Misi Bersama akan menenggelamkan parti itu, dan mengheret Pakatan Harapan sekali.

Dua peristiwa pada minggu lalu menarik perhatian saya.
Pertama ialah Parti Bersama Malaysia menolak pelawaan Amanah untuk berunding bagi memastikan tiada pertembungan kerusi pada PRN Johor.
Kedua ialah pengesahan Presiden PAS, Hadi Awang, bahawa pemimpin-pemimpin partinya bertemu rakan sejawat daripada Umno di sebalik gesaan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).
Kedua-dua langkah ini menyingkap dinamik politik tanahair yang sentiasa berubah.
Keengganan Bersama untuk berunding dengan Amanah menimbulkan persoalan. Adakah ia kerana dendam yang bertujuan untuk menggagalkan rancangan Pakatan Harapan? Atau Bersama benar-benar mahu bergerak solo untuk menduga air di lubuk?
Adalah perkara biasa bagi sebuah parti baharu untuk membuktikan keupayaan dalam pilihan raya. Namun, sejarah menunjukkan betapa pentingnya pakatan.
Dua parti iaitu Muda dan Bersatu meraih manfaat apabila bersama PH. Syed Saddiq berjaya menawan kerusi Parlimen Muar untuk Muda bawah panji PH, manakala Amira Aisya memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa, kedua-duanya di Johor.
Pada 2018, Bersatu, yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad dan bertanding dalam PRU pertama, menawan 13 kerusi bawah payung PH.
aya berharap Bersama akan melakukan perkara yang sama. Rafizi Ramli sepatutnya boleh menunjukkan bahawa beliau telah melupakan sengketa dengan Anwar Ibrahim dan bekerjasama dengan DAP atau Amanah bagi mengelakkan undi di kawasan campuran beralih ke Umno atau PAS.
Sebaliknya, dengan memecahkan undi lantaran PH, timbul risiko Bersama membolehkan terjadinya apa yang mereka tidak inginkan sama sekali: kemunculan kerajaan Melayu-Islam konservatif bawah MN.
Semasa pelancarannya, Bersama mendakwa ia dalam misi kamikaze. Masalahnya misi tersebut akan menenggelamkan Bersama, dan mungkin mengheret PH sekali.
Sementara itu, kedudukan Umno juga mengelirukan. Umno Johor dan Barisan Nasional bertegas mereka akan bertanding PRN secara bersendirian namun di peringkat nasional, pemimpin Umno bertemu PAS.
Amat mengejutkan apabila Umno boleh bermesra dengan dua pihak. Ia seakan poligami politik yang mengingatkan kita kepada filem klasik P Ramlee, Madu Tiga!
Namun, talam dua muka Umno ini mengundang akibat.
Jika Umno bermesra dengan PAS sementara masih berada dalam kerajaan bersama PH, apakah maknanya bagi pentadbiran Anwar Ibrahim?
Adakah munasabah untuk Presiden Umno, Zahid Hamidi, mengekalkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri, dan menteri-menteri Umno terus berada dalam Jemaah Menteri, serta Asyraf Wajdi Dusuki memegang jawatan pengerusi Mara?
Jelas sekali, tindakan Umno mencetuskan dilema buat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Saya punya firasat Umno takut menghadapi PRN Negeri Sembilan — pilihan raya yang mungkin diatur mereka sendiri secara tidak sengaja — dan kini sedang mengambil langkah selamat.
Mujur PH membaca helah Umno dan berkemungkinan besar akan mengekalkan Negeri Sembilan — kecuali jika Bersama menjadi duri dalam daging.
Apakah yang tersingkap dalam dua peristiwa ini?
Pertama, Bersama ada sikap berdendam. Berbanding membantu menangkis ancaman PAS-Umno, mereka menolak tawaran Amanah. Adakah Bersama tidak takut akan kemungkinan Malaysia ditadbir oleh sebuah pentadbiran yang memperjuangkan politik perkauman?
Kedua, Umno berpecah. Satu kem mahukan penyatuan semula dengan PAS, manakala satu kem lagi mahu kekal bersama PH.
Ketidakupayaan Rafizi untuk mengetepikan masalah peribadi amat kontra dengan kesudian Anwar melupakan permusuhan demi kepentingan Malaysia.
Anwar dipenjara dan serangan fizikal ketika Dr Mahathir Mohamad memerintah, namun berganding dengannya demi menghalang Najib Razak kembali ke tampuk. Rafizi tampaknya tidak mampu atau tidak mahu melakukan perkara sama.
Jika Anwar membubarkan Parlimen sekarang, Umno berkemungkinan besar akan condong kepada PAS.
Perkara itu mungkin akan menyebabkan sebahagian pengundi kembali ke PH, tetapi politik kamikaze Bersama mungkin memecahkan undi lalu memberi kemenangan kepada MN — serta kekalahan bagi seluruh rakyat. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.