Slogan sapu bersih DUN Kedah tidak jauh daripada realiti namun PH masih ada pengaruh selain PAS perlu mencari rakan politik baharu.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata kenyataan Sanusi mempunyai unsur psikologi politik, tetapi ia tidak semestinya jauh daripada realiti meskipun Pakatan Harapan (PH) masih ada pengaruh di Kedah.

“Mungkin PN tidak akan mencapai kemenangan bersih 36 kerusi. Bagaimanapun, tidak mustahil PAS mampu memenangi kerusi yang kini dipegang Bersatu, malah berpotensi menguasai semua 33 kerusi yang dimiliki PN ketika ini.
“Berdasarkan pemerhatian, populariti PAS khususnya Sanusi semakin meningkat di Kedah. Keputusan PRN 2023 boleh dilihat sebagai permulaan kepada dominasi PAS di negeri itu,” katanya kepada FMT.
Pada pilihan raya lalu, PN Kedah menang 33 daripada 36 DUN dengan PAS menawan 21 kerusi, Bersatu (11), dan Gerakan (1), manakala PH sekadar menang di tiga kawasan.
Syaza berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sanusi bahawa PN mampu mencipta kemenangan besar 36-0 di Kedah sebagaimana dicapai PAS Terengganu pada pilihan raya lalu.
Sementara itu, Penganalisis politik Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata slogan ’36-0′ lebih sesuai dilihat sebagai naratif politik menaikkan moral penyokong, berbanding gambaran tepat realiti semasa.

Katanya, kemenangan besar PN pada PRN 2023 berlaku ketika PAS dan Bersatu masih berada dalam satu blok politik kukuh, sedangkan landskap semasa menunjukkan hubungan kedua-dua parti itu tidak lagi sebulu.
“Fakta menunjukkan PAS masih dominan di Kedah. Majoriti boleh dicapai, tetapi ‘clean sweep’ bergantung kepada siapa rakan politik yang akan bersama mereka.”
Zaharuddin berpandangan walaupun dakwaan Sanusi mengenai perpecahan dalam kalangan lawan mempunyai asas tertentu, PN tidak boleh mengabaikan cabaran dalaman sendiri.
“PN sendiri berdepan cabaran dalaman, ketegangan antara PAS dan Bersatu, perebutan pengaruh, serta persoalan siapa yang menjadi wajah utama blok pembangkang.
“Perpecahan dalaman ini boleh melemahkan momentum jika tidak diurus dengan bijak. Dakwaan Sanusi bahawa parti lawan semakin berpecah memang ada asas, tetapi jika PN sendiri retak, kelebihan itu boleh terhakis,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.