`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Wednesday, September 10, 2025

Fadhlina lapor polis komen kaitkan dengan pengetua sekolah Zara Qairina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kata tindakan undang-undang juga akan diambil.

fadhlina sidek
Menteri Fadhlina Sidek kata ada beberapa individu cuba mengaitkan beliau dengan pengetua SMKA TDM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Menteri pendidikan membuat laporan berhubung komen di media sosial mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah kepada pelajar meninggal dunia, Zara Qairina Mahathir.

Fadhlina Sidek berkata beliau membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia berkenaan fitnah mengaitkannya dengan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, di Papar, Sabah.

Katanya, ada beberapa individu yang cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah itu.

“Setakat tepis dan nafi, ternyata tidak menjadi pengajaran. Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya.

“Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya di Facebook, dengan tangkap layar komen berkenaan.

Fadhlina berkata tindakan undang-undang juga akan diambil, sebagai pengajaran kepada semua pihak.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi. Hormati keluarga Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di HQE pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.