Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata pengasas Reset mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk bina persefahaman.

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Hamzah sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak dalam usaha membina perpaduan Melayu yang pada masa sama menjaga kedudukan bukan Melayu dan golongan minoriti.
Menurut penggerak Reset peringkat nasional itu, pendekatan Hamzah bertujuan memastikan semua pihak memahami kedudukan dan peranan masing-masing dalam kerangka politik negara majmuk.
“Oleh kerana tidak ‘obsessed’ hendak menjadi poster boy, maka beliau telahpun mengadakan perbincangan dengan semua (dan diterima baik oleh semua), iaitu perwakilan kaum majoriti dan minoriti, terutamanya dalam usaha perpaduan Melayu yang menjaga kedudukan bukan-Melayu/minoriti.
“Agar semua pihak faham kedudukan dan peranan masing-masing. Tidak boleh berlaku tirani majoriti dan/atau anarki minoriti.
“Rakyat majmuk harus hidup bersama dalam budaya damai, termasuk dalam politik,” katanya dalam tulisan di ‘Merentas Ruang’ disiarkan Sinar Harian.
Hamzah yang juga bekas ketua pembangkang dijangka membuat pengumuman berhubung platform politik barunya pada Konvensyen Reset Malaysia di Tapak Ekspo Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan, esok.
Ahli Parlimen Larut itu dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu susulan krisis dengan Presiden Muhyiddin Yassin dan sehari kemudian beliau melancarkan gerakan Reset.
Timbul spekulasi beliau dan wakil rakyat menyokongnya akan bekerjasama dengan PAS, yang Isnin lalu mengumumkan menamatkan kerjasama Bersatu namun keduanya-duanya setakat ini kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
Saifuddin berkata, dalam konteks semasa sukar untuk mana-mana parti memenangi PRU16 secara bersendirian, justeru Reset perlu memimpin sebuah parti politik dan menyertai gabungan sehaluan.
Menurut bekas menteri itu, gabungan berkenaan pula perlu bekerjasama dengan parti atau gabungan lain bagi membentuk konfigurasi politik stabil.
“Iaitu mendapat sokongan majoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti (atau sekurang-kurangnya sokongan signifikan) daripada kaum minoriti,” katanya mendakwa kerajaan kini tidak mempunyai konfigurasi politik stabil.
“Kerajaan mempunyai jumlah kerusi Parlimen selesa. Tetapi, ia mendapat sokongan minoriti daripada kaum majoriti dan sokongan majoriti daripada kaum minoriti, iaitu konfigurasi politik yang terbalik.” - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.