Wong Chin Huat berkata disiplin tinggi penyokong tegar PAS beri kelebihan kepada parti itu jika kadar keluar mengundi bukan Melayu merosot.

Pakar sains politik Sunway University, Wong Chin Huat, berkata senario itu tidak mustahil berlaku memandangkan penyokong tegar PAS dikenali mempunyai disiplin tinggi untuk keluar mengundi.
“Jika kadar keluar mengundi dalam kalangan bukan Melayu rendah, memang ada kemungkinan besar kemenangan berpihak kepada parti yang penyokong tegarnya tekun mengundi.
“Jadi, PAS mungkin boleh menang di kawasan campuran sekiranya pengundi Cina atau bukan Melayu yang membentuk peratusan signifikan tidak keluar mengundi,” katanya kepada FMT.

Pandangan Wong senada dengan amaran bekas presiden MCA, Chua Soi Lek, baru-baru ini yang mengingatkan komuniti Cina bahawa sikap tidak peduli terhadap politik boleh membuka jalan lebih mudah untuk PAS menguasai Putrajaya.
Mengulas lanjut, Wong berkata wujud perubahan persepsi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH), apabila rasa ancaman terhadap PAS dilihat semakin berkurangan berbanding sekitar 2022 dan 2023.
Katanya, keadaan itu didorong rasa tidak puas hati segelintir penyokong terhadap beberapa dasar domestik dan pengurusan isu semasa di bawah pentadbiran kerajaan Madani, yang dilihat tidak begitu berbeza dengan pendekatan pihak lawan.
“Ini mengurangkan perbezaan ketara yang diharapkan pengundi antara pentadbiran sekarang dan pembangkang, sehingga mendorong ramai untuk memprotes melalui undi,” katanya.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berpandangan taktik menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu kini sudah lapuk dan tidak lagi berkesan.
Beliau turut berkata, PAS tidak mampu membentuk kerajaan persekutuan secara bersendirian dan masih memerlukan sokongan blok Borneo.
“Oleh itu, PAS perlu mengambil kira pendirian parti-parti Borneo, yang turut dianggotai masyarakat Kristian dan berbilang kaum,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.