Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perbezaan pandangan ulama dan realiti semasa perlu diambil kira dalam menentukan hukum bagi menangani persoalan masyarakat.

Baginda bertitah, pemahaman itu juga perlu berasaskan dalil dan kaedah penetapan hukum yang berpandukan al-Quran serta sunnah, tanpa mengetepikan prinsip dan tuntutan syarak.
Menurut baginda, pendekatan menyeluruh itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat panduan agama yang jelas dan sesuai dengan keperluan semasa, sekali gus mengukuhkan keyakinan umat Islam untuk mengamalkan ajaran agama berasaskan ilmu dan hikmah.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) Kali Ke-4 dan Wacana Ilmuwan Nusantara 2026 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, semalam.
Tuanku Syed Faizuddin turut berharap persidangan itu menghasilkan resolusi dan idea baharu yang dapat disebarluaskan kepada masyarakat menerusi penulisan, penerbitan serta program keilmuan.
“Resolusi yang dicapai juga diharapkan menjadi panduan kepada pentadbiran negeri, institusi agama, para pendidik dan masyarakat dalam mendepani pelbagai persoalan semasa, sekali gus memperkukuh budaya ilmu dan membimbing ummah ke arah kesejahteraan,” titah baginda.
Persidangan dua hari bermula 14 Okt itu dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertemakan ‘Keluasan Fiqah dalam Menangani Cabaran Semasa’.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada peranan fiqah dalam menangani pelbagai isu semasa yang semakin kompleks, termasuk perkembangan sosiopolitik dan teknologi di rantau ini.
Persidangan itu menghimpunkan ulama, mufti, ahli akademik dan ilmuwan Islam, dengan penyertaan delegasi serta pembentang dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja dan Vietnam.
Pada majlis sama, baginda turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 25 delegasi persidangan. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.