Mazlan Ali berkata PAS dilihat guna kedudukan strategik termasuk pengerusi PN untuk kecilkan pengaruh Bersatu.


Mazlan Ali berkata, langkah melucutkan khidmat Radzi Jidin sebagai ketua pengarah pilihan raya PN dan Azmin Ali, timbalan setiausaha agung menunjukkan PAS mula menggunakan kedudukan strategiknya dalam PN untuk mengecilkan pengaruh Bersatu.
Beliau merujuk kedudukan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN yang menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Februari lalu.
“Untuk pusingan pertama ini, PAS sudah menang. Pelucutan ini saya jangka memulakan suatu bentuk tindak balas daripada Bersatu,” katanya kepada FMT.
Mazlan berkata, Bersatu mungkin cuba mendapatkan sokongan parti komponen lain seperti Gerakan dan MIPP bagi mengimbangi semula pengaruh PAS.
Bagaimanapun, katanya belum jelas sejauh mana parti itu bersedia bersama Bersatu dalam pertikaian dalaman PN.
Kedudukan Radzi digantikan Bendahari PN Sanusi Nor manakala kekosongan oleh menteri besar Kedah itu diisi Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam.
Rombakan itu dibuat ketika PN sedang bersiap menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, selain penamatan kerjasama PAS dan Bersatu yang meruncingkan lagi krisis gabungan itu.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berkata, perkembangan itu bukan penamat konflik, sebaliknya permulaan pertarungan politik lebih besar.
Menurutnya, terlalu awal menganggap perkembangan itu sebagai kemenangan mutlak mana-mana pihak, malah ia sedikit-sebanyak memberi kesan kepada imej PN.
“Azmin membawa pengalaman politik luas, Radzi memiliki kredibiliti tersendiri selepas mencatat kemenangan besar di Putrajaya.
“Kehadiran mereka membantu memberikan imej PN sebagai gabungan lebih bersifat nasional dan tidak terlalu dilihat didominasi PAS semata-mata,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata, pengguguran Radzi dan Azmin memberi mesej jelas PAS kini semakin dominan dalam PN selain Bersatu pula berdepan risiko dilihat sebagai ‘parti penumpang’.
“PN bukan lagi wadah konsensus, tetapi platform dominasi PAS,” katanya yang turut berpandangan perkembangan itu mungkin menjejaskan moral akar umbi Bersatu.
Katanya, ia menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Bersatu dalam gabungan itu, terutama jika parti berkenaan tidak mampu memberi tindak balas berkesan.
“Jika tokoh utama mereka boleh digugurkan begitu sahaja, apa lagi yang tinggal untuk parti?,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.