Mempromosi kewarasan, toleransi dan tanggungjawab moral amat penting dalam dunia yang semakin tidak menentu, kata perdana menteri.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ketiga di ibu negara, Anwar Ibrahim berkata cabaran global yang semakin memuncak menuntut kepimpinan moral lebih berwibawa dan komitmen lebih tinggi kepada nilai kemanusiaan dan prinsip etika.
Beliau menggesa pemimpin agama supaya menggunakan kewibawaan dan pengaruh untuk mempromosi keamanan dan keadilan, ketika konflik global dan krisis kemanusiaan semakin meningkat.
“Multilateralisme kini digantikan oleh unilateralisme. Keamanan pula diganti dengan kecenderungan untuk meneruskan peperangan tanpa henti. Sementara itu, nasib golongan miskin dan terpinggir sebahagian besarnya diabaikan,” katanya, lapor Bernama.
“Peranan pemimpin agama kini lebih relevan berbanding sebelumnya kerana anda mewakili suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi, yang semakin berkurangan dalam dunia hari ini. Ada menyebutnya sebagai zaman pasca normal.”
Perdana menteri berkata agama yang sepatutnya menjadi sumber keamanan, ketenangan, kemakmuran dan perpaduan kini semakin dipolitikkan serta dimanipulasi untuk menimbulkan permusuhan.
“Agama sepatutnya mempromosi keamanan, namun kini digunakan untuk mencetuskan perpecahan. Ia sepatutnya memupuk toleransi dan keadilan, tetapi sebaliknya membenarkan keganasan serta ketidakadilan,” katanya.
Anwar menjadikan keganasan berterusan di Gaza dan Lubnan sebagai contoh kegagalan menegakkan nilai kemanusiaan dan keadilan, menyatakan gencatan senjata sering dicabuli tidak lama selepas diumumkan.
Beliau berkata peperangan melibatkan pembunuhan sewenang-wenangnya terhadap wanita dan kanak-kanak semakin dianggap sebagai sesuatu yang biasa, manakala generasi muda pula terdedah kepada paparan keganasan, kemusnahan dan pencabulan maruah manusia.
“Gencatan senjata diumumkan, namun tidak dipatuhi sebelum sempat dilaksanakan sepenuhnya. Pengeboman pula berterusan walaupun rundingan sedang berjalan,” katanya.
Perdana menteri berkata pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama membuktikan masyarakat berbeza kepercayaan dan latar belakang mampu hidup bersama secara aman, sambil berpegang teguh kepada kepercayaan serta pegangan masing-masing.
Anwar berkata meskipun Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan, Malaysia negara majmuk yang mengamalkan nilai hormat-menghormati dan saling memahami dalam melaksanakan hak serta tanggungjawab sebagai warganegara.
“Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan kita melaksanakan hak serta tanggungjawab dengan penuh rasa hormat dan pertimbangan terhadap satu sama lain. Kita mahu memastikan setiap anggota masyarakat dan warganegara berasa selamat serta dilindungi secara saksama.
“Justeru, kekuatan kita bukan terletak pada keseragaman, sebaliknya pada keupayaan menguruskan kepelbagaian secara adil dan saksama. Kita percaya semangat ini, jika terus dipertahan dan diamalkan secara konsisten mampu menjadi contoh kepada masyarakat dunia,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.