`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



Tuesday, August 5, 2025

Dakwaan campur tangan kehakiman disiasat ikut 3 undang-undang, kata menteri

 Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

gavel
FMT sebelum ini melaporkan seorang hakim kanan dipanggil Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman berhubung dakwaan campur tangan pelantikan hakim. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
 Siasatan polis berhubung dakwaan campur tangan kehakiman dibuat mengikut tiga perundangan termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Saifuddin Nasution Ismail.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang meneliti semua aspek bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, adil dan berlandaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

“PDRM turut bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi melengkapkan siasatan ini.

“Hasil siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan selanjutnya sebaik sahaja siasatan selesai,” katanya

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang meminta penjelasan status penyiasatan laporan polis yang dibuat seorang pegawai hakim Mahkamah Persekutuan.

Laporan itu berkait seorang hakim yang dikatakan disoal JAC kerana didakwa campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.

24 Jun lalu, FMT memetik sumber melaporkan hakim kanan berkenaan dipanggil JAC untuk menjawab beberapa dakwaan campur tangan dalam pelantikan pegawai kehakiman yang didakwa berlaku sejak tahun lalu.

Sumber itu memberitahu bahawa berlaku pertikaman lidah dalam mesyuarat JAC, dengan ahli dilaporkan berpecah kepada dua kumpulan satu menyokong hakim terbabit, manakala satu lagi mahu tindakan tegas diambil terhadapnya.

Susulan itu, seorang pegawai kepada hakim terbabit membuat laporan polis terhadap wartawan dari sebuah portal berita yang meminta ulasan hakim tersebut berhubung dakwaan campur tangan.

Pegawai itu berkata, laporan dibuat untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat bagaimana maklumat sedemikian boleh dibocorkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.