`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 6, 2024

Bukan Khadijah dari Gunung Jerai

 

faisal tehrani

Memang tidak dapat dipungkiri, Siti Khadijah lambang kehebatan niaganya dunia Islam. Kita wajar berbangga dengan Siti Khadijah.

Ketika di zaman Rasulullah, wanita memang tidak dicegah dari berniaga. Bahkan mereka mencipta kejayaan luar biasa di pasar Mekah dan Madinah. Antara nama tokoh yang berjaya adalah Umm al-Munzir binti Qays, Asmah binti Makhzemah bin Jandal, dan ketika pemerintahan Khalifah Omar, terdapat pula Al-Shifa binti Muawiz yang dipilih sebagai auditor di pasar Madinah. Juga tercatat nama seperti Khaula, Lakhmia, Thaqafia, dan Binti Makhramah yang dikatakan berniaga di pasar dengan produk khusus mereka itu adalah haruman atau attar. Wanita di zaman Nabi malah boleh setara beroleh kekayaan seperti lelaki.

Memang tidak dapat dibantah, Siti Khadijah lambang kehebatan niaganya dunia Islam. Kita wajar berbangga dengan Siti Khadijah.

Khadijah contoh kehebatan dunia niaga dalam Islam. Beliau arif dan bijaksana mengendalikan perdagangan. Harus diingat pada waktu jahiliyah, pasar dalam bentuk pesta, atau ekspo semacam sekarang dinamai dan dianjur secara glamour sebagai ‘pavilion’ (commerce fairs seperti sering di Dubai atau London) adalah satu kebiasaan. Pada waktu itu antara ekspo yang mendapat sambutan hangat dan mesti dihadiri adalah ekspo Aden; ekspo Rabiye di Hadramut; ekspo Ukaz di Mekah; dan ekspo Hubashe di Tihama. Kaum Quraisy yang merupakan kelompok saudagar yang cekatan memang terbiasa dengan ekspo begini, dan tidak mustahil para wanita mereka juga sudah menjadi rutin dan cekap apabila tibanya musim ekspo.

Tentu tidak dapat menolak, betapa Siti Khadijah lambang kehebatan niaganya dunia Islam. Kita wajar menyebut-nyebut keunggulan Siti Khadijah.

Salah satu bentuk niaga yang efisyen di zaman dahulu tentulah dalam bentuk kerjasama niaga yang hari ini secara canggih dinamai mudarabah. Pendekatan mudarabah salah satu cara atau kaedah niaga yang diizinkan dalam banyak lapangan. Dalam sejarah Islam, hubungan mudarabah antara Rasulullah dan isterinya Khadijah adalah yang terbaik dan paling berjaya sekali.

Memang tidak dapat didebatkan, Siti Khadijah lambang keulungan niaganya dunia Islam. Tak salah bermegah dengan kejayaan Siti Khadijah.

Makanya boleh kalau kita hendak membayangkan mudarabah yang disepakati antara Rasulullah dan Khadijah itu adalah berniaga usaha-sama, dan bermusafiran untuk kerja dagang ini. Jadinya kerja itu sepihak membekalkan tenaga kerja, sepihak lain adalah pemodal mendanai kapital. Untungnya dikongsi dengan kadar munasabah yang telah dirundingi. Makanya Nabi Muhammad itu usahawan dan Khadijah itu pelabur. Sebelum berjayanya niaga antara al-Amin dan Khadijah saudagar gemilang itu di Syams, sudah ada kejayaan awal lain di ekspo Hubashe di Tihama. Demikian murni, mudarabah ini kemudian menemui bentuknya sebagai ‘commenda’ sejak kurun kesepuluh di Eropah. Lantas menjadi pendekatan undang-undang dagang dunia Barat apabila memasuki wilayah yang disasar.

Sungguh elok, Siti Khadijah itu molek menjadi simbol kehebatan niaganya dunia Islam. Tak salah malah untuk berhujah dengan kejayaan Siti Khadijah.

Demikian sungguh Siti Khadijah itu dapat dijadikan contoh maka menteri besar Kelantan 27 tahun lampau meletakkan nama Khadijah di pasar besar Kota Bharu agar memberi inspirasi. Ia diberi nama Pasar Besar Siti Khadijah pada 10 September 1997 oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat. Khadijah juga menjadi nama pelbagai produk buatan Melayu yang terkenal dalam kalangan umat. Pendeknya, berkat nama Khadijah untuk kerja niaga Melayu.

Tentu kita boleh membayangkan semangat begitu mendasari segala cara fikir kita. Khadijah berjaya, maka mengapa tidak kita — Melayu — yang ‘dikatakan orang’ (entah siapa yang mentohmah Melayu bengap berniaga) sebagai susah berniaga. Jadi dengan nama Khadijah ada motivasi demikian, untuk berusaha dan mendunia. Untuk kaum wanita yang berdagang dan mencebur diri dalam perniagaan, semarak Khadijah adalah semarak mencari rezeki. Cuma Khadijah isteri Nabi berniaga itu mendunia, juga mengakhirat.

Juga dalam bayangan sesetengah kita, Khadijah itu berjaya kerana baginda akan kemudiannya berhabis untuk agamanya, untuk dakwah Islam; dan kerana keimanannya yang tiada berbelah bahagi buat Rasulullah sebagai utusan Allah. Khadijah memberi hartanya kepada Muhammad bukan kerana Muhammad itu suami, tetapi baginda memberi kerana Muhammad itu nabi yang suci.

Justeru, kerja niaga Khadijah untuk mendanai agama itu sama sekali tidak sama dengan kerja niaga suami isteri ‘dakwah sikit-sikit kemudian beg kuning lebat-lebat di TikTok’. Ada ramai pasangan suami isteri ‘ustaz ustazah’ pacak kamera pagi hari, jual usuluddin jual air liur kemudian melarat menjual tudung atau sabun entah apa. Pokoknya menjual. Cerita ceriti secebis, dalil seguni dua, berteriak mempromosi barang tak ingat syurga neraka. Yang ini bukan stail Khadijah.

Ini kerana Khadijah dahulu mengumpul untuk memberi semuanya. Ada beza dengan ‘ustazah’ di Tiktok itu. Mereka yang mendakwa diri Khadijah hari ini, mengumpul untuk hanya melempar kembali seketul dua. Khadijah wanita pertama beriman itu memberi semakin habis, sebab destinasi baginda di hujung sana. Lainnya dengan Khadijah sekadar nama ini mereka juga memberi namun nampaknya tak mahu habis-habis bahkan dilonggok menjadi bukit dan gunung hasil mahsul sedia ada.

Memang tidak dapat dimungkiri yang Siti Khadijah panduan lumayan dan laris niaganya dalam dunia Islam. Semua ingin menjadi Khadijah, sungguh tak apa-apa kalau ingin meminjam nama dan kewibawaan Siti Khadijah. Akan tetapi cukuplah berhenti di situ, kalau pun tidak mampu untuk memberi semua seperti yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah itu.

Baginda berhabis untuk agama dan termateri menjadi antara duta wanita syurgawi. Cukup dan memadailah sampai di situ. Tak payah menjadi setingkat gila dengan mendakwa Khadijah itu Melayu. Tak perlu. Tak payah tunjukkan kesewelan kita kepada umat Islam lain yang bukan Melayu. Kaya Khadijah tiada kena mengena dengan Gunung Jerai. Mewah dan hebatnya Khadijah tiada kait dengan Bani Jawi. Tiada, tak perlu melalut atau merepek sampai ke situ.

Yang boleh kita lakukan ialah kita menjadikan Khadijah itu pedoman, boleh dan tak salah menenggek nama baginda sebagai mencari keberkatan. Kalau hebat lagi, boleh juga mencontohi isteri Nabi ini dengan memberi semuanya sebelum kewafatan baginda. Tak ada bersisa di hujung usianya. Belum ada orang kaya kita buat begitu.

Boleh hendak namakan produk bikinan kita dengan nama Khadijah. Boleh, Kedai Emas Siti Khadijah; syarikat bas ekpres Siti Khadijah pun boleh; meletakkan nama Khadijah pada botol budu dan menggunakan pelaris iklan – ‘Nak, Mak teringin nak buka puasa dengan budu Mek Jah’ pun boleh. Tak salah. Tapi cukup-cukuplah setara itu. Tahu-tahu sikit malu. Khadijah itu wanita solehah. Tak usahlah kita pakat sewel mengatakan Khadijah itu pun Melayu nanar dan tak semenggah macam kita.

Insafilah, baginda Khadijah adalah kepuanan Quraisy. Bukan kepuanan Melayu. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.