Pakar komunikasi Zaharom Naim berkata agensi penerangan kerajaan perlu mengekalkan pendekatan diplomatik.

Pakar komunikasi, Zaharom Nain, berkata agensi penerangan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha menjelaskan dasar kerajaan secara berhemah, dan bukannya terlibat dalam kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi.
Katanya, pihak yang mengetuai agensi seperti J-Kom wajar bertindak secara matang dan rasional apabila berdepan provokasi atau kritikan awam.
“Tugas pihak yang mengetuai J-Kom ialah memperkukuh dasar baik kerajaan, bukan mengeluarkan kata-kata yang boleh menjejaskan keharmonian.
“Kalau mahu mengkritik biarlah berdasarkan fakta dan tidak perlu sentuh latar belakang keluarga seseorang,” katanya kepada FMT.Zaharom yang juga ketua Allianz Centre for Governance (ACFG) turut mengingatkan agensi berkenaan supaya tidak meniru budaya komunikasi luar yang terlalu agresif, terutama dalam mengurus publisiti dan tindak balas terhadap kritikan.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan Ketua Pengarah J-Kom Mohd Hisyamuddin Ghazali supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan supaya tidak dimanipulasi pihak tertentu.
Hisyamuddin dilantik menerajui J-Kom minggu lalu, menjadikannya individu keempat memegang jawatan itu sejak pentadbiran Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan pada November 2022.
Beliau dikritik selepas didakwa menggunakan gelaran berbaur perkauman terhadap dua pengkritik kerajaan.
Bekas Ahli Parlimen Klang daripada DAP, Charles Santiago turut menegur Hisyamuddin susulan gesaannya supaya rakyat Malaysia ‘memerhatikan komuniti Rohingya’.

Penganalisis politik, Syahruddin Awang Ahmad pula berkata J-Kom sepatutnya berperanan membina naratif nasional yang harmoni.
“Apabila perhatian masyarakat beralih daripada kandungan dasar kepada kontroversi personaliti, jentera penerangan akhirnya terpaksa menggunakan sumber yang ada untuk mengurus krisis reputasi yang tidak sepatutnya berlaku.
“Kritikan daripada pihak lawan atau masyarakat awam sepatutnya dilihat sebagai maklum balas untuk menambah baik penyampaian dasar,” kata ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS). - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.