Projek itu libat kerjasama Menteri Besar Incorporated Perlis dengan sebuah syarikat swasta, kata menteri besar.

Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata, projek itu melibatkan kerjasama Menteri Besar Incorporated (MBI) Perlis dengan sebuah syarikat swasta di negeri itu bagi memperkukuh pembangunan sektor sukan dan merancakkan kegiatan ekonomi negeri.
Syarikat swasta itu, katanya, melabur RM20 juta untuk kerja pembinaan litar itu, manakala kerajaan negeri menyediakan tanah.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor permotoran di Perlis selain membuka peluang kepada penganjuran aktiviti dan acara berkaitan pada masa hadapan.
“Selain itu, ia dijangka merangsang sektor pelancongan sukan, mewujudkan limpahan ekonomi kepada komuniti setempat serta memperluas penyertaan golongan muda dalam bidang permotoran,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Cadangan Hab Sukan Permotoran Bersepadu Perlis di Kompleks Seri Putra, Kangar, hari ini, lapor Bernama.
Menurut Abu Bakar, litar itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan permotoran moden dan mempunyai laluan lurus sepanjang kira-kira 1.3km.
Beliau berkata, acara pecah tanah bagi projek pembinaan litar itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi dan ia akan siap dalam tempoh tiga tahun. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.