`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 




Thursday, March 27, 2025

Bonus: Bantuan pusat calar imej SG4, kata penganalisis

 

Mohd Nassuruddin Daud, Samsuri Mokhtar, Sanusi Nor n Mohd Shukri Ramli
Isu pemberian bonus menunjukkan negeri SG4 termasuk Terengganu gagal menggunakan peluang untuk membuktikan kemampuan mengurus negeri dan seterusnya negara. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA
Dua penganalisis mendakwa imej empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) atau SG4 ‘sedikit tercalar’ apabila Putrajaya membiayai bantuan khas kewangan (BKK) Aidilfitri kepada 14,000 penjawat awam Terengganu.

Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya berkata, sebelum ini pentadbiran PN diketuai PAS di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis sering digembar-gemburkan berupaya melonjakkan ekonomi selain dianggap model pemerintahan terbaik.

Namun, Tawfiq berkata pembayaran ‘bonus’ Aidilfitri kepada Terengganu oleh kerajaan pusat memperlihatkan kelemahan pentadbiran Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, walaupun cuba menggunakan hujah ia adalah ‘wang royalti petroleum’ milik negeri.

“Samsuri bukan calang-calang latar belakangnya, dan digembar-gemburkan sebagai bakal calon perdana menteri daripada PAS. Negeri lain yang tidak bergantung kepada hasil petroleum pun masih mampu memberi sagu hati perayaan kepada kakitangan.

“Mereka perlu mengubah corak pentadbiran supaya lebih berkesan selepas ini,” katanya kepada FMT, mempersoalkan peranan GLC Terengganu menyumbang hasil kepada negeri untuk disalurkan semula kepada warganya.

Tawfiq berkata, anak syarikat kerajaan negeri seharusnya mampu memberi hasil kepada kerajaan negeri dan menjadi sumber kewangan kepada pentadbirannya.

“Tetapi kenapa keuntungan GLC tidak boleh membantu dalam hal ini?

“Jika (guna alasan bonus raya) itu duit royalti pun negeri sepatutnya mempunyai kekuatan kewangan daripada pelbagai sumber lain juga dan simpanan untuk pelbagai perbelanjaan masa depan,” katanya.

Kelmarin, Exco Terengganu Azman Ibrahim menafikan dakwaan kelemahan pengurusan kewangan negeri itu sehingga Putrajaya perlu membayar bonus penjawat awam kerajaan terbabit.

Beliau turut menegaskan pentadbiran Samsuri bukan bergantung sepenuhnya kepada hasil royalti minyak untuk membayarnya, sebaliknya hanya menuntut hak negeri.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan yang senada dengan Tawfiq turut membangkitkan sama ada wujud kelemahan dalam pengurusan pentadbiran Terengganu atau kekurangan strategi oleh negeri SG4 untuk menambah pendapatan.

“Mungkin mereka tidak buat perancangan rapi atau tiada duit…ini mendukacitakan kerana sepatutnya peluang mentadbir harus digunakan membuktikan kemampuan mengurus negeri dan seterusnya negara.

“Tetapi, peluang itu tidak digunakan sehingga perkara semudah itu yang tidak memakan belanja besar pun mereka tak mampu,” katanya merujuk bantuan bonus raya kepada penjawat awam Terengganu membabitkan perbelanjaan RM7 juta. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.