sebab rumah ini tetap rumah orang lain.

Iyalah! Ini bukan drama TV yang ceritanya cerita orang kaya berumah besar. Ini bukan soap opera kisah mentua tinggal di tingkat bawah dan anak menantu tinggal di tingkat atas dalam sebuah rumah agam yang luas dan mewah. Ini keluarga biasa, rumah kos sederhana yang berkongsi ruang tamu dan dapur. Sering berselisih bahu dan bertemu mata. Kalau berkurung dalam bilik sepanjang hari lagilah tak kena.

Macam saya kata tadi, cikgu. Mak mentua saya bukan tak baik tetapi dia tak boleh berpisah dengan anaknya. Khairul pun tak boleh berjauh dengan maknya. Mak mentua saya hendak membolot kami sepenuhnya dengan cucu-cucunya sekali. Kalau Khairul nak bawa kami anak beranak bercuti, maknya pun nak ikut sekali dan Khairul pun memang dah ada dalam agenda dia untuk bawa semua sekali.

Rozita berhenti sejenak untuk menyedut teh aisnya kemudian tertawa besar sambil menggelengkan kepala.

Bila hari raya, dia pun nak ikut kami pulang ke kampung saya. Nak melepak sama mak ayah saya. Baguslah besan berbaik-baik tetapi kami tetap di bawah jadual dia. Mesti pergi dan balik sama dengan dia. Nak beraya rumah adik-beradik saya pun dia mesti ada. Aduhai! Payahlah. Tak puas bermesra kejap-kejap itu dia dah ajak balik,
 Rozita terus ketawa.

Saya faham dalam ketawanya dia menyimpan rasa. Bukan rasa benci tetapi rasa terkurung. Dia melihat adik-beradik dan kawan-kawan sebayanya yang hidup berkeluarga. Masing-masing melayari bahtera di rumah masing-masing. Susun atur, hiasan dan corak warna rumah ditentukan sendiri oleh pasangan suami-isteri. Tetapi tidak bagi Ita, dia terbatas. Itu bukan rumahnya. Walaupun dia disayangi (dengan keramahan sebegitu saya tidak nampak mengapa dia harus dibenci) di dalam rumah tetapi tetap di situ bukan haknya yang mutlak.

Saya cuba memahami. Saya fikir kita semua pun apabila sudah dewasa kita akan keluar dari rumah ibu bapa kita dan kita bina kehidupan kita sendiri. Sesekali kita akan balik kampung menziarahi ibu bapa dan bermalam di rumah tempat kita membesar. Tetapi itu bukan rumah kita lagi. Kita pasti akan pulang ke rumah kita semula. ‘Home sweet home‘ atau ‘baiti jannati‘. Rumahku syurgaku.

Ita dambakan semua itu. Sebuah syurga untuk dia, suami dan anak-anak.

Saya teringat kisah saya sendiri memang apa pun terjadi, saya dan isteri seboleh-bolehnya tempuh sendiri. Saya sendiri yang menjaga dan menguruskan isteri ketika dalam pantang. Uri dan tembuni saya tanam sendiri. Ubat saya sapukan. Tersinggung juga mak apabila saya menolak permintaannya untuk menjaga menantunya ketika itu. Tak apa mak, kalau saya tak boleh nanti saya akan minta tolong mak. Setakat ini saya masih boleh. Begitulah kata saya dahulu.

Ya, mak! Ita kat restoran ni, dah siap dah bungkus mi goreng ni,
 suara Rozita menjawab telefon mengejutkan lamunan saya. Kuat suara mak mentuanya di dalam telefon sehingga saya boleh mendengar.

Ha! Ebi pun dah sampai ni. Lekas!
 terdengar suara ibu mentuanya dari telefon pintar Ita.

Okey!
 jawab Ita dengan nada mesra kepada ibu mentuanya.

Ita meminta diri untuk pergi. Dia meminta maaf kerana mengganggu masa saya dengan ceritanya dan dia berharap saya tidak menaruh salah sangka bahawa bukan hidupnya tidak bahagia. Saya mengangkat ibu jari tanda faham.

Balik dulu cikgu. Ebi kirim salam,
 kata Ita.

Ebi?
 tanya saya sambil mengerutkan dahi.

Khairul suami saya tulah! Kat rumah mak panggil dia Ebi,
 jawab Ita sambil ketawa lagi.

Baby?” tanya saya.

Dia ketawa mengangguk. Ita melambaikan tangannya dan berlalu pergi. Saya memerhatikan dia sehingga hilang kelibatnya di balik dinding restoran. Ita, seperti tiung emas yang cantik tinggal di dalam sangkar emas. Dijaga dan disayang tetapi sangkar tetap sangkar.

Moga Ebi ‘si anak mak’ terbuka hatinya untuk memahami lalu membawa Ita dan anak-anak bebas dari sangkar itu. Semoga Ebi menjadi lelaki. Bukan setakat ‘anak mak’ tetapi sebagai suami yang mengerti! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.