Semua suspek akan didakwa bagi kesalahan buli, kata Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar.

“Kesemua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli,” kata Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar, lapor Astro Awani.
Tambahnya, prosiding akan dijalankan secara tertutup memandangkan kesemua suspek berusia bawah 18 tahun.
Terdahulu dilaporkan Jabatan Peguam Negara berkata, beberapa suspek terlibat dalam kes buli Zara akan dituduh susulan penelitian kertas siasatan kes yang dirujuk polis.
Menurutnya, keputusan menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli itu dibuat memandangkan pertuduhan tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman M Kumar berkata, kertas siasatan kematian Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara setelah siasatan lanjut dilaksanakan oleh pasukan khasnya.
Beliau berkata, pihaknya merakam keterangan 195 saksi, termasuk pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan dan ibu bapa bagi melengkapkan siasatan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) di Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas, selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 9 Ogos, jenazahnya digali semula berikutan arahan AGC yang berpendapat siasatan lanjut yang lebih menyeluruh perlu dijalankan.
Bedah siasat selesai dilaksanakan di HQE I pada hari berikutnya dan jenazahnya dikebumikan semula pada hari sama. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.