`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 

1 JUNE 2026

Thursday, June 11, 2026

Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

 Kekosongan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar menyingkap semula peranan dalam menjaga adat, maruah istana dan tertib kepimpinan Negeri Sembilan.

faisal tehrani

APA yang terjadi sudahlah terjadi di Alor Gajah, Melaka. Makanya gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan kini disahkan kosong selepas penyandangnya, Tunku Nazaruddin Tuanku Ja’afar, menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar yang tidak sah.

Hebahan pengosongan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar itu dilakukan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Azizi Mohamad Ali sepenuh-penuh mulia, adab dan akhlak serta kebudimanan.

Ini memandangkan tiada kata derhaka, pecat, atau pun dahago-dahagi di dalam kenyataan istana itu. Memang secara warasnya gelaran itu menjadi kosong, atau terlepas serta-merta ekoran tindakan Tunku Nazaruddin cuba menerima gelaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Cara hebahan itu dibuat menunjukkan hierarki kepimpinan di Negeri Sembilan itu adalah struktur sosial, dan bukan sangat struktur politik. Iaitu kuasa pembesar itu, memetik Mohd Arof Ishak yang bukunya ‘Perlembagaan Purbakala Luak Jelebu’ ditulis pengantarnya oleh Rais Yatim, ‘adalah terhad’ dan tambah beliau ‘kuasa pembesar itu tidak mutlak’. Dalam bahasa Mohd Arof, ‘unsur Melayu itu ialah budi bahasa bukan politik, ketertiban, kemuliaan, buah fikiran bukan debat, kepatutan, kebulatan, bukan perseteruan.’

Pengosongan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar itu dilakukan penuh hemah kerana Adat Perpatih menuntut kerabat raja Negeri Sembilan supaya berperangai semenggah dan senonoh. Meskipun bercanggah, jangan melakukan sesuatu sampai mengaibkan diri sendiri, atau diri orang lain. Ini kerana dalam Adat Perpatih diserukan penuh kias yang indah, tetapi tajam; ‘jika memukul ular, kayu jangan patah, tanah jangan lembang’.

Gelaran Tunku Panglima Besar (atau Bosa menurut orang Negeri Sembilan) adalah salah satu gelar Putera Yang Empat. Menurut almarhum Norhalim Ibrahim dalam ‘Glosari Adat Negeri Sembilan’, ia adalah salah satu jawatan istana yang tertinggi dan dipegang oleh anggota diraja.

Ia adalah jemaah yang terdiri daripada anak raja Seri Menanti, yang mengendalikan hal ehwal istana dan adat istiadat luak Tanah Mengandung. Gelaran mereka itu adalah Tunku Besar (selaku ketua) kini disandang oleh Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (sejak 2009); Yang Amat Mulia Tunku Laksamana iaitu Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar (sejak 1976); Yang Amat Mulia Tunku Muda Serting kini disandang oleh Tunku Imran Tuanku Ja’afar (sejak 1976); dan yang kita bicarakan di sini adalah Tunku Panglima Besar.

R.J Wilkinson, pegawai British di Tanah Melayu pada tahun 1914 yang memerhati dan mencatat dengan penuh minat segala perihal adat Melayu mengenai negara ini turut mendokumentasi secara objektif akan peranan Putera Yang Empat ini.

Menurut Wilkinson, dalam laporan beliau bertajuk ‘Seri Menanti’ itu, Tunku Besar dan Tunku Laksamana tidak syak lagi haruslah anak-anak Yamtuan, dan tidak semestinya Yamtuan yang sedang menduduki takhta. Tunku Muda Serting dan Tunku Panglima Besar boleh sahaja merupakan ‘saudara jauh’ tetapi secara praktiknya, mereka juga ada hubungan darah yang amat dekat dengan Yamtuan Besar.

Wilkinson seterusnya dalam pemerhatian beliau mengatakan Tunku Besar dan Tunku Laksamana adalah naib, atau wakil kepada Yamtuan Besar. Manakala selalunya Tunku Muda Serting pula adalah dari keturunan Raja Hitam (Yamtuan Besar kedua).

Namun begitu, yang menarik untuk dibicarakan tentunya adalah Tunku Panglima Besar yang menurut Wilkinson adalah satu posisi ketenteraan, meminjam terma beliau ‘military dignitary’, dan meskipun tiada satu peranan khusus di istana, beliau sering, dan akan berfungsi secara berkesan sekali untuk melakukan pelbagai tugas khas.

Salah satu peranan beliau, yang disebut-sebut dalam perbilangan Adat Perpatih adalah mendepani ‘puputan angin dari gunong’ iaitu mematahkan segala pendahagian terhadap Yamtuan Besar. Dalam konteks itu, Tunku Panglima Besar adalah ketua atau ‘panglima’ perang Istana Seri Menanti.

Meskipun ‘perang’ disebutkan di sini, dalam Adat Perpatih, perang itu harus sebolehnya dihindari. Malah kerangka budi dalam Adat Perpatih sangat indah untuk dicontohi. Menurut Adat Perpatih seperti dinukil oleh Idrus Hakimy Rajo Penghulu dalam ‘Rangkaian Mustika Adat Basandi Syarak di Minangkabau’, budi ialah ‘merasa ke dalam diri apa yang dirasakan oleh orang lain’ atau ‘ghaso kerano teghaso pada diri’.

Perasa atau ‘peghaso’ ia memikir dan merasa apa yang terkandung dalam hati. Ini menunjukkan keadilan sosial sangat ditekankan dalam Adat Perpatih Ketika krisis berlaku, selalunya ‘kuku yang tajam tidak berguna’ sebaliknya ‘kata muafakat yang kuasa’.

Di perbilangan lain, gesaan ‘berdamai’ terus ditekankan, seperti bunyinya:
‘Tumbuh hendaklah berpunca
Punca itu rahsia
Tajam tidak menerjah lawan
Lilit tidak memeluk lawan
Tetapi berlegar mesra.’

Manakala penipuan, keterujaan untuk berkelahi, dan keinginan melubu-lubu kepada kuasa itu dipesan dengan satu formula yang dinamai ‘ghaso peghikso’ atau Rasa-Periksa. Perbilangan menggesa kita untuk sentiasa muhasabah diri dan melakukan Rasa-Periksa dengan bertanya kepada hati nurani akan tindak-tanduk lagi perangai kita. Dalam teromba adat ia berbunyi:
‘Keluk paku kacang belimbing
Tepurung lenggang-lenggangkan
Bawa menurun ke Saruasa
Anak dipangku keponakan dibimbing
Orang Kampung ditenggangkan
Ditenggang dengan Rasa dan Periksa.’

Di Luak Tanah Mengandung, yang mana Seri Menanti menaunginya, terdapat satu perbilangan atau teromba yang menjadi kod penting kepimpinan untuk Putera Yang Empat, termasuklah bagaimana sepatutnya seseorang Tunku Panglima Besar itu berperangai.

Bunyinya begini, ‘sepandam seperkuburan, sehina semalu, malu seorang malu semua’. Formula terhasil dari perbilangan ini ialah, kalau kita berdarjat dan merupakan orang suku, elok-eloklah bawa diri. Jangan dibuat perangai orang luar di kedai kopi, atau kaki gosip di lobi dan langgar. Gosip-gosip dalam ghairah kuasa ini tinggalkanlah kepada para artis di luar ‘tungku tiga sejerangan’.

Apakah itu ‘tungku tiga sejerangan’? Dalam Adat Perpatih tiga tungku harus bekerjasama, iaitu ilmu, agama dan kekayaan. Tidaklah memadai ada kekayaan, dan mengakui pakar adat tetapi serupa tiada agama dan bercakap serupa orang tiada ilmu.

Saya kira sebagai anak buah suku Tigo Batu, banyak malunya kita kaum Negeri Sembilan ini oleh segala tindak tanduk yang berlaku kerana onar dibuat orang politik. Perangai ular orang politik ini sudah tidak tertanggung lagi. Kalau memang muafakat sudah buntu, maka tidak dapat tidak Tunku Panglima Bosa haruslah melakukan tugasnya yang utama itu, yang menurut Wilkinson adalah mendepani ‘puputan angin dari gunong’.

Dalam Adat Perpatih, seperti yang saya sebutkan awal-awal lagi, kita mestilah penuh budi dan rasa periksa. Inilah formula penting untuk orang suku memilih pemimpin politik mereka kelak.

Elak yang ‘menghentak kaki’, ‘menghimpun penumbuk’ dan ‘menumpah kuah kuning’. Mereka eloklah dihindar. Untuk orang luar Negoghi, maksud kuah kuning itu adalah korupsi, atau rasuah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.