Pemerhati rasuah berkata langkah itu perlu disusuli semakan silang dengan rekod hartanah, syarikat, akaun kewangan dan gaya hidup.

Presidennya, Jais Abdul Karim, berkata pengisytiharan harta individu semata-mata mungkin belum mencukupi untuk menangani cabaran rasuah moden yang semakin kompleks.
“Pengalaman di pelbagai negara menunjukkan aset diperoleh secara tidak sah jarang didaftarkan atas nama sendiri, sebaliknya diletakkan bawah nama pasangan, anak-anak, ahli keluarga terdekat, rakan kongsi atau proksi tertentu.
“Atas sebab itu, MCW berpandangan sudah tiba masa kerajaan dan SPRM mempertimbangkan mekanisme pengisytiharan kepentingan lebih menyeluruh melibatkan pasangan serta tanggungan yang mempunyai hubungan kewangan langsung dengan pegawai berkenaan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menceroboh privasi keluarga, tetapi bagi memastikan integriti sistem dapat dipelihara dan ruang penyembunyian aset dapat diminimumkan.
Katanya, aspek lebih penting bukan sekadar pengisytiharan tetapi proses pengesahan, audit dan pemantauan berkala.
“Jika tiada semakan silang dengan rekod hartanah, syarikat, akaun kewangan dan gaya hidup, pengisytiharan harta berisiko menjadi sekadar dokumen pentadbiran tanpa impak signifikan,” katanya memaklumkan integriti tidak boleh bergantung kepada kejujuran deklarasi semata-mata.
Pada 8 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, dilaporkan mewajibkan semua warga agensi itu membuat atau mengemas kini pengisytiharan harta masing-masing dalam tempoh sebulan dari tarikh pemakluman rasmi akan dikeluarkan kelak.
Beliau berkata, arahan itu adalah langkah awal bawah kepimpinannya bagi memperkukuh integriti organisasi, sekali gus membina semula kepercayaan rakyat terhadap SPRM sebagai institusi yang bebas, profesional dan adil.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata langkah tersebut wajar dipuji kerana memulakan mesej integriti daripada sudut dalaman institusi SPRM sendiri.
Katanya, bagaimanapun langkah itu akan dilihat sebagai sekadar naratif atau publisiti jika ia dilaksanakan dengan pilih kasih, tiada pemantauan dan hasilnya tidak diteliti serta diperincikan.
“Maksud saya, bukan isytihar dan berhenti di situ sahaja. Tentunya kita nak tindakan diambil terutamanya kepada mana-mana ‘red flags’ yang dilihat.
“Ini kerana isu pemilikan harta, saham, dan sebagainya pernah menjadi satu isu yang menimbulkan persepsi hingga menjejaskan kredibiliti dan kewibawaan SPRM itu sendiri,” katanya.
Nurhayati juga menggesa arahan pengisytiharan harta itu dilaksanakan tanpa pilih kasih dan imuniti diberikan kepada sesiapa.
“Kita tak mahu tengok bahawa arahan ini sebagai sebuah naratif atau sekadar publisiti semata-mata, tapi ia perlu boleh diterjemahkan kepada reformasi SPRM yang sebenar-benarnya,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.