`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 22, 2024

Jentera korek pasir punca pencemaran diesel di Sg Slim

 

Free Malaysia Today
Lapisan minyak diesel yang nipis ditemukan di permukaan air kawasan muka sauk LRA Sungai Geliting, Slim, dalam daerah Muallim, Perak, semalam. (Gambar Facebook)
IPOH
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak akan menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tumpahan diesel di Sungai Slim dan Sungai Bernam yang berpunca daripada kegiatan pengorekan pasir.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Teh Kok Lim berkata, lokasi kegiatan pengorekan pasir itu dianggarkan berada 3km di bahagian hulu Loji Rawatan Air Sungai Geliting, Slim, dalam daerah Muallim.

“JAS Perak akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan maklumat pengusaha pengorek pasir yang terlibat dengan merujuk perkara ini kepada Pejabat Tanah dan Daerah Muallim.

Selain itu, pemantauan dan rondaan akan dijalankan di kawasan ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,
 katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut laporan JAS Perak, katanya, kejadian tumpahan minyak itu disedari penyelia loji air yang sedang bertugas pada 2 petang semalam.

Teh berkata, satu pasukan penyiasat JAS Perak yang mengunjungi lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan menemui lapisan minyak diesel yang nipis di permukaan air kawasan muka sauk loji.

Berdasarkan siasatan awal, dipercayai terdapat kerja-kerja pengalihan jentera pengorek pasir ke lokasi lain dan berlaku insiden kemalangan hingga menyebabkan minyak diesel di dalam jentera tersebut tertumpah ke sungai seterusnya mengalir ke kawasan loji,
 katanya.

Susulan itu, katanya, loji air terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi mengelakkan minyak memasuki kawasan rawatan air dan pihak operator loji telah memasang ‘oil boom’ di sekeliling muka sauk bagi mencegah kemasukan minyak.

Bagaimanapun, Teh berkata, loji air berkenaan beroperasi semula pada 8.10 malam selepas pihak JAS Perak mendapati tiada lagi kesan pencemaran minyak diesel di permukaan air sungai dan di kawasan muka sauk loji.

Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah menerima makluman berhubung insiden tumpahan minyak diesel di hulu Sungai Slim, Perak sekitar 8 malam semalam.

Menurut agensi itu, kawasan tadahan Sungai Slim adalah sebahagian daripada lembangan Sungai Bernam di Perak, justeru aliran berkenaan juga masuk ke Sungai Bernam, Selangor.

Pasukan Luas dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah membuat semakan di lokasi berkenaan selain mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Slim dan keadaan kini terkawal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.