Edwin Jack Bosi yang menang di DUN Kepayan pada PRU 2013 kembali bertanding di kerusi itu sebagai calon KDM pada PRN Sabah akan datang.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden KDM Wetrom Bahanda, yang juga pengarah jentera pilihan raya parti, pada majlis pelancaran jentera PRN17 Kepayan di Hungab, Penampang.

Edwin, yang menyertai KDM beberapa minggu lalu, sebelum ini dilantik sebagai ketua penyelaras parti itu di Kepayan.
Beliau menjadi Adun Kepayan selepas memenangi kerusi itu pada PRU 2013, sebelum tewas kepada calon Warisan Jannie Lasimbang ketika bertanding atas tiket Parti Bersatu Sabah (PBS) pada PRN16.
Semalam, Wetrom turut mengumumkan tiga lagi calon KDM yang akan bertanding pada PRN17, iaitu bekas pemain bola sepak Sabah Henry Saimpon, penyanyi veteran John Samud dan bekas setiausaha tetap kewangan Sabah Rusdin Riman.
Sebelum ini, KDM juga sudah menamakan beberapa calon lain, termasuk Jeffry Mohd Ali (Kundasang), Dr Oswald Aisat Igau (Tulid), Dr Gaim Lunkapis (Tamparuli), Mckery Victor (Moyog) dan Almudin Kaida (Pintasan).
Penggal DUN Sabah akan tamat 11 Nov ini, jika tidak dibubarkan lebih awal, dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia dibubarkan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.