`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 






Wednesday, June 17, 2026

Dialog terbuka dengan kumpulan mahasiswa diteruskan, kata Adam Adli

 Timbalan menteri pendidikan tinggi itu berkata dialog yang dirancang bulan lalu terpaksa tangguh atas faktor kekangan pihak yang ingin dilibatkan.

Adam Adli
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata pejabat beliau akan menghubungi Liga Mahasiswa Malaysia dalam masa terdekat untuk beri penerangan lanjut mengenai pelaksanaan dialog itu.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli berkata satu dialog terbuka bersama satu gerakan mahasiswa yang dirancang bulan lalu terpaksa ditangguhkan atas sebab kekangan beberapa pihak yang ingin dilibatkan atas permintaan kumpulan pelajar itu sendiri.

Adam berkata dialog tersebut masih dalam rancangan untuk dilaksanakan dan baru-baru ini keputusan dibuat supaya dialog itu diteruskan tanpa perlu menunggu penglibatan pihak lain.

“Pihak pejabat saya akan menghubungi Liga Mahasiswa Malaysia serta beberapa gerakan mahasiswa lain dalam masa terdekat untuk memberikan penerangan lanjut mengenai pelaksanaannya.

“Komitmen asal yang telah dipersetujui sebelum ini kekal dan akan diteruskan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Liga Mahasiswa Malaysia mempersoalkan kegagalan Adam menunaikan janji mengadakan dialog terbuka bersama gerakan mahasiswa yang sepatutnya berlangsung selewat-lewatnya pada Mei lalu.

Kumpulan itu menyifatkan ketiadaan sebarang perkembangan selepas lebih dua minggu memasuki Jun membuktikan komitmen berkenaan hanya retorik politik bagi meredakan tekanan dan kemarahan mahasiswa.

Sementara itu, Adam berkata beliau juga meminta Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meneliti semula pertuduhan terhadap dua pelajar yang berdepan prosiding tatatertib susulan pembabitan dalam protes perobohan rumah di Kudat pada Mei lalu.

Beliau berkata tindakan mendakwa dan akhirnya menghukum adalah janggal bagi pelajar yang tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan di mahkamah.

Katanya, mahasiswa harus terus dibenarkan untuk menguji pemikiran kritis, perbahasan sihat dan penglibatan dalam politik dan demokrasi, walaupun jika dilihat bertentangan dengan kerajaan.

“Saya positif pendekatan yang lebih seimbang dan berhemah dapat dicapai demi menjaga kebajikan mahasiswa serta memelihara integriti institusi

“Namun sekiranya pihak universiti tetap memilih untuk meneruskan prosiding tatatertib, saya sendiri bersedia untuk hadir bersama bagi memastikan proses yang berlangsung adalah adil serta memberi ruang sewajarnya kepada mahasiswa untuk membela diri,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.