`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


Sunday, February 1, 2026

BN Sabah perlu berani tukar kepimpinan lebih segar

Penganalisis berkata keputusan di Kinabatangan dan Lamag bukti pengundi Sabah mahukan pembaharuan bukan sekadar kesetiaan tradisi.

naim kurniawan moktar
PRK Sabtu lalu menyaksikan Kurniawan Naim Moktar menewaskan dua pencabar Saddi Abdul Rahman daripada Warisan dan calon bebas Goldam Hamid dengan majoriti 14,214 undi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
 Kemenangan besar calon muda Barisan Nasional (BN) di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag isyarat jelas parti itu perlu segera mempersiapkan barisan kepimpinan daripada generasi muda menjelang PRU16, kata penganalisis.

Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, keputusan itu mencerminkan perubahan sikap pengundi Sabah, khususnya golongan muda yang kini membentuk lebih 55% daripada keseluruhan pengundi negeri itu.

Bagaimanapun, Arvin berkata sokongan terhadap calon muda tidak berlaku secara automatik, sebaliknya didorong oleh latar belakang profesional, tahap pendidikan yang baik serta keupayaan calon menyesuaikan diri dengan tuntutan politik semasa.

“Kemenangan BN di Lamag dan Kinabatangan merupakan isyarat awal dan jelas kepada kepimpinan BN Sabah untuk bangun daripada zon selesa. Pengundi bawah 40 tahun kini mendominasi, dan sikap mereka berbeza berbanding pengundi lama.

“Mahu tidak mahu, BN kena bangun dari mimpi, calon muda adalah salah satu sebab sokongan pengundi meningkat,” katanya kepada FMT.

PRK Sabtu lalu menyaksikan Kurniawan Naim Moktar, 32, menewaskan dua pencabar, Saddi Abdul Rahman daripada Warisan dan calon bebas Goldam Hamid, dengan majoriti 14,214 undi. Pada PRU15, Parlimen Kinabatangan dimenangi Bung Moktar Radin dengan majoriti 4,330 undi.

BN turut mempertahankan DUN Lamag menerusi Ismail Ayob, 45, dengan majoriti 5,681 undi, mengatasi 153 undi pada PRN.

Menurut Arvin, golongan muda memainkan peranan penting dalam usaha mengembalikan pengaruh BN di Sabah, namun ia memerlukan rombakan struktur kepimpinan parti di peringkat negeri yang masih didominasi tokoh veteran.

“BN Sabah perlu berani merombak kepimpinan dengan memberi lebih banyak peranan kepada generasi muda. Tokoh seperti Naim wajar diangkat sekurang-kurangnya ke posisi strategik seperti ketua penerangan Umno atau BN Sabah,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan aktif pemimpin muda dalam biro politik parti juga penting bagi meremajakan imej BN dan Umno agar selari dengan kehendak pengundi masa kini.

Bagaimanapun, Arvin mengingatkan faktor usia semata-mata tidak mencukupi untuk mengangkat imej parti jika tidak disokong oleh kewibawaan dan keupayaan sebenar.

“Calon muda perlu ada pengalaman kerja, latar pendidikan yang kukuh, profesional serta rapat dengan masyarakat. Tanpa asas ini, status ‘muda’ sahaja tidak mampu memulihkan imej Umno atau BN,” katanya.

Pengundi semakin terbuka

Sementara itu, Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata kemenangan besar calon muda BN di Kinabatangan dan Lamag membuktikan pengundi Sabah kini semakin terbuka kepada kepimpinan generasi baharu.

Beliau berkata, peralihan sokongan akar umbi itu menunjukkan pengundi tidak lagi bergantung kepada kesetiaan politik tradisi, sebaliknya menilai potensi kepimpinan masa depan yang dibawa calon.

“Ini mencerminkan perubahan sikap politik yang lebih dinamik, di mana pengundi mahukan pembaharuan struktur yang lebih inklusif dengan pemimpin muda sebagai penggerak utama,” katanya.

Mengulas peranan Naim, Syahruddin berkata Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpotensi menjadi ejen perubahan dalam usaha menjenamakan semula BN dan Umno di Sabah, khususnya selepas prestasi merosot dalam pilihan raya November lalu.

“Kehadiran tokoh muda seperti Naim mampu merapatkan jurang komunikasi antara parti dengan pengundi milenial dan generasi Z yang menuntut ketelusan serta pendekatan politik lebih moden.

“Hubungan dengan pengundi akan semakin dekat jika pemimpin muda sentiasa merendah diri, mudah didekati dan menunjukkan komitmen berterusan memperjuangkan hak rakyat Sabah, bukan sekadar ketika pilihan raya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.