Said Ali Said Rastan berkata, Sanusi Nor cuba bina persepsi dengan dakwaan PN mampu menang semua 36 kerusi di Kedah.

Ketua Umno Pokok Sena Said Ali Said Rastan menganggap keyakinan Menteri Besar Sanusi Nor bahawa PN mampu menang 36-0 sebagai retorik kerana prestasi kerajaan negeri tidak menunjukkan pencapaian yang cukup kukuh.
“Tidak dinafikan PAS masih ada pengaruh kuat di Kedah, terutama di kawasan luar bandar. Tetapi, rekod pencapaian kerajaan negeri tidak menyokong keyakinan ditunjukkan menteri besar,” katanya kepada FMT.
“Apabila seorang pemimpin membuat dakwaan besar tanpa data dan rekod pencapaian kukuh, ia lebih dilihat sebagai usaha membina persepsi, bukan semestinya gambaran sebenar kekuatan di lapangan.”
Beliau mengulas kenyataan Sanusi semalam bahawa PN mampu menang 36-0 di Kedah, seperti kejayaan PAS menyapu bersih semua kerusi DUN di Terengganu pada PRN 2023.
Sanusi sebelum ini dilaporkan berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai berdasarkan momentum semasa PN selain mendakwa parti lawan semakin berpecah dan hilang sokongan rakyat.
Said Ali berkata, realiti di Kedah tidak seperti digambarkan Sanusi dan negeri itu berdepan isu pembangunan selain pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
“Ekonomi Kedah tidak berkembang seperti negeri lain. Beberapa projek penting, termasuk loji air, juga gagal disiapkan seperti dijanjikan,” katanya.
Said Ali merujuk isu projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling terbengkalai yang didakwanya antara contoh kelemahan kerajaan negeri melaksanakan projek penting untuk rakyat.
Pada 7 Mei lepas, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Putrajaya terpaksa menyalurkan peruntukan tambahan sekitar RM50 juta bagi memastikan projek pembinaan LRA itu dapat diselamatkan.
Menurutnya, kerajaan persekutuan turut terpaksa mengambil alih pengurusan projek itu daripada kerajaan negeri, namun masih memerlukan kerjasamanya untuk beberapa proses seperti kebenaran merancang yang perlu diperbaharui. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.